Macam Mana Nak Buka Akaun Tabung Haji Secara Online

Lembaga Tabung Haji (TH) adalah sebuah badan berkanun yang tertakluk di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535). Aktiviti utama TH ialah pengurusan haji, tabungan dan pelaburan bagi warganegara Islam di Malaysia.

TH sentiasa berusaha keras untuk menyediakan perkhidmatan haji yang cemerlang kepada para Jemaah Haji Malaysia dan rekodnya yang konsisten telah mendapat pengiktirafan dunia sebagai model pengurusan haji yang inovatif. Jadi anda mungkin tertanya-tanya macam mana nak buka akaun tabung haji secara online bukan?

Tahukah anda Tabung Haji merupakan salah satu institusi pengurusan Haji strategik yang tertua di dunia. Ia telah ditubuhkan pada tahun 1963. Pada zaman itu, ia mendapat pendeposit seramai 1,281 dengan jumlah wang yang dideposit sebanyak RM 46,610.00 sahaja.

Namun begitu, pada tahun 2017 terdapat sekitar 9.3 juta orang pendeposti dengan jumlah terkumpul sebanyak RM 70 bilion.

Dalam pada itu, Tabung Haji juga memberikan dividen yang berbeza-beza pada setiap tahun kepada simpanan anda. Jadi, jika anda tidak pernah mengeluarkan duit daripada akaun anda, jumlah duit anda akan berkembang. Namun, pendeposit yang bercirikan berikut tidak layak mendapat agihan keuntungan atau dividen:

  • Pendeposit dengan akaun tidak aktif dan berstatus dorman;
  • Pendeposit dengan akaun yang ditutup sebelum tarikh agihan keuntungan dibuat; dan
  • Pendeposit dengan akaun yang dibuka selepas 5 Disember tahun dividen diumumkan (tidak cukup satu bulan penuh).

Jadi dalam entri kali ini, kami akan tunjukkan kepada anda macam mana nak buka akaun tabung haji secara online sahaja.

Buka laman web THiJARI

Tangkap layar dari laman web THiJARI

Laman web THiJARI boleh diakses di https://www.thijari.com.my/

THiJARI merupakan sebuah rangkaian perkhidmatan digital Tabung Haji yang telah dibangunkan pada 5 Februari 2020. Ia merupakan pelantar dalam talian yang boleh digunakan oleh pemegang akaun TH untuk tujuan;

  1. Semakan Akaun
  2. Mencetak Penyata Akaun
  3. Pindahan Simpanan Wang
  4. Perkhidmatan Haji
  5. Penamaan & Hibah Amanah
  6. Agihan Potongan Gaji
  7. Kelab Taha

Tekan pada pautan ‘Tiada Akaun TH? BUKA SEKARANG

Tangkap layar paparan muka depan THiJARI

Anda akan disambut oleh muka depan laman sesawang tersebut. Di situ, dengan jelas anda boleh melihat pilihan untuk membuka akaun baru.

Tekan pada pautan ‘Tiada Akaun TH? BUKA SEKARANG!

Anda akan dibawa ke muka seterusnya.

Lengkapkan segala butiran yang diperlukan

Butiran yang diperlukan bagi pembukaan akaun baru TH

Seterusnya, anda perlu melengkapkan segala butiran yang diperlukan bagi menyudahkan proses pendaftaran pembukaan akaun Tabung Haji.

Lengkapkan segala butiran dan tekan pada butang Berikutnya.

Hadir ke mana-mana cawangan Tabung Haji

Setelah menghantar borang permohonan secara online, anda perlulah hadir secara fizikal ke mana-mana cawangan Tabung Haji terdekat bagi menyempurnakan proses pendaftaran dengan cara pengesahan biometrik dan pengenalan.

Anda akan diberi keutamaan kerana telah mengisi borang secara online. Anda boleh melihat senarai penuh cawangan TH di https://www.tabunghaji.gov.my/ms/senarai-pejabat-th-negeri-cawangan.

Akhirnya, anda akan dapat akaun Tabung Haji dan bolehlah buat urusan-urusan yang diperlukan seterusnya.

Hubungkan akaun Tabung Haji ke Maybank2u

Kalau anda ada akaun Maybank, anda boleh hubungkan akaun Tabung Haji anda dengan Maybank2u. Ia membolehkan anda melihat baki akaun TH, memindahkan dana dengan cepat ke akaun anda sendiri dan banyak lagi fungsi lain.

Ikut langkah-langkah di bawah untuk hubungkan akaun TH anda dengan Maybank2u.

  1. Pergi ke mana-mana mesin ATM Maybank yang terdekat. Lihat senarai ATM di sini.
  2. Bawa kad ATM Maybank bersama.
  3. Masukkan kad ATM anda di mesin ATM Maybank yang terdekat.
  4. Pilih ‘Tabung Haji’.
  5. Pilih ‘Daftarkan akaun Tabung Haji kepada kad ATM’.
  6. Masukkan nombor akaun Tabung Haji anda kemudian pilih ‘Ya’.
  7. Masukkan nombor siri buku Tabung Haji anda dan pilih ‘Ya’ untuk mengesahkan.
  8. Satu resit pengesahan akan dijana setelah permintaan anda diproses dan akaun anda berjaya dikaitkan.

Setelah berjaya menghubungkan akaun Tabung Haji dengan Maybank anda bolehlah mulakan pelbagai transaksi dalam talian dengan mudah dan cepat.

Hubungkan akaun Tabung Haji ke CIMB Clicks

Selain menggunakan Maybank2u, anda juga boleh hubungkan akaun Tabung Haji ke CIMB Clicks.

Ikut langkah mudah berikut:

  1. Pergi ke mana-mana mesin ATM CIMB yang berdekatan anda. Lihat senarai ATM yang terdekat di sini.
  2. Bawa kad ATM CIMB bersama.
  3. Masukkan Debit Mastercard CIMB
  4. Pilih “Lain-lain” > “Tabung Haji”
  5. Pilih “Pautkan akaun”
  6. Masukkan nombor akaun Tabung Haji
  7. Pilih “Ya” untuk pengesahan
  8. Terima slip transaksi anda

Kesimpulan

Haji merupakan salah satu ibadah wajib yang dilaksanakan oleh semua umat Islam yang berkemampuan dari segi wang ringgit, kesihatan dan keupayaan, serta diberikan giliran ke sana. Tabung Haji telah membuatkan urusan menunaikan Haji amat mudah bagi seluruh rakyat Malaysia.

Pendaftaran akaun Tabung Haji amatlah mudah sekali dengan pelbagai platform yang telah disediakan oleh pihak Tabung Haji.

Kami doakan semoga urusan anda dipermudahkan dan beroleh peluang untuk menunaikan Haji pada masa akan datang!

Rujukan

Muneeza, Aishath & Sudeen, Amira & Nasution, Atiqoh & Nurmalasari, Ratih. (2018). A Comparative Study of Hajj Fund Management Institutions in Malaysia, Indonesia and Maldives. International Journal of Management and Applied Research. 5. 120-134. 10.18646/2056.53.18-009.

Imej oleh GLady daripada Pixabay

Kiriman Serupa