Macam Mana Nak Bina Keyakinan Diri Dengan Mudah
Keyakinan diri adalah kepercayaan kepada diri sendiri. Keyakinan diri bolehlah didefinisikan sebagai keupayaan seseorang untuk menentukan keputusan atau bertindak secara berkesan tanpa rasa takut kepada segala cabaran. Ini menunjukkan keyakinan diri ialah penggabungan antara fikiran dan perasaan.
Individu yang memiliki tahap keyakinan diri yang tinggi akan merangsang pemikiran positif dengan memandang setiap sesuatu sebagai peluang untuk berjaya dan menolak perasaan negatif yakni tidak menjadikan setiap masalah sebagai penghalang kepada cita-cita.
Ramai yang mengalami kurang keyakinan diri, malah mereka terus menganggap diri mereka tiada apa-apa kelebihan yang boleh ditonjolkan. Ada pelbagai faktor yang menyebabkan seseorang itu kurang berkeyakinan dengan diri sendiri seperti yang dikongsikan oleh Betterhealth Australia di bawah.
- Pengalaman zaman kanak-kanak yang buruk,
- Keputusan akademik yang teruk secara konsisten,
- Sedang melalui momen-momen hidup yang sangat menekan seperti kegagalan perhubungan atau krisis kewangan,
- Layanan buruk dari pasangan, penjaga atau orang-orang terdekat,
- Sedang mengalami masalah kesihatan seperti sakit kronik, penyakit yang serius atau ketidakupayaan fizikal,
- Mengalami penyakit mental seperti anxiety atau kemurungan, dan
- Pernah menjadi mangsa serangan atau penganiayaan seksual.
Dalam artikel ini, kami akan membincangkan macam mana nak bina keyakinan diri dengan mudah supaya momen-momen hidup anda lebih bermakna.
Berhenti Membandingkan Diri Dengan Orang Lain
Setiap manusia yang lahir di muka bumi mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Menurut kajian yang diterbitkan oleh jurnal Personality and Individual Differences, mengatakan sikap membandingkan ini berpunca daripada sifat iri hati dan ketidakpercayaan terhadap diri sendiri.
Jika ada sifat tersebut, cuba jauhi keran ia akan merosakkan sahsiah diri anda serta memerosotkan diri.
Anda kena terima kenyataan yang tidak semua orang diciptakan dengan nasib yang sama. Cuba lapangkan dada dan redha dengan keadaan semasa diri anda.
Amalkan Penjagaan Diri Dengan Kasih Sayang Yang Tinggi
Penjagaan diri yang dimaksudkan itu adalah menjaga diri dari sudut jasmani, rohani, pemakanan dan rehat.
- Pemakanan yang sihat akan membuatkan seseorang lebih bertenaga dan sihat
- Jasmani yang sihat akan sentiasa membuatkan seseorang lebih berkeyakinan kerana mempunyai bentuk badan yang cantik.
- Rehat yang cukup sangat penting untuk emosi seseorang. Apabila mendapat rehat yang cukup dan berkualiti ia juga mampu meningkatkan tumpuan dan produktiviti anda.
Sentiasa Senyum Dan Mesra

Postur, senyuman, hubungan mata boleh menjadi penentu kepada keyakinan seseorang. Apabila anda sentiasa senyum dan mesra kepada orang lain samada ketika menyampaikan pembentangan ataupun bercakap di khalayak ramai, ia akan memberikan impak positif terhadap diri sendiri. Secara tidak langsung, akan meningkatkan tahap keyakinan diri.
Senyum itu juga sedekah!
Senyuman bukan sahaja membuatkan anda nampak ceria dan manis bahkan ia mampu mencetuskan orang di sekeliling untuk turut tersenyum. Dalam pada itu, semasa anda tersenyum, tubuh anda turut mengeluarkan sejenis bahan kimia yang dipanggil endorphins, salah satu bahan kimia semulajadi dalam badan untuk melawan stres.
Praktikkan Untuk Sentiasa Berfikiran Positif
Kita digalakkan sentiasa untuk berfikiran positif kerana dalam ajaran Islam juga melarang untuk kita merendahkan diri sendiri secara berlebihan terutamanya berfikiran negatif yang berlebihan. Ia seolah-olah bersangka buruk dengan takdir Tuhan. Contoh kata-kata positif yang boleh kita ungkapkan ialah.
- ‘Belum cuba, belum tahu!’
- ‘Semua orang boleh berjaya jika berusaha’
- ‘Setiap kejayaan pasti ada kegagalan’
Banyak lagi kata-kata semangat yang boleh anda inspirasikan dan jadikan mantra harian untuk mendapat keyakinan diri yang lebih baik.
Cuba Lawan Perasaan Takut
Setiap matlamat pasti akan ada cabaran akan dihadapi. Jangan sesekali takut dengan cabaran tersebut. Setelah anda mengharungi cabaran dengan jayanya, secara tidak langsung keyakinan anda akan bertambah.
Perasaan takut itu sebenarnya datang dari dalam diri anda sendiri. Percayalah yang bahawasanya orang di sekeliling anda tidak kisah pun bagaimana rupa bentuk anda jadi anda tidak perlulah takut keadaan yang tidak tentu pasal.
Kesimpulan
Demikian itu beberapa tips bagaimana hendak meningkatkan keyakinan diri. Dengan kaedah di atas mungkin sedikit sebanyak mampu meningkatkan keyakinan diri anda tidak kira untuk tujuan apa sekalipun.
Semoga berjaya!
Rujukan
Nurul Salmi Md. Dazali, (2017), Tahap Keyakinan Diri dalam Kalangan Pelajar Sarjana Muda Pendidikan, di Universiti Utara Malaysia, Jilid (3) 34.
Cara meningkatkan keyakinan diri, (2022), Diakses 4 Okt. 2022 https://klinikminda.com/cara-meningkatkan-keyakinan-diri/.
BetterHealth, Australia. “Self Esteem – Better Health Channel.” Www.betterhealth.vic.gov.au, 21 Aug. 2014, www.betterhealth.vic.gov.au/health/healthyliving/self-esteem#causes-of-low-self-esteem. Diakses 13 Nov. 2022.
SCH Health. “The Real Health Benefits of Smiling and Laughing.” Www.sclhealth.org, www.sclhealth.org/blog/2019/06/the-real-health-benefits-of-smiling-and-laughing/. Diakses 13 Nov. 2022.
Imej oleh 350543 daripada Pixabay