Macam Mana Nak Berjimat Semasa Belajar di IPT?

Kehidupan di institusi pengajian tinggi (IPT) adalah fasa awal di mana kebanyakan kita akan belajar cara menguruskan kewangan dengan sendiri. Selalu kita dengar pelajar IPT selalu berlapar yang mana mi segera sudah menjadi makanan ruji pada akhir-akhir bulan.

Jadi, sebagai seorang pelajar IPT, adakah biasasiwa, pinjaman atau wang belanja yang diberikan kepada anda cukup untuk bertahan hingga hujung bulan? Sebenarnya banyak pelajar yang mengalami ‘poket bocor’ sehinggakan ada yang terpaksa meminjam dengan rakan-rakan pula.

Dapat melanjutkan pelajaran selepas tamat persekolahan adalah sesuatu yang amat dinantikan oleh seorang pelajar. Keseronokan melanjutkan pelajaran perlu dirasai oleh setiap pelajar tidak kiralah dari aspek pelajaran mahupun persahabatan.

Ketika menjadi seorang pelajar, terdapat banyak aspek penting yang harus diingati, antaranya adalah berjimat cermat menggunakan wang. Berikut merupkan tips untuk berjimat-cermat pada zaman pengajian di IPT.

Beli Komputer Atau Laptop Yang Memenuhi Keperluan Dan Bukannya Kehendak

Laptop atau komputer riba sememangnya item yang penting pada zaman pengajian di IPT sebab kebanyakan institusi pada hari ini memerlukan pelajar menyiapkan tugasan dengan menggunakan software Microsoft Office terutamanya Word, Excel dan Powerpoint. Penghantaran tugasan pun dalam format softcopy sahaja. Jadi pelajar kenalah ada laptop.

Selalunya pelajar akan terperangkap untuk membeli laptop yang berspesifikasi tinggi mungkin atas pengaruh rakan sebaya atau memang sudah lama aim sebab boleh buat main game sekali. Ini adalah kesilapan yang sangat besar kerana tujuan laptop tersebut pastinya sebahagian besar diperlukan untuk menyiapkan tugasan sahaja yang tidak memerlukan spesifikasi yang terlalu canggih sangat pun. Laptop yang asas sebenarnya sudah cukup yang penting ada Microsoft Office.

Namun kalau bidang pengajian anda memerlukan laptop yang berspesifikasi tinggi, mungkin ada kewajarannya di situ. Tapi kena ingat, pihak universiti pun pasti ada menyediakan komputer berspesifikasi tinggi bagi tugasan-tugasan yang memerlukannya.

Jangan beli laptop sebab nak main game. Belajar ke mana, duit pun kemana nanti!

Untuk penjimatan lebih banyak, boleh explore laptop terpakai yang banyak dijual di mudah.my, Carousell, Facebook dan di kedai-kedai laptop. Untuk laptop yang telah digunakan 2-4 tahun masih tidak ada masalah untuk digunakan cuma kena pandai cari sahaja. Silap haribulan anda boleh dapat laptop dengan spesifikasi tinggi pada harga yang murah.

Paling jimat adalah jika anda boleh mewarisi laptop daripada ahli keluarga. Contohnya kalau ada abang atau kakak anda yang telah menamatkan pelajaran di universiti minta sahaja secara percuma dari mereka.

Sebenarnya abang dan kakak anda memang gian sangat nak beli laptop yang baru tu lepas dapat kerja nanti. Percayalah ! Dengan cara ini anda sudah boleh jimat dalam RM2k ~ RM3k. Banyak tu.

Cuci Baju Sendiri. Elakkan Membasuh Di Dobi

Ini bergantung kepada asrama atau tempat penginapan anda. Ada institusi yang memang memasukkan sekali yuran dobi dalam yuran semester jadi pelajar tidak perlu pening kepala untuk cari dobi di luar. Namun begitu, tidak semua pelajar akan dibenarkan duduk di asrama pelajar. Selalunya bagi kebanyakan institusi keutamaan tinggal di asrama hanya diberikan kepada pelajar tahun pertama sahaja.

Basuh guna tangan juga boleh relaxed-kan otot-otot tangan yang stress kerana selalu menaip di laptop.

Bagi pelajar yang tinggal di rumah sewa, elakkan membasuh di dobi tetapi cuba basuh baju-baju kotor dengan sendiri sama ada dengan mesin basuh yang disediakan di rumah sewa atau guna berus basuh.

Dengan menggunakan kudrat fizikal, secara tidak langsung anda bolehlah regangkan otot-otot tangan yang keras kerana membuat assignments itu. Bukankan lebih sihat begitu. Jika kekerapan basuh baju seminggu sekali, anda sudah boleh jimat sekitar RM40 ~ RM60 sebulan. Bagi seorang pelajar, besar jumlah ini.

Beli Atau Sewa Buku Teks Dan Jual Semula Buku Yang Telah Digunakan

Buku teks tidaklah diperlukan bagi semua subjek yang anda ambil tapi memiliki buku teks adalah fenomena biasa di IPT kerana ia memudahkan anda untuk buat rujukan.

Sebenarnya, di perpustakaan pun banyak buku-buku rujukan yang diperlukan cuma kena buat pinjaman dan pulangkan pada masa yang telah ditetapkan sahaja. Cuma pelajar rasa leceh untuk ulang-alik ke perpustakaan pada setiap masa.

Jangan fotostat buku teks yang dilindungi cap dagangan terpelihara kerana ia menyalahi undang-undang.

Namun, jika anda tetap perlukan buku teks atau dikehendaki oleh pensyarah untuk beli buku teks cuba cari yang terpakai dulu. Boleh tanya senior-senior atau mungkin perpustakaan sendiri ada buat jualan buku teks terpakai. Selain itu, cuba masuk Facebook group pelajar-pelajar IPT berkenaan dan cari topik-topik berkenaan penjualan buku-buku teks yang terpakai.

Sebuah buku teks bukannya murah bahkan boleh mencecah ratusan ringgit. Buku teks terpakai dijual dengan harga separuh daripada harga baru atau mungkin lebih murah daripada itu. Silap haribulan anda boleh jumpa senior-senior yang memang mahu sedekahkan sahaja buku-buku mereka. Itu rezeki andalah kalau pandai buat repo yang baik dengan senior.

Paling penting, jangan fotostat buku teks tersebut. Memang kosnya jauh lagi murah daripada membeli buku terpakai tetapi sebenarnya perbuatan ini sama seperti mencetak rompak buku terbabit.

Anda kena ingat setiap produk komersial mempunyai hak cipta yang terpelihara yang melarang sebarang kandungan buku dicetak atau dihasilkan semula tanpa izin penerbit asal buku. Jika tertangkap anda boleh dikenakan tindakan undang-undang oleh pemilik hak buku terbabit. Lagi satu, mencetak rompak adalah haram di sisi agama Islam tidak kiralah produk itu dimiliki oleh sesiapa pun.

Belajar Tentang Pengurusan Kewangan

Kalau anda sempat baca sampai di sini, tahniah kerana artikel ini juga salah satu tips pengurusan kewangan. Namun, di luar sana pelajar boleh temui pelbagai lagi sumber informasi kewangan yang tidak kurang hebatnya.

Yang penting pelajar kena terus belajar tentang bagaimana mengurus kewangan. Ia adalah kemahiran yang akan diperlukan sepanjang hidup. Pengurusan kewangan berkait rapat dengan pengurusan sikap dan atitud diri terhadap nafsu membeli produk-produk yang dipasarkan di luar sana.

Boleh minta nasihat daripada orang-orang yang lebih berpengalaman seperti ibu bapa dan ahli keluarga yang anda percayai dan boleh dicontohi. Paling penting, bila dah dapat nasihat pastikan anda ikut nasihat tersebut. Ilmu pengurusan kewangan pasti tidak merugikan dan pasti dapat menyelamatkan anda dari musibah seperti berhutang dengan ah long atau muflis di kemudian hari.

Gunakan Kemudahan Awam Atau Berbasikal

Jika anda tinggal berdekatan dengan IPT atau hanya dalam kawasan asrama, cuba naik basikal berbanding daripada menggunakan kereta. Jika tinggal jauh dari kawasan IPT, boleh naik kemudahan awam seperti bas atau kereta api.

Harga sebuah basikal sudah tentu jauh lebih murah daripada sebuah kereta. Bahkan basikal memiliki kos penyelenggaraan yang sangat rendah berbanding sebuah kereta. Kereta memerlukan kos servis rutin, kos jika rosak, kos tukar tayar, kos tukar bateri dan tentu sekali kos minyak petrol.

Naik basikal pasti lebih mesra alam dan menyihatkan tubuh badan.

Cuba bayangkan kos penyelenggaraan sebuah kereta jenis Perodua Axia boleh mencecah sehingga RM200 setiap kali servis rutin biasa manakala jika servis major boleh mencecah sekitar RM500 ~ RM 600. Bila sudah ada kereta mustahil ia akan terperuk di situ sahaja, anda mesti ada keinginan untuk berjalan-jalan keluar dari IPT juga.

Jadi di situ secara tidak langsung ada lagi perbelanjaan yang tidak diperlukan. Tayar yang botak perlu ditukar juga. Sebji tayar kereta boleh berharga sekitar RM120 ~ RM200 bergantung kepada jenama, saiz dan jenis.

Jika anda naik bas atau kereta api, lagilah tidak perlu fikir mengenai kos-kos penyelenggaraan itu tadi. Alahai senangnya hidup.

Paling Penting: Elakkan Gaya Hidup Mewah dan Boros

Ini adalah perkara yang akan tentukan perbelanjaan anda cukup atau tidak setiap bulan. Secara asasnya, untuk hidup seseorang manusia itu hanya perlukan makanan dan minuman yang cukup. Sekurang-kurangnya anda kena makan tiga kali sehari iaitu sarapan, makan tengahari dan makan malam.

Makanan yang diambil pula perlulah seimbang dari segi khasiat dan kandungannya. Anda perlu ingat tidak semua makanan yang mahal berkhasiat dan tidak semestinya makanan yang murah tidak berkhasiat.

Contohnya, nasi lemak RM2 yang berlaukkan telur rebus dan sambal ikan bilis serta tetimun pasti lebih jauh berkhasiat daripada air Starbucks RM15. Nasi berlauk ayam goreng dan sayur masak lemak yang berharga RM7 pasti lebih baik dari set makanan segera yang diproses atau diawet dengan tanda harga RM20.

Apa yang penting, anda kenyang dan boleh fokus kepada pengajian dalam sehari-hari di IPT. ‘Jenama’ apa yang anda makan itu tidak penting. Tapi jangalah hanya makan mi segera pada setiap hari. Ia pasti juga tidak baik kerana apa yang kita makan perlu seimbang dan berkhasiat untuk kecerdasan otak dan kesihatan tubuh.

Tak kisah barang yang tidak berjenama pun asalkan perut kenyang setiap hari dan dapat fokus kepada pengajian.

Jadi sekarang anda boleh hidup dengan makanan yang cukup. Manusia juga perlukan pakaian untuk hidup. Sebagai pelajar IPT, belilah pakaian yang biasa-biasa sahaja asalkan selesa dan sedap mata memandang.

Tidak perlu beli pakaian yang berjenama mahal semata-mata ingin menarik perhatian orang lain. Nanti apabila sudah bekerjaya yang stabil, silakan berbelanja untuk jenama idaman anda. Kalau betul-betul mengidam jenama mahal mungkin anda boleh pertimbangkan mendapatkannya di kedai-kedai bundle.

Bagaimana dengan telefon bimbit atau gajet ? Cukup sekadar yang boleh membuat panggilan, membalas emel, menghantar mesej melalui Whatsapp atau Telegram. Boleh dikatakan, untuk semua simple tasks tersebut anda tidak perlukan Apple Iphone pun.

Telefon Android yang berspesifikasi basic sudah memadai. Sebuah telefon pintar boleh bertahan sekitar 5 ~ 7 tahun sebelum menunjukkan tanda-tanda kerosakan. Mungkin gaji pertama nanti, anda bolehlah buat beli Iphone jika betul-betul sudah lama diidamkan.

Tapis Pengaruh Rakan Sebaya Yang Negatif

Zaman IPT adalah unik kerana anda akan bertemu ramai kawan-kawan baru dari pelbagai latar belakang dan asal-usul. Tidak kurangnya zaman IPT juga adalah fasa di mana ramai akan terkena culture shock. Mungkin ada segelintir rakan anda berasal daripada keluarga yang kaya dan selesa jadi kehidupannya mungkin agak mewah berbanding pelajar-pelajar lain.

Contohnya, makanan kesukaannya mungkin Subway, McDonald, KFC, atau yang sewaktu dengannya. Pakaiannya mungkin Levi’s, Clark, Dockers dan sebagainya. Rutin hujung minggunya mungkin ke panggung-panggung wayang atau berlibur di cafe-cafe yang mahal. Anda mungkin terpengaruh jika terlalu kerap terdedah dengan mereka.

Bukannya tidak boleh berkawan bahkan anda digalakkan untuk bersilaturahim dengan semua orang tidak kira latar belakang. Mereka mungkin akan kerap mengajak anda untuk turut serta berbelanja sebegitu rupa jadi anda harus bijak menolak dan jujur dengan mereka bahawa anda tidak akan cukup duit belanja kalau ikut rentak perbelanjaan mereka. Jangan malu untuk berterus-terang daripada menipu diri sendiri.

Berkawan biar dengan semua orang tidak kira latar belakang tapi jangan mudah terpengaruh dengan habit kewangan yang tidak baik.

Apa yang penting carilah rakan-rakan baik dan rapat yang ‘sesuai’ dan ‘satu liga’ dengan anda kerana lebih senang untuk anda rancang aktiviti-aktiviti ‘bajet’ bersama-sama. Anda juga akan dapati rakan-rakan ‘satu liga’ anda pasti lebih memahami keadaan kewangan anda.

Lain-Lain Tips Yang Boleh Anda Pertimbangkan Untuk Berjimat di IPT

Berikut adalah lain-lain tips yang digunakan oleh kebanyakan pelajar di IPT untuk memastikan wang saku mereka bertahan hingga ke hujung bulan. Kalau bernasib baik, anda mungkin boleh buat sedikit simpanan pada setiap bulan.

  • Elakkan membeli ketika sedang lapar.
  • Hadkan makan di luar (seeloknya masak di rumah).
  • Elakkan merokok atau vape.
  • Sewa bersama rakan-rakan supaya dapat berkongsi bil-bil.
  • Gunakan pakej atau pelan telefon yang lebih murah termasuk SMS dan panggilan percuma.
  • Membeli di kedai yang mempunyai diskaun pelajar. Terdapat banyak tempat di mana pelajar boleh mendapat diskaun menggunakan id pelajar.
  • Jika suka bersenam, seeloknya bersenam di padang atau gunakan kemudahan yang disediakan oleh pihak kampus/sekolah.
  • Makan bersama rakan-rakan supaya anda boleh berkongsi membeli barang keperluan dapur.
  • Jual barang-barang yang sudah tidak digunakan lagi. Terdapat banyak laman web seperti carousell dan mudah.my di mana anda boleh menjual barangan terpakai seperti perabot, baju atau barangan teknikal.
  • Elakkan membeli keperluan menulis yang tidak perlu (cth: pen mahal).
  • Minum air masak. Elakkan membeli air di kedai terutamanya kopi-kopi mahal yang sedang trending.
  • Jangan membeli aplikasi di telefon. Dapatkan yang percuma.
  • Pertimbangkan menjadi ahli jawatankuasa kampus/sekolah. Kebiasaannya ahli jawatankuasa akan mendapat penempatan dan pelbagai kemudahan percuma.
  • Membuat simpanan jika terdapat duit lebih.
  • Jika tidak mengganggu prestasi pengajian cuba cari kerja part-time seperti pembantu restoran, pembantu kedai-kedai retail dan sebagainya.

Kesimpulan

Sebagai seorang pelajar, anda mesti mahukan keseronokan di kampus tidak kisahlah untuk diri sendiri mahupun bersama rakan-rakan. Tidak salah untuk berbelanja tetapi mestilah mengikut keperluan dan kemampuan diri masing-masing. Terdapat banyak faedah jika berjimat semasa menjadi seorang pelajar.

Antaranya ialah wang simpanan yang dikumpul semasa belajar boleh digunakan semasa mencari pekerjaan kelak. Mungkin ada sesetengah pelajar yang ditawarkan untuk bekerja di luar negeri atau di luar daerah tempat tinggal anda. Maka wang simpanan tersebut boleh dimanfaatkan sebaiknya. Diharapkan tips di atas dapat membantu para pelajar untuk berjimat cermat!

Rujukan

Kiiky. (2022, Jun 1). Personal Finance Habits: 11 Things Students Must Do To Be Rich. Diakses 10 Jun 2022, daripada https://kiiky.com/personal-finance-habits/

Kool FM. (2021, Mac 11). Ini 8 Tips Untuk Pelajar Di Kolej & Universiti ‘Berjimat Cermat’ Ketika Pemulihan Ekonom. Says. Diakses 12 Jun 2022, daripada https://says.com/my/seismik/ini-8-tips-untuk-pelajar-di-kolej-universiti-berjimat-cermat-ketika-pemulihan-ekonomi

Imej oleh Alexander Mils: https://www.pexels.com/photo/person-holding-100-us-dollar-banknotes-2068975/

Kiriman Serupa