Macam Mana Nak Dapat Keputusan Cemerlang Dalam Peperiksaan
Peperiksaan merupakan perkara yang biasa kita tempuhi sejak dari zaman sekolah sehinggalah ke alam pekerjaan. Ia adalah antara kaedah yang diterima umum untuk menguji tahap pemahaman seseorang dalam sesuatu bidang. Senang cerita ia mengukur tahap ‘kecerdikan’ dan ‘kelayakan‘ anda dalam sesuatu bidang.
Umum mengetahui jika kita peroleh keputusan peperiksaan yang baik maka masa depan kehidupan kita akan lebih baik. Mungkin lebih mudah untuk mendapat tajaan pelajaran, kemasukan ke universiti yang terkemuka, peluang pekerjaan yang lebih baik, mengharumkan nama keluarga dan sebagainya.
Namun begitu, untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan bukannya mudah dan tidak pula terlalu sukar. Anda cuma perlu tahu ‘tricks’ yang betul nescaya akan ada hasil yang baik. Jadi dalam artikel kali ini kami akan kongsi macam mana nak dapat keptusan yang cemerlang dalam peperiksaan.
Pilih Bidang Pengajian Yang Anda Minat
Tidak dinafikan minat adalah antara perkara penting dalam proses menuntut ilmu kerana ia merupakan sebuah perjalanan yang panjang. Pengajian ilmu adalah sebuah pencarian yang memerlukan anda mengorbankan pelbagai perkara dalam kehidupan. Tanpa minat yang mendalam, usaha yang dicurahkan mungkin tidak sepenuhnya jadi hasilnya mungkin juga separa masak sahaja.
Cuba bayangkan anda sedang menuntut di universiti dalam bidang kejuruteraan permotoran yang memang sebati dengan minat anda. Bukankah anda akan lagi tertarik terhadap subjek-subjek yang disediakan dalam jurusan tersebut justeru akan lebih terlibat dengan lebih aktif dalam kelas, tutorial, atau praktikal. Mestilah anda akan lagi faham!
Minat atau ‘passion‘ memang penting tidak kiralah anda buat apa sekalipun. Minatlah yang akan mendorong anda untuk terus ke depan walau susah macam mana pun.
Namun begitu, minat bukanlah syarat wajib untuk skor kerana ramai juga orang yang skor dalam peperiksaan atas dorongan-dorongan yang lain juga. Banyak lagi kaedah untuk skor gred yang bagus walaupun tanpa minat mendalam.
Contohnya semasa di peringkat persekolahan, anda tentunya tidak banyak pilihan dan kadang-kadang aliran pengajian ditentukan oleh guru ataupun penjaga. Namun yang mendorong anda untuk belajar dan dapat keputusan yang cemerlang waktu itu mungkin dorongan daripada ahli keluarga.
Fokus Terhadap Pembelajaran Dalam Kelas Oleh Pensyarah Atau Guru
Pensyarah atau tutor pasti tidak lokek ilmu kerana mereka sememangnya dibayar gaji untuk mengajar anda. Anda perlu faham bahawa kualiti pengajaran oleh mereka ini dinilai oleh pihak universiti. Maksudnya kalau subjek tersebut bosan dan ramai yang gagal mungkin perlu ada siasatan terhadap kualiti pengajaran seseorang pensyarah tersebut. Jadi sudah tentu pensyarah akan bagi yang terbaik dalam kelas.
Masalahnya, adakah anda sebagai pelajar memberikan komitmen dan tumpuan yang terbaik semasa dalam kelas ?
Sebenarnya jika anda dengan sedaya-upaya mendapatkan kefahaman semasa di dalam kelas, usaha untuk ulangkaji pada saat-saat akhir mesti jadi lagi mudah. Tinggal untuk memperkemaskan sedikit-sebanyak yang kurang sahaja berbanding apabila anda terpaksa belajar semula dari Topik 1. Jadi, pastikan anda tidak ponteng kelas dan beri fokus yang tinggi semasa di dalam kelas dan tutorial.
Malah, ada pensyarah yang tidak lokek memberikan ‘hints’ soalan-soalan yang akan keluar dalam peperiksaan akhir nanti. Ada juga yang mengadakan kelas tambahan kepada pelajar atas inisiatif sendiri tanpa mengharapkan apa-apa balasan pun. Oleh itu, janganlah sombong dengan guru atau pensyarah anda.
Gunakan Bahan Pelajaran Yang Diberikan Oleh Pensyarah Atau Guru
Jika anda diberi panduan belajar atau peperiksaan latihan pastikan anda melengkapkannya sepanjang slot masa belajar anda. Bahan-bahan ini penting, kerana ia mungkin dicipta oleh pensyarah yang juga membina soalan peperiksaan anda.
Selalunya, bahan yang diberikan semasa tutorial atau kelas tambahan pasti tidak berbeza jauh dari peperiksaan yang akan dihadapi nanti. Bukankah tidak logik namanya jika anda belajar benda lain semasa dalam kelas tetapi benda lain yang diuji nanti.
Oleh itu, cubalah siapkan kerja rumah, ‘assignments’, tutorials atau soalan-soalan yang lebih ditekankan oleh guru atau pensyarah dengan sehabis baik. Kadang-kadang soalan yang keluar mungkin serupa dengan ‘assignments‘. Pasti menyesal kalau anda buat ‘assingments’ secara sambil lewa atau dengan cara meniru rakan yang lain.
Jawab Soalan-Soalan Lama dari Bank Soalan Peperiksaan
Salah satu cara yang paling berkesan dalam ulangkaji bagi menghadapi peperiksaan ialah dengan menjawab soalan-soalan peperiksaan yang lama atau versi tahun-tahun sebelumnya. Ini akan membantu anda membiasakan diri dengan format soalan, dan anda pasti dapat membiasakan diri terhadap tempoh waktu yang sepatutnya dihabiskan bagi setiap bahagian.
Apabila anda telah menjawab ratusan soalan-soalan lama, anda pasti akan sedar bahawasanya format soalan adalah lebih kurang sama sahaja melainkan mungkin sedikit manipulasi. Bank-bank soalan peperiksaan boleh didapati di kedai-kedai buku atau daripada guru sendiri bagi peperiksaan peringkat sekolah.
Jika format peperiksaan sekarang masih sama dengan lepas, maka tidak mustahil soalan yang keluar dalam peperiksaan nanti sama dengan soalan-soalan terdahulu.
Namun, di peringkat universiti soalan-soalan peperiksaan yang lama mungkin lebih sukar untuk didapati tapi tidak mustahil. Pensyarah anda pasti tidak lokek untuk memberikan satu atau dua set contoh soalan-soalan yang mirip dengan peperiksaan akhir. Selain itu, cuba minta dari para senior. Mereka mesti sudi mewariskan bank-bank soalan kepada anda.
Namun begitu, anda kena peka dengan apa-apa perubahan silibus pelajaran dan format peperiksaan yang dibuat oleh pihak universiti dari semasa ke semasa. Takut nanti sia-sia anda ulangkaji sesuatu bab tapi sebenarnya ia sudah dibuang dari silibus pengajaran. Sebab itulah tidak boleh ponteng kelas!
Buat Ulangkaji Secara Berkumpulan
Pilih tiga ke empat orang rakan-rakan yang memang fokus ingin cemerlang dalam peperiksaan dan rancang untuk jalankan ulangkaji secara berkumpulan. Bukannya apa, orang Eropah ada menyebut ‘two heads are better than one’ yang bermaksud lagi ramai orang yang fikir lagi mudah anda mendapat pendapat atau jawapan daripada orang lain yang turut sama memikirkan masalah tersebut.
Paling penting, kena ada seorang ketua yang boleh dikatakan ‘pandai’ dalam kumpulan tersebut.
Anda mungkin mempunyai soalan yang mereka ada jawapannya dan begitu juga sebaliknya. Selagi anda memastikan anda kekal fokus pada topik untuk tempoh masa yang dipersetujui, ini boleh menjadi salah satu cara paling berkesan untuk mencabar diri anda.
Perbincangan sesama ahli kumpulan atau rakan akan memaksa otak anda berfikir secara lebih kritikal jadi akan jadi mudah faham.
Belajar secara dalam kumpulan juga akan menjimatkan masa ulangkaji berbanding belajar secara sendirian. Bukannya tidak bagus belajar secara sendirian tetapi tidak semua orang mempunyai kebolehan memahami sesuatu perkara dengan cepat. Mereka inilah yang kita kata budak pandai atau genius. ‘Baca sekali terus faham dan ingat’. Ini sudah ‘level’ lain.
Bagi anda yang mempunyai IQ yang suam-suam kuku rajin-rajinkanlah sertai belajar secara berkumpulan. Tapi janganlah bergosip pula semasa belajar dalam kumpulan.
Buat Jadual Ulangkaji dan Ikut Jadual Tersebut Dengan Komited
Mempunyai rancangan bagaimana anda akan ulangkaji pelajaran adalah sangat penting. Pastikan ia realistik dan anda boleh komited dengannya. Janganlah pula anda buat jadual yang tidak masuk akal seperti tidur hanya tiga jam sehari dan selebihnya ulangkaji pelajaran.
Ambil kira semua peperiksaan anda, luangkan lebih banyak masa untuk peperiksaan yang lebih mencabar atau yang anda perlukan untuk mendapat markah yang lebih tinggi. Selain itu, pastikan anda memasukkan waktu rehat secukupnya sepanjang hari ulangkaji anda, serta masa untuk makan dan tidur. Hal ini penting untuk kesihatan tubuh badan secara umumnya.
Pastikan anda mendapatkan rehat secukupnya semasa mengulangkaji pelajaran. Bagi setiap satu jam setengah ke dua jam ambil rehat selama sekurang-kurangnya 20 minit.
Ingat, jika badan kita tidak sihat maka fungsi otak juga akan terbatas pada waktu tersebut kerana ia akan disibukkan untuk berfikir tentang virus-virus atau bakteria yang menyerang tubuh anda. Kalau ‘study’ pun mungkin tak berapa masuk dalam kepala.
Gunakan Carta Alir Dan Gambar Rajah
Bantuan visual boleh membantu semasa ulangkaji. Sebelum mula ulangkaji sesuatu topik, cuba tulis semua yang anda sudah tahu tentang topik tersebut dan kemudian lengkapkan yang mana anda tertinggal.
Semakin dekat dengan waktu peperiksaan, ringkaskan nota rujukan anda ke dalam rajah satu halaman. Dengan membentangkan idea atau nota anda ke dalam format yang ringkas ini boleh membantu anda mengingati dengan cepat perkara yang penting semasa peperiksaan. Carta alir juga boleh digunakan seolah sebuah papan cerita.
Bayangkan ulangkaji anda sebagai aktiviti menonton sebuah filem yang anda minati dan kaitkan poin-poin penting dengan watak-watak yang ada dalam filem tersebut. Dengan langkah ini, pasti lebih mudah anda ingin mengingati fakta-fakta penting subjek tersebut apabila anda kaitkannya dengan filem kegemaran anda.
Dapatkan Rehat dan Tidur yang Secukupnya
Anda mungkin fikir untuk skor semaksimum mungkin dalam peperiksaan jadi anda fikir mesti belajar dalam jangka masa yang panjang sepanjang-panjangnya namun ia sebenarnya boleh menjadi tidak produktif. Sama seperti jika anda berlatih untuk maraton, anda tidak akan berlatih dengan terlalu lama dan berlari 24 jam sehari.
Begitu juga, kajian telah menunjukkan bahawa untuk pengekalan pengetahuan jangka panjang, berehat secara cukup benar-benar membantu kerana otak juga adalah satu organ yang akan penat apabila bekerja pada jangka masa yang lama jadi ia memang perlukan rehat seperti anggota tubuh badan yang lain.
Tidak apa jika anda meluangkan masa untuk bersukan seperti sedia kala kerana ia pasti akan dapat mengurangkan stress.
Setiap orang adalah berbeza, jadi rangka jadual rutin belajar yang sesuai dengan keadaan fisiologi dan psikologi anda. Ada orang jenis yang mudah ingat dan faham pada waktu pagi, jadi boleh mula ulangkaji seawal mungkin sebelum berehat pada waktu makan tengah hari.
Atau, jika anda lebih produktif pada waktu malam, berehat lebih lama lebih awal supaya anda bersedia untuk tenang menjelang petang. Yang penting anda tahu keadaan yang terbaik untuk diri anda sendiri bukannya orang lain.
Dalam pada itu, keluarlah dari bilik sekali-sekala untuk menikmati cahaya matahari dan udara segar. Ingat Vitamin D penting untuk otak yang sihat. Tambahan pula, sebuah kajian mendapati bahawa kuantiti dan kualiti tidur yang anda dapat sepanjang hari ulangkaji dan malam sebelum peperiksaan akhir akan membantu anda dalam peperiksaan nanti.
Makan Makanan Yang Baik Untuk Kesihatan Otak
Anda mungkin rasa sebagai pelajar anda perlu berjimat secara ekstrem dengan makan mi segera sahaja pada setiap masa, tetapi percayalah apa yang anda makan sebenarnya boleh memberi kesan kepada tahap tenaga dan tumpuan, jadi jauhi makanan ringan yang tidak mengandungi sebarang khasiat penting untuk tubuh.
Pastikan badan dan otak anda bertenaga dengan memilih makanan berkhasiat yang telah terbukti membantu tumpuan dan ingatan, seperti ikan, kacang, biji, yogurt dan blueberry.
Begitu juga pada hari peperiksaan yang mana anda perlu makan makanan yang baik sebelum menduduki peperiksaan, iatu makanan yang mempunyai kandungan tenaga yang mencukupi. Gula mungkin kelihatan menarik, tetapi tahap tenaga anda akan jatuh dalam sejam kemudian.
Minum Air Dengan Secukupnya
Tidak dinafikan ia adalah unsur yang penting dalam tubuh manusia jadi anda perlu memastikan tahap kandungan air dalam badan adalah mencukupi. Sepatutnya minum air dengan banyak telah menjadi rutin harian bukannya pada masa peperiksaan sahaja.
Kekurangan air dalam badan boleh mengurangkan efisiensi fungsi badan serta fungsi otak. Maknanya kalau kurang minum air akan susah untuk berfikir.
Biasakan diri anda membawa botol air ke dalam kelas dan tentunya ke dalam dewan peperiksaan terutamanya pada hari-hari bercuaca panas.
Minta Berkat dan Doa Guru atau Pensyarah Serta Ibu Bapa
Bagi yang beragama Islam, anda tidak dapat lari daripada perkara redha dan berkat dari guru, pensyarah atau ibu bapa. Anda mungkin pelajar yang bijak atau genius tetapi percayalah jika seorang guru tidak redha dengan anda boleh jadi ilmu itu menjadi tidak berkat dan membawa anda ke jalan yang buruk.
Bukannya anda perlu sujud cium kaki guru tersebut tapi cukup dengan meminta maaf atas salah silap semasa anda menjadi muridnya dan minta dia halalkan ilmu yang telah dicurahkan.
Dalam pada itu, minta doa mereka dan paling penting doa daripada ibu bapa sendiri. Mudah-mudahan Tuhan akan permudahkan urusan anda menjelang hari peperiksaan nanti.
Jawab Soalan Yang Mudah Dahulu Kemudian Barulah Soalan Susah
Menyelesaikan soalan yang anda tahu jawapannya terlebih dahulu akan memberi anda keyakinan dan momentum untuk mengharungi baki peperiksaan. Jangan luangkan terlalu banyak masa berfikir tentang soalan yang anda rasa kurang yakin.
Dengan cara ini anda akan menjimatkan masa dan menyelamatkan markah yang penting. Yang penting jangan gelabah dan kekal tenang. Anda mungkin terlupa sedikit sahaja dan apabila anda menjawab soalan-soalan yang mudah dahulu pasti fakta atau kefahaman bagi soalan yang susah tadi pasti akan datang secara perlahan-lahan.
Beri otak anda masa untuk berfikir jawapan kepada soalan yang susah itu tadi semasa anda jawab soalan mudah.
Semasa anda menjawab soalan yang mudah, otak separa sedar anda akan memikirkan soalan yang sukar dan cuba menyelesaikannya. Bulatkan mana-mana kata kunci dalam soalan yang anda masih berusaha untuk mencari jawapannya.
Kadang-kadang soalan yang mudah-mudah itu boleh jadi memberikan petanda kepada soalan-soalan susah tadi. Ini akan membantu otak anda menumpukan perhatian kepada perkara utama soalan dan diharapkan dapat membantu anda mengingati jawapan yang betul.
Optimis Dan Fokus Pada Peperiksaan Lain
Setelah anda menghantar kertas peperiksaan tersebut yakinlah bahawa anda telah berusaha sehabis baik dan teruslah berfikiran positif walaupun anda rasa macam susah atau sukar untuk skor. Ambil masa untuk merehatkan minda dan badan seketika sebelum sambung ulangkaji subjek-subjek yang lainnya.
Akhir sekali, setelah anda berusaha keras jangan lupa untuk sandarkan segala usaha-usaha tersebut ke dalam doa kepada Tuhan.
Kesimpulan
Sekarang anda sudah tahu sedikit-sebanyak tip-tip untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam sebuah peperiksaan. Sebenarnya, ada banyak lagi cara untuk skor dalam peperiksaan akhir tapi pucuk pangkalnya ia bergantung kepada kerajinan dan usaha anda sendiri.
Ringkasnya ia bergantung kepada sikap diri sendiri. Memang benar ada manusia yang dilahirkan genius dan bijak jadi usahanya untuk skor dengan cemerlang mungkin sedikit berbanding anda. Tapi tanpa usaha mereka ini juga akan ketinggalan. Oleh itu, sebenarnya usaha sememangnya tangga kejayaan.
Awas, jangan meniru dalam mana-mana peperiksaan kerana ia adalah perbuatan yang sangat jijik dan keji. Dalam apa-apa agama sekalipun, ia pastinya tidak dibenarkan kerana seoalah-olah anda menipu.
Selamat menduduki peperiksaan dan semoga anda mendapat keputusan yang cemerlang nanti.
Rujukan
Griswold, S. (2017, Disember 23). Student-to-student: Tips for scoring high on your exams. News – University of Wisconsin-Madison. Diakses 24 Julai 2022, daripada https://news.wisc.edu/student-to-student-tips-for-scoring-high-on-your-exams/
Writer, S. (2022, July 22). Exam Preparation: Ten Study Tips. Top Universities. Diakses 24 Julai 2022, daripada https://www.topuniversities.com/student-info/health-and-support/exam-preparation-ten-study-tips