Macam Mana Nak Bahagia Dalam Hidup Dan Kurangkan Tekanan
Bahagia dalam hidup pasti idaman setiap orang yang ada di muka bumi. Kebahagian sukar diungkap kerana ia melibatkan perasaan dan emosi. Ia tidak dapat dibeli dan dibuat-buat kerana ia lahir daripada jiwa yang terpilih yang menjalani rutin-rutin kehidupan yang ajaib.
Suatu laporan kajian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia telah melaporkan bahawa prevalen penyakit mental dalam kalangan orang dewasa meningkat kepada 29% pada tahun 2015 berbanding hanya 10% pada tahun 1996.
Amaran
Jika anda mengalami tekanan perasaan melampau sehingga boleh menjejaskan kesihatan dan keselamatan diri, sila dapatkan rawatan dan nasihat pakar dengan segera!
Dalam pada itu, COVID-19 dalam satu ke dua tahun telah mendedahkan kita kepada pelbagai faktor risiko penyakit mental yang telah menyebabkan banyak kes bunuh diri, perceraian, dera dan ketagihan dadah.
Justeru, dalam artikel kali ini kami akan berkongsi dengan anda beberapa tips-tips yang boleh membantu anda untuk jadi lebih bahagia di dalam hidup yang sementara ini.
Urus Tahap Tekanan Dengan Bijak
Setiap orang mempunyai tahap tekanan yang berbeza kerana setiap orang memberikan tindak balas berbeza kepada hal-hal yang berlaku di persekitarannya.
Ada tekanan (eustress) yang membuatkan seseorang lagi bersemangat untuk hidup dan menjalani cabaran-cabaran kehidupan. Sebaliknya ada tekanan (negative stress) yang merosakkan kualiti hidup kita.

Jika anda mempunyai banyak tekanan dalam hidup anda, cari cara untuk mengurangkannya, seperti mempelajari beberapa teknik pengurusan masa.
Perkenalkan senaman dan masa yang kerap untuk diri sendiri. Ini adalah perubahan positif. Mengambil kawalan masa anda dengan cara ini boleh mengurangkan tekanan dengan berkesan.
Jika anda mempunyai perasaan kebimbangan (anxiety) yang datang setiap kali anda berasa tertekan cuba kawal pernafasan dengan teknik pernasafan yang betul. Pelbagai teknik pernafasan yang boleh dilakukan dan kebanyakan adalah sangat mudah dan boleh dilakukan di mana-mana sahaja.
Cuba Cari Hobi atau Perkara Yang Boleh Hiburkan Diri
Perasan atau tidak ada perkara dalam hidup yang apabila kita lakukan akan membuatkan kita terhibur dan rasa seronok. Cuba cari perkara tersebut.
Melakukan perkara yang anda suka adalah baik untuk kesejahteraan emosi anda. Aktiviti mudah seperti menonton rancangan sukan dengan kawan-kawan, berendam dalam bilik mandi atau berjumpa dengan kawan untuk minum di kedak mamak semuanya mampu untuk membuat anda rasa seronok dan terhibur.
Namun jangan terlebih buat (overdo) pula kerana ia akan membuatkan anda cepat berasa bosan pada masa hadapan.
Dalam pada itu, melakukan sesuatu yang anda mahir, seperti memasak atau menyanyi (walaupun sumbang), adalah cara yang baik untuk menghiburkan diri anda dan mempunyai rasa yang memuncak.
Cuba elakkan perkara yang kelihatan menyeronokkan pada masa itu tetapi membuat anda berasa lebih teruk selepas itu, seperti mengambil terlalu banyak kafein atau bertaruh bagi sesebuah perlawanan sukan.
Kuasai dan Kawal Pemikiran Negatif Daripada Menguasai Diri
Ada orang mengatakan bahawa jika anda fikir dan percaya akan gagal sesuatu perkara walaupun sebenarnya ia belum bermula, maka betullah anda memang akan gagal perkara tersebut. Begitu juga jika anda fikir akan berjaya, anda pasti akan berjaya.
Contohnya sebelum semester bermula, anda telah berfikir bahawa subjek tersebut sangat susah dan akan gagal di kemudian hari. Bayangkan jika hari-hari anda ucapkan mantra ‘susah’ dan ‘gagal’ bagi subjek tersebut. Secara logiknya minda dan jasmani anda akan menuju ke arah kegagalan bagi subjek tersebut.
Mind-game!
Tidak salah untuk berfikiran negatif kerana ia adalah sebahagian daripada lumrah manusia tetapi ia harus dikawal supaya tidak menguasai diri sendiri. Cuba cabar pemikiran negatif anda dan ubah pemikiran tidak rasional.
Kajian menunjukkan bahawa kaedah ini boleh mengurangkan gejala kemurungan. Matlamatnya adalah untuk membawa anda daripada minda negatif (‘Saya gagal.‘) kepada yang lebih positif (Saya mempunyai banyak kejayaan dalam kerjaya saya. Ini hanyalah satu kemunduran yang tidak mencerminkan saya. Saya boleh belajar daripadanya dan menjadi lebih baik.)
Cari Punca-Punca Ketidakbahagian dan Cuba Selesaikannya
Mudah sahaja untuk kesan masalah kepada ketidakbahagiaan anda. Sesuatu perkara yang ada pada diri atau yang perlu anda lakukan terasa berat sekali atau anda rasakan yang ia patut hilang dari hidup anda.

Banyak contoh yang boleh didapati seperti:
- Bos atau majikan yang menjengkelkan,
- Tempat kerja yang toksik dan politik tempat kerja yang kotor,
- Jiran yang bising dengan ekzos motor dan kereta,
- Suami yang panas baran dan ‘tangan laju’,
- Gaji sedikit dan tidak cukup dengan gaya hidup,
- Berat badan berlebihan.
Namun begitu, harus diakui ada punca yang sukar untuk diselesaikan dalam jangka masa yang pendek tetapi anda tetap harus meletakkan usaha untuk menyelesaikannya tidak kiralah walau masanya panjang. Berada dalam keadaan tidak bahagia atau tertekan boleh menyebabkan anda menghidap pelbagai penyakit yang lain. Jadi anda wajib cuba untuk selesaikan punca-punca tersebut.
Amaran
Jangan hilangkan punca-punca ketidakbahagiaan anda dengan cara yang menyalahi undang-undang negara.
Contohnya jika tempat kerja anda toksik dan anda rasa berat untuk keluar bekerja pada setiap hari, usahalah untuk cari tempat kerja yang baru.
Jika hampir setiap hari suami anda melakukan kekasaran sehingga mendatangkan kecederaan kepada anda dan keluarga, laporkan kepada pihak berkuasa dan rujuk pakar rumahtangga untuk tindakan selanjutnya. Anda tidak wajar terpenjara bersama orang yang ganas jika dia tidak mahu berubah. Silalah pilih untuk bahagia.
Jika gaji anda kecil, cuba cari jalan untuk buat pendapatan sampingan yang lain atau cari kerja yang menawarkan gaji yang lebih lumayan.
Anda tidak patut tersekat dalam punca-punca yang membuatkan pemikiran dan semangat anda terbawa-bawa bersamanya. Sebab itu anda perlu uruskan dan cuba selesaikan. Kerana setiap masalah pasti ada jalan penyelesaian. Pada suatu masa anda pasti akan jumpa atau terbaca orang yang pernah mengalami masalah sama seperti anda.
Amalkan Gaya Hidup Yang Sihat
Makan Makanan Yang Seimbang Dan Berzat
Membuat pilihan yang sihat tentang diet anda boleh membuatkan anda berasa lebih kuat dari segi emosi. Anda melakukan sesuatu yang positif untuk diri sendiri, yang meningkatkan harga diri anda.
Diet yang baik membantu otak dan badan anda berfungsi dengan cekap dengan membekalkan nutrisi dan zat yang sepatutnya kepada tubuh badan. Letakkan sasaran untuk mempunyai diet yang seimbang yang merangkumi semua jenis kumpulan makanan utama.
Sayur-sayuran dan buah-buahan adalah suatu pilihan yang baik. Contohnya seperti pisang, avocado, dan brokoli mempunyai kandungan magnesium tinggi yang boleh memberikan penggalakan emosi yang baik kepada anda.
Jika format peperiksaan sekarang masih sama dengan lepas, maka tidak mustahil soalan yang keluar dalam peperiksaan nanti sama dengan soalan-soalan terdahulu.
Amalkan Senaman Yang Anda Mampu Lakukan
Senaman bukan sahaja penting untuk kesihatan mental dan emosi bahkan ia turut penting terhadap kesihatan tubuh badan secara keseluruhannya.
Malah senaman sederhana mengeluarkan bahan kimia dalam otak anda yang meningkatkan mood anda. Ia boleh membantu anda tidur lebih lena, mempunyai lebih banyak tenaga dan menyihatkan jantung anda.
Pilih senaman yang anda gemari. Jika ia membantu, lakukan dengan rakan atau dengar muzik. Orang dewasa harus menyasarkan selama 150 minit seminggu.
Dalam pada itu, anda juga mungkin dapat berjumpa dengan orang baru apabila menjalankan aktiviti senaman atau sukan secara berkumpulan. Mungkin ada kawan baru anda yang mampu menjadi pendengar setia luahan-luahan anda.
Dapatkan Tidur dan Rehat Yang Mencukupi
Sekitar 7 hingga 8 jam adalah purata jumlah tidur yang diperlukan oleh orang dewasa untuk badan dan minda mereka berehat sepenuhnya.
Menulis senarai “kerja” untuk keesokan harinya sebelum tidur boleh mengatur pemikiran anda dan membersihkan fikiran anda daripada sebarang gangguan.
Elakkan tidur pada lewat malam yang disebabkan menonton televisyen, bermain permainan video atau menggunakan telefon pintar. Cahaya biru (blue light) daripada skrin telefon pintar boleh menjejaskan penghasilan melatonin yang penting untuk mengawal kitaran jaga-tidur anda. Paling penting, jangan ambil kafein yang berlebihan sebelum waktu tidur.
Borak Dan Sembang Dengan Orang Sekeliling
Manusia adalah makhluk sosial yang perlu berkomunikasi dalam pelbagai urusan sehari-hari. Komunikasi adalah penting, sama ada dengan rakan, ahli keluarga atau kaunselor. Perasan atau tidak ada orang tidak boleh berhenti bercakap terutamanya orang tua-tua kerana bercakap itu sememangnya membuatkan pelakunya rasa sesuatu.
Meluahkan sesuatu yang terbuku di dalam dada boleh membantu anda melepaskan stress, jadi anda perlu bercakap untuk keluarkannya bukannya menyimpannya di dalam hati. Dalam masa yang sama ia akan membantu mengukuhkan hubungan anda dengan orang sekeliling.
Orang yang suka bercakap itu mereka senantiasa kelihatan bahagia. Ada orang suka buat lawak ‘bodoh‘ untuk hiburkan diri sendiri di samping hiburkan orang sekeliling juga.
Ada ramai orang mendapati apabila mereka dapat bercakap dengan kaunselor tentang perkara yang merisaukan mereka, perkara itu sangat membantu. Namun tidak semua orang mampu untuk berjumpa kaunselor atas sebab-sebab tertentu. Cari seseorang yang anda rasa selesa untuk luahkan perasaan tanpa perlu berselindung apa-apa.
Jika anda tinggal bersendirian dan tiada orang berdekatan, boleh hubungi Befrienders untuk bercakap dengan sukarelawan mereka. Anda boleh luahkan masalah atau perasaan kepada mereka tanpa segan silu.
Elakkan Membaca Berita Dan Media Sosial Yang Berlebihan
Membaca berita ialah cara penting untuk terus berhubung dengan perkara yang berlaku di seluruh dunia. Ia boleh menjadi pendidikan, menghiburkan dan juga menaikkan semangat.
Malangnya, berita terlalu kerap dipenuhi dengan kisah penderitaan. Cerita-cerita ini boleh memesongkan pandangan anda tentang dunia dan menyebabkan anda menumpukan pada ketakutan terburuk anda dan bukannya menghargai kebaikan yang yang ada di sekeliling anda.

Anda tidak boleh mengelak sama sekali cerita ini, tetapi cubalah kurangkan pendedahan terhadap berita-berita yang tidak patut, terutamanya semasa masa yang sukar. Kita telah alami zaman COVID-19 yang mana banyak berita palsu dihidangkan kepada kita yang mana orang ramai telah banyak mempercayainya dan menimbulkan kegelisahan awam.
Kebanyakan berita-berita yang kita dapati datang dari media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan sebagainya. Ada sebuah kajian mendapati jika tidak digunakan dengan betul ia boleh mendatangkan kesan seperti ketidakpuashatian dengan hidup, tidur yang terganggu, dan kekurang keyakinan diri.
Buat permulaan, anda mungkin boleh buang beberapa akaun media sosial dan cuba simpan hanya satu jenis media sosial sahaja untuk anda terus berhubung dengan dunia luar.
Kesimpulan
Banyak lagi cara untuk mendapatkan kebahagian dalam hidup. Apa yang penting ia tidak semestinya hanya dapat dicapai melalui kekayaan harta benda kerana ada juga orang yang kaya yang masih belum menemukan kebahagian.
Lihat sahaja bagaimana kisah para selebriti dan orang ternama yang bertindak mengakhiri nyawa sendiri walaupun mempunyai kedudukan kewangan dan taraf hidup yang baik.
Kami harap anda dapat menemukan rutin dan gaya hidup yang boleh menceriakan hari-hari anda.
Rujukan
Cleveland Clinic. (2021, Jun 15). Eat These Foods to Reduce Stress and Anxiety. Health Essentials from Cleveland Clinic. https://health.clevelandclinic.org/eat-these-foods-to-reduce-stress-and-anxiety/
Jamal, U. (2021, Mac 5). COVID-19 exposes Malaysia’s growing mental health challenges | ASEAN Today. Www.aseantoday.com. https://www.aseantoday.com/2021/03/covid-19-exposes-malaysias-growing-mental-health-challenges/
NHS UK. (2021, Februari 1). How to be happier. Nhs.uk. https://www.nhs.uk/mental-health/self-help/tips-and-support/how-to-be-happier/
Raaj, S., Navanathan, S., Tharmaselan, M., & Lally, J. (2021). Mental disorders in Malaysia: an increase in lifetime prevalence. BJPsych International, 18(4), 1–3. https://doi.org/10.1192/bji.2021.4
Yuhas, D. (2022, Jun 20). Why Social Media Makes People Unhappy—And Simple Ways to Fix It. Scientific American. https://www.scientificamerican.com/article/why-social-media-makes-people-unhappy-and-simple-ways-to-fix-it/
Imej oleh Alex Green: https://www.pexels.com/photo/cheerful-asian-kids-having-fun-in-bed-5692264/