Macam Mana Nak Bahagia Dalam Perkahwinan Dengan 5 Tips Mudah
Perkahwinan merupakan suatu perjanjian sah yang telah di persetujui antara lelaki dan perempuan yang mahu meneruskan hubungan menjadi hubungan yang halal. Dalam Islam, ianya dianggap sebagai ibadat dan sunnah Rasulullah SAW yang mana merupakan tuntutan fitrah kepada manusia.
Anda mungkin tertanya-tanya apakah kelebihan berkahwinan dan macam mana nak bahagia dalam perkahwinan?
Semasa terikatnya hubungan antara lelaki dan perempuan maka bagi membangunkan rumah tangga yang sempurna mestilah memahami pasangan bagi kehidupan yang bahagia. Namun, bagaimana untuk memastikan bahawa perkahwinan yang dijalankan bahagia?
Kebahagiaan semestinya menjadi keinginan bagi setiap pasangan suami isteri. Malah benda yang paling ditakuti dalam pasangan suami isteri adalah jatuh ke jurang penceraian ataupun kehidupan yang penuh penderitaan dan ketidakbahagiaan. Tapi bagaimana untuk memastikan pasangan kita rasa bahagia?
Di dalam artikel ini, kami kongsi dengan anda 5 tips mudah macam mana nak bahagia dalam perkahwinan.
Pasangan Perlu Bersifat Jujur Dan Terbuka
Setelah sah menjadi pasangan suami isteri maka hendaklah setiap pasangan bersifat jujur dalam segala hal sama ada melibatkan kerja ataupun sebaliknya. Pasangan juga mestilah bersifat terbuka dalam semua perkara terutamanya apabila berlakunya sebarang masalah yang boleh mengganggu perjalanan kehidupan seharian.
Sekiranya si isteri mempunyai masalah maka si suami mestilah bersifat terbuka dan mendengar segala masalah yang hendak disampaikan oleh si isteri. Secara umumnya, isteri akan bersifat lebih meluahkan manakala suami pula akan bersifat lebih memendam dan biarkan ia berlalu begitu saja.
Jangan pendam rasa terlalu lama takut nanti akan ‘berdendam‘ dengan pasangan secara tak sengaja. Luahkan dan bawa berbincang.
Anda mestilah belajar mengenali hati masing-masing dan belajar berkomunikasi dengan efektif supaya tidak ada salah faham dalam rumahtangga. Masalah komunikasi antara suami isteri tidak kiralah yang baru berkahwin atau yang telah lama berkahwin merupakan salah satu punca perceraian yang agak biasa.
Suami Perlu Menjalankan Tanggungjawab Sepenuhnya
Kepemimpinan lelaki di dalam rumah tangga adalah sebahagian daripada ajaran agama Islam yang menjadi nikmat bagi kehidupan manusia. Syekh As-Sa’di mengatakan “Allah mengkhabarkan bahawa lelaki adalah pemimpin bagi isteri mereka iaitu memimpin mereka dengan mengharuskan mereka memenuhi hak-hak Allah serta menahan isteri-isteri mereka dari berbuat kerosakan. Wajib bagi suami menjalankan hal itu dengan memberikan nafkah kepada mereka (Tafsir As Sa’di, hal 177).
Duit suami duit isteri juga… duit isteri, duit dialah. Suami tidak ada hak minta duit isteri.
Lelaki adalah pemimpin keluarga. Maka wajib baginya menjalankan apa-apa sekiranya mendatangkan kebaikan bagi keluarganya. Tidak kira dalam agama apa sekalipun suami adalah ketua keluarga dan dialah yang harus melunaskan hal makan minum, tempat tinggal, pakaian dan segala keperluan untuk keluarga tersebut meneruskan kehidupan.
Jika isteri ingin turut sama membantu suami mencari rezeki maka itu adalah atas kehendaknya sendiri namun itu tidak melepaskan si suami dari semua tanggungjawab itu tadi.
Namun, dapat kita fahami suasana ekonomi yang mencabar ditambah kos sara hidup yang tinggi pada era ini membuatkan tidak ramai suami yang mampu menanggung keseluruhan keperluan keluarga secara sendirian. Apabila isteri membantu membanting tulang mencari rezeki si suami perlulah menghargainya.
Jika suami bersendirian mencari rezeki, si isteri perlulah memahami kedudukan kewangan keluarga sebelum membuat apa-apa pembelian yang dirasakan tidak perlu bagi memastikan kelangsungan makan minum keluarga.
Si Isteri Perlu Laksanakan Tugas Yang Sepatutnya
Bagi membangunkan rumah tangga yang bahagia bukan hanya suami yang berperanan aktif untuk memenuhi semua kewajiban suami namun isteri juga harus menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang isteri kepada suami yang telah dikahwininya.
Antara contoh tugas seorang isteri adalah seperti mengemas rumah, memasak, membasuh pakaian dan menjaga anak-anak. Ia bukanlah wajib namun secara fitrah dan lumrahnya para ibu atau isteri lebih cemerlang dalam menguruskan hal rumah tangga berbanding si suami.
Isteri bukanlah orang gaji atau hamba abdi. Suami perlu turut bersama-sama menguruskan rumah tangga apabila tidak ada kekangan.
Tambahan pula, tugas isteri kepada suaminya pula adalah seperti taat sepenuhnya kepada perintah suami selagi ianya tidak bertentangan dengan agama, berusaha memenuhi keperluan batin suami apabila keadaan menginzinkan, tidak membenarkan sesiapa yang tidak mendapat kebenaran suami untuk masuk kerumah dan banyak lagi yang melibatkan adab dan akhlak isteri.
Namun, apabila si suami meletakkan martabat isterinya seperti seorang hamba sehingga menjejaskan kehidupannya maka dia berhak untuk mengambil tindakan-tindakan yang selaras dengan undang-undang agama untuk mendapatkan kembali martabat dan maruah dirinya. Si isteri bukanlah untuk ditindas atau dikongkong.
Pasangan Suami Isteri Perlulah Bergaul Dengan Baik
Pergaulan antara suami isteri yang baik merupakan keteguhan kehidupan sebuah rumah tangga. Pergaulan yang baik adalah hak suami dan juga hak isteri. Isteri wajib diperlakukan dengan baik sebagaimana suami wajib diperlakukan dengan baik.
Ramai wanita sukakan lelaki yang kelakar. Cuba buat kelakar dengan isteri, mungkin dia akan lebih sayangkan anda!
Suami dan isteri mestilah berusaha untuk memasukkan kegembiraan dalam hati pasangan masing-masing. Pergaulan yang baik mesti dimulakan dengan niat yang baik. Seorang isteri mesti meluruskan niatnya bahawa perkahwinan adalah satu wasilah untuk mentaati Allah. Mentaati suami bererti mentaati Allah. Jika dia tidak meniatkan perkahwinan untuk mentaati Allah, maka susahlah untuk dia mentaati suaminya.
Saling Memahami dan Menutupi Kekurangan Pasangan
Sememangnya alam rumah tangga akan jadi mudah bila mana pasangan memahami antara satu sama lain malah seorang suami juga tidak perlu bergantung pada isteri sepenuhnya.
Contohnya apabila keluarga makin berkembang dan telah dikurniakan beberapa orang anak, sudah tentu keutamaan isteri selama ini akan lebih terarah kepada anak kerana keperluan anak-anak menjadi nombor satu. Begitu juga suami akan lebih mengutamakan anak-anak dalam apa-apa perbelanjaan keluarga berbanding isteri.
Oleh itu, jika ia menjadi suatu isu suami isteri perlulah memahami dan cuba berbincang secara baik demi kebahagiaan seluruh keluarga bersama.
Kesimpulan
Kebolehan dua orang untuk saling berhubung adalah penting demi kebahagiaan rumah tangga yang telah dijanjikan bersama. Kesejahteraan sesebuah perkahwinan bergantung pada tahap perhubungan suami isteri.
Senang kata, adalah mustahil untuk membayangkan sebuah rumah tangga yang bahagia tanpa dua orang yang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menguasai kehidupan antara suami dan isteri. Cara yang telah diberikan tidak menjanjikan kebahagiaan, namun boleh mengubah keadaan rumah tangga yang didirikan.
Kami doakan semoga perkahwinan anda akan dikurniakan kebahagiaan abadi !
Rujukan
Ukhti Vita (2022), 9 Kunci Kebahagian Rumah Tangga Dalam Islam Agar Keluarga Makin Harmonis, Muslimah centre. 9 Kunci Kebahagiaan Rumah Tangga dalam Islam Agar Keluarga Makin Harmonis (muslimahcenter.com)
Enang Susanti (2022), 9 Sebab Kebahagiaan Dalam Rumah Tangga. 9 Sebab Kebahagiaan Dalam Rumah Tangga – Islampos
Syazwani Mehat (2020), Rumah Tangga Jadi Mudah Bila Pasangan Memahami, Suami Tak Perlu Bergantung Pada Isteri. Rumah Tangga Jadi MUDAH Bila Pasangan Memahami, SUAMI Tak Perlu Bergantung Pada ISTERI – Mingguan Wanita
Imej oleh Lauren Richmond daripada Unsplash