Macam Mana Nak Buang Background Gambar Secara Percuma

Anda mungkin pemilik perniagaan yang ingin mencantikkan lagi gambar produk-produk anda, atau blogger yang ingin menghasilkan header image yang cantik untuk posting anda yang seterusnya. Sebenarnya ada banyak cara yang boleh anda gunakan untuk buang background atau elemen-elemen yang tidak diperlukan dalam sesebuah gambar.

Apa yang menariknya, kesemua cara tersebut adalah percuma dan sangat mudah sekali justeru boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja.

Dalam artikel ini, kami akan kongsi dengan anda macam mana nak buang background gambar dengan percuma.

Buang Background Secara Online Dengan Menggunakan Adobe Express

Adobe Express bukan sahaja satu aplikasi untuk buang background gambar anda tetapi ia jauh lebih berkuasa daripada itu. Yang selebihnya anda boleh terokai sendiri nanti. Kali ini, dengan menggunakan Adobe Express, kita akan belajar buang background daripada gambar.

Langkah 1 : Buka mana-mana pelayar internet (browser) seperti Google Chrome dan taipkan alamat ‘adobe.com/express/’ di ruangan bar carian (search bar) atau bar alamat (address bar). Apabila laman sesawang Adobe Express muncul, klik pada ‘Get Adobe Express free‘ untuk bermula. Anda akan diminta untuk log masuk dengan mencipta akaun baru atau dengan akaun Google. Ikut sahaja arahan yang terpapar dalam skrin.

Langkah 2 : Apabila papan muka kerja utama (dashboard) muncul anda boleh scroll ke bawah sedikit untuk cari fungsi ‘Remove background‘.

Langkah 3 : Pada skrin berikutnya anda perlu memuat naik gambar sama ada dengan fungsi ‘Drag & drop an image‘ (iaitu tarik gambar tersebut dari folder di komputer anda ke dalam ruangan yang ditunjukkan dengan menggunakan tetikus) atau dengan menekan pautan ‘Browse on your device‘ seperti yang dikotakkan dalam gambar di bawah.

Selepas memuat naik gambar, tunggu sahaja Adobe Express melakukan magisnya dan anda akan terus mendapatkan hasil yang diinginkan dalam beberapa saat sahaja.

Buang Background Gambar Secara Online Dengan Menggunakan remove.bg

Langkah 1 : Dengan menggunakan mana-mana pelayar internet seperti Google Chrome, taipkan di dalam bar carian atau bar alamat alamat https://www.remove.bg/. Cara ini lebih mudah dan straightforward berbanding Adobe Express.

Pada muka utama laman web remove.bg klik terus pada butang ‘Upload Image‘ dan anda akan diminta untuk memilih gambar daripada komputer anda.

Langkah 2 : Hanya dalam beberapa saat sahaja background gambar anda akan hilang. Tekan pada tab ‘Removed Background‘ untuk lihat hasilnya dan tekan ‘Download‘ jika anda telah berpuas hati dengan hasilnya.

Buang Background Gambar Dengan Menggunakan Perisian GIMP

GIMP merupakan perisian pengubahan grafik yang boleh didapatkan secara percuma (open source) melalui laman sesawangnya gimp.org dan mempunyai fungsi seakan-akan Adobe Photoshop. Cara ini adalah sedikit advance berbanding dengan cara yang di atas kerana ia memerlukan kemahiran menggunakan komputer secara sederhana.

Nota

Cara ini lebih berkesan kepada background yang kosong dan (flat) seperti contoh di bawah, gambar dengan latar belakang berwarna hitam. Background yang kompleks akan memakan masa yang lama untuk dibuang.

Langkah 1 : Muat turun software installer GIMP dari https://www.gimp.org/downloads/ ke dalam komputer anda. Anda perlu pilih installer berdasarkan sistem operasi (operation system) komputer anda sama ada Windows, Mac atau Linux.

Selepas itu, klik pada butang ‘Download GIMP directly‘. Selepas muat turun, install GIMP dengan mengklik fail software installer dan ikut arahan yang terpapar pada skrin. Jika semua berlangsung tanpa masalah, kini anda telah berjaya memasang GIMP ke dalam komputer.

Langkah 2 : Mulakan aplikasi GIMP. Jika anda tidak jumpa di mana letaknya perisian GIMP, cuba gunakan bar carian komputer. Untuk memasukkan gambar subjek anda, tekan pada papan kekunci (keyboard) kunci ‘Ctrl’ dan ‘O’ secara serentak atau dengan mengnavigasi ke menu utama di sebelah kiri bahagian atas iaitu File>Open.

Tetingkap pemilihan fail akan terbuka jadi anda boleh pilih mana-mana gambar yang perlu dibuang backgroundnya. Gambar anda akan dimasukkan ke dalam dashboard perisian GIMP.

Langkah 3 : Klik pada peralatan ‘Fuzzy Select Tool‘ seperti kotak merah dalam gambar. Kemudian klik pada latar belakang yang ingin dibuang. Contohnya dalam gambar di bawah klik pada warna hitam gelap di belakang kucing tersebut.

Tekan butang ‘Delete‘ pada papan kekunci dan background akan dibuang serta-merta.

Langkah 4 : Jika anda berpuas hati dengan hasil yang diberikan oleh perisian tersebut, boleh terus export gambar tersebut ke dalam format PNG dengan menekan ‘CTRL’, ‘SHIFT’ dan ‘E’ pada papan kekunci secara serentak.

Tetingkap export akan muncul. Tukar extension nama fail kepada .png (seperti yang tertera di bawah) dan klik butang ‘Export‘.

Selepas itu, siap! Hasil kerja gambar anda akan selamat disimpan di dalam folder yang telah dipilih.

Buang Background Guna Perisian Inkscape

Inkscape merupakan sebuah perisian rekabentuk grafik percuma (open source) yang dikeluarkan sejak 2004 lagi. Fungsinya sama seperti Adobe Illustrator.

Untuk menggunakannya, anda perlu memuat turun software installer dan install ke dalam komputer.

Nota

Kaedah ini sesuai digunakan untuk semua jenis background. Namun, ia memerlukan ketelitian tinggi dan kemahiran komputer yang sederhana sahaja.

Langkah 1 : Dengan menggunakan mana-mana pelayar internet seperti Google Chrome, taipkan inkscape.org dan cari ‘Download‘ pada menu utama. Pilih ‘Current Version‘ dan pilih sistem operasi (operating system) komputer anda sama ada Linux, Mac, atau Windows.

Fail akan mula dimuat turun. Apabila selesai, install pada komputer.

Langkah 2 : Selepas Inkscape siap dipasang pada komputer, mulakan perisian tersebut. Tekan ‘CTRL’ dan ‘O’ dengan serentak untuk memuat masuk gambar ke dalam perisian. Boleh juga guna menu utama, File>Open. Anda juga boleh drag & drop gambar dari folder di komputer dengan menggunakan tetikus.

Langkah 3 : Besarkan gambar tersebut supaya anda boleh nampak sempadan subjek dan latar belakang dengan jelas. Tekan kekunci ‘B’ pada papan kekunci untuk mulakan peralatan Bezier pen atau tekan ikon pada menu sebelah kiri skrin.

Langkah 4 : Dengan menggunakan tetikus, klik pada suatu titik pada sempadan gambar untuk mula membuat garisan di sekitar subjek. Setiap satu klik akan menghasilkan satu garisan, teruskan sehingga anda merangkumi keseluruhan subjek dan kembali pada titik permulaan.

Klik semula pada titik permulaan untuk tutup kitaran tersebut. Garisan hijau dalam gambar di bawah adalah contoh garisan yang telah lengkap melingkungi subjek.

Tonton video cara-cara gunakan Bezier pen dengan lebih mendalam. Ia mungkin sukar pada permulaan tetapi dengan sedikit latihan akan jadi mudah.

Langkah 5 : Tekan kekunci ‘S’ pada papan kekunci untuk keluar dari Bezier pen. Tekan kekunci ‘CTRL’ dan ‘A’ pada papan kekunci secara serentak untuk pilih kesemua objek yang terlibat iaitu garisan hijau dan kucing tadi.

Langkah 6 : Tekan butang kanan tetikus (right-click) untuk menu pilihan tambahan. Pada menu tambahan tersebut klik pada pilihan ‘Set Clip‘. Pastikan kedua-dua garisan serta gambar tadi masih terpilih (selected) semasa operasi ini dilakukan.

Dalam sekelip mata, latar belakang gambar anda akan hilang serta-merta.

Langkah 7 : Untuk mengeksport keluar hasil akhir kerja anda, pada papan kekunci tekan serentak kunci ‘CTRL’, ‘SHFT’ dan ‘E’. Sebuah kotak menu tetapan akan keluar di sebelah kanan skrin.

Klik pada gambar. Pilih ‘Selection‘ pada menu tetatapan dan masukkan nilai di dalam ruangan ‘Image Size‘ mengikut kesesuaian. Lagi besar nilai, lagi tinggi kualiti gambar. Saiz fail pun akan jadi lagi besar. Akhir sekali, tekan butang ‘Export As…‘ dan anda boleh terus eksport hasil akhir kerja seni tersebut.

Kesimpulan

Membuang latar belakang sesuatu gambar tidaklah sukar namun ia tetap bergantung kepada hasil akhir yang anda inginkan. Jika sesuatu gambar itu kompleks, maka tekniknya yang diperlukan mungkin sedikit kompleks berbanding contoh-contoh yang diterangkan di sini.

Dalam hal ini, teknik yang akan menghasilkan hasil yang paling menarik tentunya dengan menggunakan perisian GIMP atau jika ada bajet, boleh guna Adobe Photoshop. Ia merupakan perisian yang dicipta khas untuk memanipulasi gambar dan grafik.

Di bawah ini adalah laman web lain yang boleh anda cuba.

Selamat mencuba !

Kiriman Serupa