Macam Mana Nak Bayar Zakat Fitrah Puasa Secara Online

Ibadah puasa yang diwajibkan dalam bulan Ramadhan kepada semua umat Islam di seluruh dunia memang tidak asing lagi kepada mereka yang berkemampuan untuk berpuasa kerana ibadah ini dijalani pada setiap tahun.

Dalam bulan Ramadhan, selain berpuasa menahan lapar dan dahaga, umat Islam turut diwajibkan untuk membayar Zakat Fitrah kepada pemerintah kaum Muslimin masing-masing. Jadi anda mungkin tertanya-tanya macam mana nak bayar zakat fitrah puasa secara online bukan?

Baca lanjut: Artikel Zakat Fitrah oleh PPZ MAWIP

Kutipan zakat ini seterusnya akan disalurkan kepada golongan yang memerlukan seperti anak yatim, fakir miskin dan sebagainya. Ini pastinya dapat membantu meringankan beban sesama umat Islam justeru merapatkan lagi silaturahim antara orang kaya dan kurang berkemampuan.

Pada era teknologi dan informasi maklumat kini, anda sudah boleh membayar zakat secara online melalui pelbagai platform internet banking. Jadi, dalam entri kali ini kami akan kongsikan dengan anda macam mana nak bayar zakat fitrah puasa secara online. Apa yang pentingnya, ianya boleh dilakukan hanya dengan menggunakan telefon pintar mahupun komputer. Anda boleh ikuti langkah mudah berikut.

Bayar Zakat Fitrah Puasa Bagi Negeri Selangor

Tangkap layar laman web Bayar Online Lembaga Zakat Selangor

Lembaga Zakat Selangor telah menyediakan satu platform yang dinamakan e-Zakat Pay bagi umat Islam yang bekerja di Selangor membayar zakat dengan mudah. Ia boleh menerima bayaran melalui bank-bank yang berikut:

  1. RHB Islamic Bank
  2. AmBank
  3. CIMB Bank
  4. Bank Islam
  5. OCBC Bank
  6. Public Bank
  7. Bank Rakyat
  8. HSBC
  9. Maybank
  10. Alliance Islamic Bank

Tiada pendaftaran dan bayaran tambahan yang dikenakan oleh Lembaga Zakat Selangor untuk menggunakan e-Zakat Pay. Bahkan anda tidak perlu install apa-apa aplikasi ke dalam telefon ataupun komputer.

Langkah-langkah mudah bayar zakat fitrah puasa online di e-Zakat Pay

  1. Lawati laman web e-Zakat Pay.
  2. Klik butang yang bertulis ‘Pergi ke e-Zakat Pay‘.
  3. Seterusnya, anda akan dibentangkan dengan borang-borang yang berkaitan. Untuk permulaan, masukkan maklumat pembayaran. Isikan semua bahagian yang tertera.
  4. Dalam skrin seterusnya, pilih satu kaedah pembayaran zakat sama ada FPX, Visa/Mastercard, TouchnGo eWallet, JomPAY atau GrabPay.
  5. Jika anda memilih FPX sebagai kaedah pembayaran, pilih bank dari dropdown yang disediakan. Jangan lupa untuk penuhkan semua butiran yang dipinta. Dan klik seterusnya.
  6. Sebuah skrin pengesahan akan timbul. Sahkan maklumat dan segala butiran. Niatkan bayaran zakat anda seikhlas hati dan tekan ‘Bayar Sekarang’.
  7. Anda akan dibawa ke muka internet banking yang anda pilih dan boleh teruskan seperti biasa dari situ.

Bayar Zakat Fitrah Puasa Bagi Wilayah Perseketuan Kuala Lumpur

Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPZ MAIWP) juga ada menyediakan platform pembayaran zakat secara online. Selain zakat fitrah, anda turut boleh membayar pelbagai zakat-zakat lain di sini.

Tangkap layar laman web Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan

Langkah-langkah mudah bayar zakat fitrah puasa online di PPZ MAIWP

  1. Lawati laman web PPZ MAIWP.
  2. Klik butang yang bertulis ‘BAYAR ZAKAT‘ atau scroll ke bawah sedikit ke bahagian ‘Bayar Zakat Secara Online‘ dan tekan butang ‘Bayar Sekarang‘ dalam ruangan ‘Bayaran Tunai Online‘.
  3. Seterusnya, anda akan dibentangkan dengan satu paparan yang mempunyai menu pilihan di sebelah kanan (bagi paparan komputer) atau di sebelah bawah (bagi paparan telefon). Pilih Jenis Zakat yang ingin dibuat bayaran.
  4. Pilih Kadar Zakat Fitrah yang termaktub kepada anda dan jumlah orang yang anda bayar. Seterusnya, tekan butang ‘Tambah Zakat‘.
  5. Sebuah skrin pengesahan akan timbul. Sahkan maklumat dan masukkan sebarang butiran lain yang diperlukan.
  6. Pilih cara pembayaran yang anda ingin gunakan dan tekan butang ‘Bayar Secara Online‘.
  7. Anda akan dibawa ke muka internet banking yang anda pilih dan boleh teruskan seperti biasa dari situ.

Bayar Zakat Fitrah Puasa Bagi Negeri Pahang

Muka depan laman web eZakat oleh Majlis Ugama Islam & Adat Resam Melayu Pahang

Majlis Ugama Islam & Adat Resam Melayu Pahang turut menyediakan satu portal untuk pembayaran Zakat Fitrah secara online. Hanya RM 0.50 sen cas perkhidmatan yang dikenakan apabila menggunakan platform ini.

Langkah-langkah mudah bayar zakat fitrah puasa online di e-Zakat MUIP

  1. Lawati laman web eZakat MUIP.
  2. Pilih bayaran ‘Zakat Fitrah‘ daripada menu yang tertera.
  3. Anda akan melihat borang yang mengandungi 2 bahagian iaitu A dan B.
  4. Untuk Bahagian A iaitu maklumat peribadi, isi dengan lengkap.
  5. Untuk Bahagian iaitu Butiran Pembayaran isi dengan lengkap. Tekan butang ‘+‘ berwarna biru di sebelah kanan untuk isi maklumat zakat fitrah dan tekan ‘Simpan‘..
  6. Tandakan kotak pengesahan sekuriti ‘Saya bukan robot‘ dan klik butang ‘Seterusnya Untuk Bayar‘.
  7. Pada muka Sistem Pembayaran – FPX, pilih perbankan internet pilihan anda dan boleh terus bayar macam biasa.
  8. Pastikan anda muat turun sebarang resit atau nombor rujukan yang diberikan untuk bukti pembayaran.

Bayar Zakat Fitrah Puasa Bagi Negeri Terengganu

Laman web eZakat MAIDAM Terengganu

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu atau lebih dikenali sebagai MAIDAM juga menyediakan platfrom pembayaran zakat fitrah secara online dan ianya sangat mudah untuk digunakan.

Langkah-langkah mudah bayar zakat fitrah puasa online di ezakat MAIDAM

  1. Layari laman web eZakat Online MAIDAM.
  2. Pilih Jenis Zakat dan lengkapkan segala maklumat yang lain dan tekan butang ‘Seterusnya‘.
  3. Lengkapkan maklumat zakat fitrah dan tekan butang ‘Tambah Zakat‘.
  4. Pastikan semua maklumat anda tepat dan tekan butang ‘Seterusnya‘.
  5. Anda akan dibawa ke muka Niat Zakat dan pastikan anda membaca Niat yang betul sama ada bagi diri, keluarga atau sebagai wakil.
  6. Baca butiran buat kali terakhir sebelum buat bayaran dan tekan ‘Bayar Sekarang‘.
  7. Anda akan dibawa ke muka pembayaran FPX. Untuk pembayar individu, pilih ‘Pay using FPX‘, manakala untuk pembayar syarikat atau korporat, pilih ‘Pay using B2B FPX‘.
  8. Pilih bank pilihan anda dan tekan ‘Proceed‘.
  9. Seterusnya anda boleh membayar menggunakan sistem online banking bank pilihan anda seperti biasa.
  10. Jangan lupa untuk muat turun sebarang resit yang diberikan untuk rujukan pada masa akan datang.

Bayar Zakat Fitrah Bagi Negeri-negeri Lain di Malaysia

Jika anda dapat lihat, urusan membayar zakat secara online sangatlah mudah dengan menggunakan sistem online banking. Berikut merupakan langkah-langkah mudah yang umum bagi sistem pembayaran zakat fitrah secara online tidak kiralah di mana-mana platform sekalipun:

  1. Layari laman web rasmi Majlis Agama Islam negeri berkaitan.
  2. Klik pada pautan pembayaran zakat secara online.
  3. Masukkan butiran peribadi dengan lengkap.
  4. Masukkan butiran zakat fitrah.
  5. Niatkan pembayaran zakat fitrah.
  6. Pilih cara bayaran sama ada secara FPX, kad debit, atau e-wallet.
  7. Selesaikan pembayaran dengan cara pilihan.
  8. Muat turun sebarang resit yang diberikan.

Berikut adalah pautan berguna untuk laman web pembayaran zakat bagi negeri-negeri yang tidak disebutkan dalam panduan di atas.

  1. e-Zakat Payment Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK)
  2. eMAIJ Majlis Agama Islam Johor (MAIJ),
  3. ePayment eFitrah Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS),
  4. Zakat Melaka oleh Pusat Zakat Melaka,
  5. e-Zakat Majlis Agama Islam Perak (MAIP),
  6. Jom Zakat Lembaga Zakat Kedah,
  7. MAIPs Online Zakat Payment Majlis Agama Islam Perlis,
  8. Zakat Online Bahagian Zakat dan Fitrah Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), &
  9. Baitulmal Kamek Majlis Islam Sarawak (MIS).

Kesimpulan

Umumnya, pembayaran Zakat Fitrah amatlah mudah dilakukan. Pastinya tiada lagi alasan anda untuk tidak membayar zakat fitrah pada bulan Ramadhan kali ini.

Kami doakan semoga urusan anda dipermudahkan !

Rujukan

Imej oleh rupixen.com daripada Unsplash

Kiriman Serupa