Macam Mana Nak Jadi Kaya Dengan 7 Langkah Mudah
Ramai orang nak jadi kaya kerana mereka percaya dengan kekayaan harta benda hidup mereka akan jadi senang-lenang dan selesa. Bila anda mempunyai harta kekayaan yang melimpah-ruah secara automatik kuasa juga akan berada di tangan anda. Apa yang penting, kekayaan dikaitkan dengan kelangsungan hidup seseorang dan keluarganya.
Tidak perlu diceritakan apa kelebihan menjadi orang kaya. Itu anda sudah boleh bayangkan sendiri. Pernah atau tidak anda tanya diri sendiri dengan soalan, ‘kalau aku kaya apa aku nak buat?‘ Pasti panjang lebar angan-angan dan wishlist anda, betul kan?
Kalau anda bukanlah dari keluarga orang-orang bangsawan atau jutawan maka kami akan kongsikan 7 langkah mudah macam mana nak jadi kaya sebagai rakyat marhaen (orang biasa-biasa). Apa yang penting, semua langkah-langkah ini mudah untuk dilakukan tanpa memerlukan kos yang besar pun.
Tetapkan Mindset Kewangan Yang Positif
Apabila bercerita mengenai nak jadi kaya, anda perlu mempunyai pemikiran berkenaan wang atau monetari yang positif. Semua orang mempunyai kisah wang masing-masing dan ia menjadi tugas utama anda untuk memahami tentang cerita kewangan diri sendiri yang mana anda perlu tahu adakah ia menghalang anda daripada bergerak lebih ke hadapan.
Bukannya anda perlu jadi mata duitan tapi kena pasang mata-mata pada setiap sen duit anda!
Merangka semula kisah kewangan anda supaya selari dengan pemikiran jutawan adalah penting untuk kejayaan kerana orang kaya berfikir secara berbeza. Bagaimana untuk menjadi kaya tidak boleh sekadar menjadi fasa yang berlalu terlalu mudah macam itu sahaja dalam hidup tanpa kerja keras dan komitmen 200%.
Ia perlukan bukan sekadar lintasan hati dan fikir, tetapi kerja keras siang dan malam. Jadi, selagi anda ada masa untuk bersantai-santai dan bersenang-lenang anda belum berusaha sehabis baik untuk jadi kaya.
Kalau Nak Jadi Kaya…Sediakan Bajet Kewangan
Apalah bajet-bajet, orang kaya kan berbelanja ikut suka sahaja. Inilah mentaliti kita terhadap orang kaya bukan? Tetapi malangnya ia hanya dalam drama-drama Melayu TV3 bolehlah. Namun sebaliknya, jutawan yang bijak akan mengikut bajet yang telah dirancang. Rahsia terbesar tentang cara untuk menjadi kaya dan kekal kaya adalah berbelanja kurang daripada jumlah pendapatan yang anda hasilkan.
Jika pendapatan RM 2,000 berbelanjalah RM 1,000 sahaja bukannya RM 3,000! Selebihnya masukkan ke dalam tabung simpanan.
Pastinya akan sentiasa ada kehendak yang melebihi had bajet, walaupun untuk jutawan, kerana duit tidaklah selamanya ada. Tidak semestinya anda memiliki wang atau harta puluhan juta bermakna anda boleh berbelanja ikut suka. Kalau inilah caranya, walaupun anda bergelar jutawan pasti akan cepat papa kedana semula.
Pengurusan Wang Adalah Kunci Nak Jadi Kaya Cepat
Pengurusan wang yang baik sangat penting untuk menjadi kaya dan kekal kaya. Pengurusan wang adalah tingkah laku dan tabiat. Anda perlu berhati-hati di mana anda melabur dan membelanjakan wang anda. Terdapat strategi khusus untuk mengembangkan kekayaan anda dan mengekalkannya dan anda mesti mengikutinya seperti anda melakukan rejim senaman.
Jika tidak diurus anda tidak tahu kemana bocornya wang anda!
Pernah atau tidak anda perasan kawan-kawan atau orang terdekat yang kelihatan kaya dengan kereta mahal, barang-barang berjenama, makan di kedai-kedai mahal tapi kuat betul meminjam wang sana-sini. Gaya hidup dia mungkin nampak kaya kerana dia tidak boleh tampak ‘miskin’ untuk jaga air muka tapi hakikatnya dia sangat miskin dengan hutang keliling pinggang. Inilah pengurusan wang yang sangat buruk.
Boleh ambil pengajaran daripada kisah seorang pemain bola sepak ternama suatu ketika dahulu yang menjadi bankcrupt kerana salah urus kewangan!
Laburkan Wang Anda Untuk Kembangkannya Lagi
Melabur dalam aset yang akan mempunyai pertambahan nilai dari semasa ke semasa dan memberikan pulangan ke atas pelaburan anda seperti pembayaran dividen atau faedah adalah langkah yang bijak.
Property adalah antara aset pelaburan jangka panjang yang berbaloi namun tidak semua orang mampu mendapat pinjaman perumahan yang kompetitif.
Pelaburan dilakukan oleh ramai orang dan ramai juga telah menjadi kaya-raya dengannya. Matlamatnya adalah untuk membina portfolio aset anda dan menjadikannya begitu kukuh sehingga anda boleh hidup daripada pendapatan pasif semasa persaraan anda.
Namun anda perlulah ada ilmu pelaburan supaya ia boleh dilakukan dengan strategik. Jika tidak mampu, cari pakar pelaburan yang membuat servis-servis pelaburan yang patuh syariah dan diyakini telus.
Bina Perniagaan Mengikut Matlamat Kewangan Peribadi Anda
Sebagai pemilik perniagaan, anda mempunyai lebih kawalan ke atas wang yang anda jana daripada perniagaan syarikat berbanding menjadi pekerja yang makan gaji. Jika anda mahukan lebih banyak wang, anda boleh meningkatkan pendapatan perniagaan dan margin keuntungan.
Kebanyakan orang yang kaya adalah peniaga! Ada juga orang makan gaji yang buat perniagaan sampingan lalu dia jadi kaya dengan perniagaannya bukannya hasil makan gaji bulanan itu tadi.
Lebih banyak keuntungan yang anda jana dalam perniagaan anda, lebih banyak dividen atau bonus kepada diri sendiri yang boleh anda keluarkan, bergantung pada struktur undang-undang perniagaan anda.
Pelbagaikan Sumber Pendapatan
Pemilik perniagaan yang bijak akan cuba mencipta lebih daripada satu aliran pendapatan kerana ia melindungi mereka daripada turun naik dalam pasaran. Ini bermakna jika satu sumber pendapatan susut disebabkan keadaan pasaran, sumber pendapatan lain boleh melindungi anda daripada kerugian.
Banyakkan Bersedekah
Ehh bukankah kalau nak jadi kaya kena banyakkan menyimpan apa hal kena bagi orang pula. Inilah ajaibnya sedekah. Ramai yang sudah alaminya dan akui keajaiban sedekah. Lagi diberi lagi bertambah-tambah rezeki yang datang.
Namun begitu, janganlah bersedekah dengan niat supaya ditambah lagi kekayaan harta-benda. Niat perlu ikhlas dan murni untuk menolong orang-orang yang dalam kesusahan bukan sebab nak jadi kaya!
Kesan-kesan positif sedekah itu tadi biarlah dia datang sendiri. Kadang-kadang dia tidak datang terus. Ia akan datang dalam keadaan yang tidak disangka-sangka.
Kesimpulan
Bukan mudah untuk menjadi orang kaya sebab itu lebih ramai yang sanggup berlagak kaya dengan meminjam wang sana-sini sampai terjebak dengan Ah Long. Namun begitu, ia tidak mustahil dilakukan dari kosong. Ramai telah buktikan bahawa anda boleh jadi kaya walaupun tidak mempunyai latar belakang keluarga yang kaya. Apa yang penting adalah usaha yang kuat untuk mencapainya.
Kami doakan semoga urusan anda dipermudahkan !
Rujukan
Houston, Melissa. “How to Get Rich from Absolutely Nothing.” Forbes, 11 Aug. 2021, www.forbes.com/sites/melissahouston/2021/08/11/how-to-get-rich-from-absolutely-nothing/?sh=3a33183d5304. Accessed 6 Dec. 2022.
Palmer, Barclay. “How to Become a Millionaire.” Investopedia, 8 Apr. 2022, www.investopedia.com/financial-advisor/how-much-save-to-become-millionaire/.
Imej oleh Brett Hondow daripada Pixabay