Macam Mana Nak Buat Akaun Emel Gmail, Yahoo, dan Outlook Secara Percuma

Emel adalah antara medium komunikasi formal yang terawal digunakan sebelum wujudnya saluran seperti Whatsapp dan Telegram. Emel merupakan mel elektronik atau mesej elektronik yang disampaikan melalui talian internet.

Untuk menghantar atau menerima emel, seseorang memerlukan sebuah akaun emel. Ia berbeza dengan fungsi SMS atau MMS yang terdapat dalam telefon anda.

Pada era ini, akaun emel boleh dikatakan menjadi satu keperluan bagi menjalani kehidupan digital. Hampir kesemua aplikasi serta kemudahan dalam talian memerlukan anda mendaftarkan sekurang-kurangnya satu akaun emel yang perlu digunakan sebagai identiti untuk log masuk ke aplikasi tersebut.

Contoh aplikasi yang memerlukan akaun emel adalah seperti perbankan internet, Facebook, Instagram, MySejahtera dan sebagainya. Jadi dalam artikel ini, kami akan ajarkan kepada anda langkah terperinci macam mana nak buat akaun emel Gmail, Yahoo, atau Outlook secara percuma.

Buat Akaun Emel Baru Dengan Gmail (…@gmail.com)

Langkah 1: Buka mana-mana pelayar internet seperti Google Chrome (sebaiknya guna Google Chrome kerana Gmail dibangunkan oleh Google) dan taipkan ‘gmail.com’ dalam ruangan bar alamat. Atau boleh sahaja ‘search’ dengan menggunakan kata kunci ‘gmail.com’.

Langkah 2: Tekan butang ‘Create an account’.

Langkah 3: Masukkan semua maklumat yang diperlukan dalam borang pendaftaran yang tertera. Sebagai satu praktis yang baik, gunakan nama anda (atau nama syarikat) yang sebenar kerana ia menggambarkan profesionalisme.

Dalam ruangan ‘First Name‘, masukkan nama anda (contohnya: Muhammad Adam Adli). Dalam ruangan ‘Last Name‘, masukkan nama keluarga atau bapa anda (contohnya: Rahmat).

Dalam ruang ‘Username’ pula, masukkan nama ringkasan anda yang mudah dikenali dan diingati. Nama inilah yang akan menjadi akaun emel anda yang akan disambung dengan @gmail.com. Contohnya, adamadlirahmat@gmail.com.

Jika nama pilihan anda tidak boleh dimasukkan, cuba masukkan sedikit variasi seperti nombor (contohnya adamadlirahmat23@gmail.com) atau boleh sahaja anda pilih salah satu nama yang dicadangkan oleh borang tersebut.

Seterusnya, masukkan kata laluan yang selamat dan tekan butang ‘Next

Langkah 4: Masukkan maklumat nombor telefon dan alamat emel sandaran jika ada. Maklumat ini penting untuk keselamatan akaun emel daripada digodam dan amatlah digalakkan untuk memasukkan maklumat tersebut.

Langkah 5: Pada halaman seterusnya, iaitu Privasi dan Syarat anda digalakkan untuk baca kesemua syarat-syarat dan klik butang ‘I Agree’ di pengakhiran halaman tersebut jika anda telah bersetuju dengan segala syarat-syarat penggunaan servis Google yang telah ditetapkan.

Langkah 6: Sekarang anda telah memiliki sebuah akaun emel dengan Google. Jadi anda boleh mula menghantar dan menerima emel. Gunakan alamat emel baru ini bagi pelbagai aplikasi dalam talian atau sebagai medium komunikasi rasmi peribadi atau syarikat.

Buat Akaun Emel Baru Dengan Yahoo (…@yahoo.com)

Langkah 1: Buka mana-mana pelayar internet seperti Google Chrome dan taipkan ‘mail.yahoo.com’ dalam bar alamat. Atau boleh search mail.yahoo.com’ dalam bar carian.

Langkah 2: Klik butang ‘Create an account’.

Langkah 3: Lengkapkan borang pendaftaran yang tertera dengan maklumat yang benar dan klik ‘Continue’.

Langkah 4: Seterusnya, masukkan nombor telefon pada skrin berikutnya dan klik butang ‘Send code’.

Langkah 5: Satu kod dengan 5 digit nombor akan dihantar melalui SMS ke nombor telefon anda. Masukkan kod ini dalam skrin yang berikutnya.

Langkah 6: Anda akan menerima mesej yang alamat emel anda telah berjaya dicipta. Klik butang ‘Done’ pada skrin yang tertera.

Langkah 7: Sekarang anda telah berjaya memiliki sebuah akan emel …@yahoo.com.

Buat Akaun Emel Baru Dengan Outlook (…@outlook.com atau …@hotmail.com)

Langkah 1: Buka mana-mana pelayar internet seperti Microsoft Edge (sebaiknya guna Edge kerana Outlook dibangunkan oleh Microsoft) dan taipkan ‘outlook.com’ dalam bar alamat. Atau boleh search ‘outlook.com’ dalam bar carian.

Langkah 2: Klik butang ‘Create free account’.

Langkah 3: Masukkan nama yang anda ingin gunakan bagi emel (contohnya adamadlirahmat) dan pilih nama domain emel sama ada @outlook.com atau @hotmail.com daripada butang anak panah. Kemudian klik butang ‘Next’.

Langkah 4: Masukkan kata laluan yang selamat dan mudah diingati dan klik butang ‘Next’.

Langkah 5: Masukkan nama penuh anda. Nama anda di ruangan ‘First Name’ dan nama bapa atau keluarga di ruangan ‘Last Name’. Contohnya jika nama saya Adam Adli Bin Rahmat, First Name adalah Adam Adli dan Last Name adalah Rahmat.

Kemudian klik butang ‘Next’.

Langkah 6: Masukkan negara dan tarikh lahir anda dan klik butang ‘Next’.

Langkah 7: Satu halaman pengesahan bahawa anda bukan robot akan muncul. Klik butang ‘Next’ untuk mulakan pengesahan.

Langkah 8: Selesaikan sebarang pengesahan yang muncul di skrin. Dalam kes saya, ia telah meminta saya untuk memilih sebarang gambar yang ada itik. Anda mungkin akan dapat soalan yang berbeza.

Langkah 9: Pada skrin ‘Stay signed in?’ klik butang Yes jika anda mahu kekal log masuk pada setiap sesi di pelayar internet tersebut. Jika tidak klik No, anda perlu masukkan nama emel dan kata kunci setiap kali mahu log masuk.

Langkah 10: Sekarang anda telah memiliki sebuah akaun emel dengan Microsoft Outlook.

Kesimpulan

Mencipta akaun emel di atas platform Gmail, Yahoo ataupun Outlook tidaklah sukar bahkan langkah-langkah adalah hampir serupa bagi hampir kesemua platform penyedia perkhidmatan emel.

Kini anda bolehlah mendaftar pelbagai akaun media sosial seperti Facebook, Twitter, TikTok, perbankan internet, dan sebagainya dengan menggunakan alamat emel yang baru dicipta ini.

Anda boleh cuba untuk menggunakan perkhidmatan yang lain seperti:

Rujukan

Imej oleh Onlineprinters daripada Unsplash

Kiriman Serupa