Macam Mana Nak Hadapi Temuduga Pertama Dengan Jayanya

Saat anda menghadapi temuduga pertama selepas bergelar graduan universiti boleh menjadi perkara yang menakutkan jika difikir terlalu panjang namun pada masa sama boleh jadi sangat mengujakan.

Ia menandakan permulaan lembaran baharu dalam kehidupan profesional anda dan memberikan peluang untuk mempamerkan kemahiran dan semangat anda terhadap bidang yang telah dipelajari di universiti dahulu.

Dalam artikel kali ini, kami kongsi sedikit strategi dan petua-petua yang komprehensif untuk anda bawa bekal bagi menghadapi temuduga pertama anda dengan jayanya.

Pengenalan kepada Temuduga Kerja

Temuduga kerja adalah kritikal dalam proses pengambilan pekerja. Proses ini membuka peluang kepada pihak majikan untuk menilai kesesuaian anda bagi sesuatu jawatan dan kekosongan yang diperlukan di organisasi berkenaan dan juga untuk anda menilai adakah tempat kerja tersebut sesuai dengan bakat dan kemahiran yang anda miliki.

Oleh itu, tanggapan pertama atau mat saleh cakap first impressions adalah sangat penting. Mereka menetapkan suasana atau ‘undang-undang’ untuk temuduga tersebut dan ia boleh memberi kesan ketara kepada persepsi penemuduga terhadap anda.

Macam Mana Nak Dapat Keputusan Cemerlang Dalam Peperiksaan

Selain itu, persediaan adalah kunci kejayaan dalam apa jua keadaan sekalipun. Dalam hal ini, ia melibatkan kajian mengenai syarikat tersebut, memahami peranan pekerjaan, dan bersedia secara mental untuk temuduga. Sama pentingnya ialah menjaga penampilan fizikal anda, kerana ia menyumbang kepada first impressions yang positif.

Kalau awal-awal jumpa dah ‘serabai’, penemuduga juga pasti akan skeptikal pada anda sebelum temuduga itu berlangsung.

Kajian dan Persedian Terhadap Segala Maklumat yang Penting

Memahami misi, nilai dan budaya syarikat adalah sangat penting sebelum anda melangkah masuk ke dalam bilik temuduga tersebut. Biasakan diri anda dengan produk, perkhidmatan dan perkembangan organisasi tersebut yang terkini.

Pengetahuan ini bukan sahaja membantu dalam menjawab soalan yang berkaitan tetapi juga menunjukkan minat anda terhadap syarikat dan jenis industri yang anda bakal bekerja nanti.

Anda perlu dapatkan pemahaman yang jelas tentang senarai kerja dan tugasan nanti setelah berjaya menjawat jawatan tersebut. Oleh itu, adalah bijak jika anda dapat kenal pasti kemahiran dan pengalaman yang diperlukan untuk jawatan itu dan fikirkan bagaimana latar belakang anda sejajar dengan keperluan tugasan yang disenaraikan oleh jawatan tersebut.

Resume dan Dokumentasi

Resume anda hendaklah disesuaikan dengan pekerjaan yang anda mohon. Cuba serlahkan pengalaman, kemahiran dan pencapaian yang relevan yang menjadikan anda calon yang sesuai untuk jawatan tersebut semasa anda menulis resume yang terkini.

Selain itu, sediakan dan susun semua dokumen yang diperlukan termasuklah resume, surat tawaran, sijil pendidikan dan contoh hasil kerja anda, jika berkenaan. Dokumen-dokumen penting ini yang disusun dengan kemas boleh menunjukkan kemahiran anda untuk menyusun dan meletakkan prioriti terhadap fail-fail kerja.

First Impressions dan Sosok Rupa

Sebelum anda hadir ke sesi temuduga, pastikan pakaian anda adalah profesional dan sesuai untuk industri tersebut. Pilih pakaian yang konservatif dan kemas yang membuatkan anda berasa yakin. Ada organisasi yang tidak kisah dengan pakaian yang kurang kasual yang mana mereka hanya berminat untuk mengetahui tentang kemahiran teknikal yang anda miliki. Ada juga organisasi yang sangat particular terhadap isu pakaian ini.

Apa yang penting anda boleh sentiasa bertanya kepada mereka. Untuk langkah selamat anda boleh pakai pakaian smart casual.

Semasa sesi temuduga, bahasa atau gerak-geri badan anda akan banyak memberikan impak terhadap keputusan keseluruhan temuduga tersebut. Jadi, kekalkan postur yang baik, buat hubungan mata, dan hulurkan handshake yang kemas dan meyakinkan. Petunjuk bukan lisan ini boleh menyampaikan keyakinan dan profesionalisme.

Teknik dan Strategi Temu Bual

Bersiap sedia untuk mejawab soalan temuduga yang biasa diajukan seperti “Beritahu saya tentang diri anda,” “Mengapa kami perlu ambil anda bekerja?” dan “Apakah kekuatan dan kelemahan anda?” Bagi respons yang jujur, ringkas dan relevan dengan jawatan tersebut. Soalan-soalan ini sebenarnya berfungsi sebagai warm up kepada sesi temuduga tersebut. Jadi, jawapan yang perlu anda berikan tidaklah perlu terlalu panjang dan berjela-jela. Biarkan ia pendek tetapi padat.

Macam Mana Nak Jadi Seorang Content Creator

Soalan-soalan berkisar kepada tingkah laku berfungsi untuk menilai cara anda mengendalikan situasi yang lebih kurang sama pada masa lalu. Mungkin situasi tersebut adalah biasa bagi jawatan tersebut.

Gunakan teknik STAR (Situation, Task, Action, Result) untuk menyusun jawapan anda dengan memberikan contoh yang khusus yang menunjukkan kemahiran dan pengalaman anda dalam sesuatu situasi.

Bertanya Soalan Berwawasan

Temuduga adalah perbualan dua hala bukan satu hala sahaja. Anda juga berhak untuk bertanyakan soalan kepada penemuduga dan jika anda tiada soalan, penemuduga sendiri akan memberi ruang untuk anda bertanya kepada mereka.

Oleh itu, adalah bijak jika anda boleh sediakan soalan bernas tentang syarikat, pasukan dan peranan anda di organisasi tersebut.

Hal ini dapat menunjukkan minat anda dan membantu anda menilai sama ada pekerjaan itu sesuai untuk anda dan adakah anda sesuai untuk mereka sebenarnya. Bahkan, sikap tidak mahu bertanya lebih lanjut selalunya memberi maksud yang anda tidak terlalu berminat dengan jawatan tersebut.

Etika Selepas Temuduga

Hantar emel mengucapkan terima kasih atau kata-kata penghargaan dalam tempoh 24 jam selepas temuduga. Nyatakan rasa terima kasih atas peluang itu dan nyatakan minat anda yang semakin bertambah bagi jawatan tersebut setelah berbincang dengan lanjut semasa sesi temuduga tadi. Isyarat ‘halus’ ini boleh meninggalkan kesan positif yang berpanjangan kepada pihak penemuduga, terutamanya jika jumlah calon agak sedikit.

Mengendalikan Penolakan dan Belajar daripada Pengalaman

Akhir sekali, anda harus ingat bahawa tidak setiap temu duga akan menghasilkan tawaran kerja kerana tentunya bukan anda seorang yang bersaing untuk jawatan itu. Apatah lagi jika ia merupakan syarikat yang besar dan ternama. Jika anda tidak diterim, jadikan ia sebagai pengalaman pembelajaran.

Cuba dapatkan maklum balas daripada penemuduga dan fikirkan prestasi temuduga anda dan gunakan sebarang maklumbalas yang diberikan oleh mereka untuk menambah baik cara anda bawa diri semasa temuduga pada masa akan datang.

Tidak kira apa pun hasilnya, setiap temu duga adalah peluang pembelajaran untuk anda kembangkan kemahiran public relation, PR anda. Fikirkan apa yang berjalan dengan baik dan apa yang boleh diperbaiki. Pertingkatkan kemahiran dan pengalaman anda secara berterusan untuk meningkatkan kebolehpasaran anda untuk peranan masa hadapan.

Pihak majikan tentunya mempunyai seribu satu faktor untuk menolak seseorang calon. Selalunya, apa yang menyebabkan anda ditolak adalah supply tidak bertemu dengan demand. Gaji yang anda minta mungkin terlalu tinggi dari apa yang ditawarkan oleh organisasi tersebut. Atau kemahiran yang anda miliki tidak serupa dengan objektif dan keperluan syarikat.

Kesimpulan

Menghadapi temuduga pertama anda dengan jayanya memerlukan persediaan, latihan, dan sikap positif. Dengan mengkaji secara sistematik maklumat syarikat dan peranan jawatan, menyediakan dokumentasi anda, membuat kesan pertama yang hebat, menggunakan teknik temu bual yang berkesan, dan menghantar emel susulan selepas temu duga boleh membantu anda untuk satu temuduga yang berjaya.

Ingat, setiap temuduga adalah satu langkah ke hadapan dalam perjalanan profesional anda yang mana ia bakal menawarkan pengalaman berharga dan peluang pembelajaran. Dengan strategi ini, anda serba-sedikit dapat bersedia untuk menghadapi temuduga kerja pertama anda dengan yakin dan tenang.

Kami doakan agar temuduga anda berjalan lancar dan anda terpilih untuk menjawat kekosongan tersebut 🙂

Kiriman Serupa