Macam Mana Nak Jadi Kaya Sebagai Seorang Pelajar

Pada era milenium ini, keinginan untuk menjadi kaya bukan sahaja diidami oleh golongan orang yang bekerja malah ramai juga pelajar turut berhasrat untuk menjadi kaya ketika masih belajar lagi. Menjadi kaya bukan semudah kata-kata, ia memerlukan proses yang panjang. Kejayaan yang ada pada hari ini selalunya adalah usaha keras dan penat lelah selama bertahun-tahun.

Prinsip yang sama dilakukan oleh semua orang, tidak kira golongan yang sudah bekerja mahupun pelajar. Sekiranya anda sudah bersedia untuk berusaha keras dan berkorban, maka anda sudah bersedia menuju untuk menjadi kaya.

Ingat bahawa salah satu kunci kepada kejayaan adalah mengetahui cara bagaimana membelanjakan wang anda. Tidak salah untuk berbelanja, tetapi haruslah mengikut kemampuaan masing-masing. Untuk artikel kali ini, akan ditunjukkan macam mana cara nak kaya sebagai seorang pelajar. Tapi nampak macam mustahil sahaja bukan. Tidak semestinya.

Kenapa Anda Kena Belajar Menguruskan Kewangan

Kemahiran kewangan asas adalah salah satu perkara penting untuk seseorang menjalani kehidupan yang selamat. Pemahaman tentang asas-asas seperti belanjawan, simpanan, hutang, dan pelaburan mempengaruhi sebahagian daripada kehidupan seharian.

Kemahiran asas kewangan haruslah diajar dari sekolah. Berikut merupakan antara sebab kenapa anda perlu cepat-cepat memahirkan diri tentang pengurusan kewangan:

Duit mempengaruhi segalanya!

Kewangan memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian kita. Dari mula berkerja, membeli rumah pertama dan mempunyai anak, semuanya melibatkan kewangan atau pun lebih dikenali sebagai kemahiran asas kewangan.

Begitu juga jika membeli-belah, makan, melancong dan keluar bersama keluarga dan rakan. Kita akan berhadapan dengan keputusan tentang kewangan setiap hari tidak kira dalam jumlah yang kecil atau besar.

Kurangnya pengetahuan tentang kewangan boleh membawa padah

Difahamkan kewangan adalah salah satu punca utama tekanan paling besar dalam kalangan orang dewasa. Bahkan, orang paling kaya juga mengalami tekanan berkaitan masalah kewangan.

Hutang atau kekurangan simpanan boleh memberikan tekanan yang ketara kepada kehidupan seseorang. Ia bukan sahaja menyebabkan tekanan harian malah masalah kewangan boleh menyebabkan kejadian yang lebih teruk seperti perceraian, kesihatan yang buruk, kemurungan dan muflis.

9 Cara Untuk Kaya Sebagai Pelajar

Mari kita lihat beberapa cara yang boleh dilakukan oleh seorang pelajar untuk menjadi kaya. Cara ini boleh dilakukan bukan hanya untuk pelajar, malah semua orang tanpa mengira status dan latar belakang.

Ia telah membantu banyak pelajar mengharungi kemiskinan semasa di sekolah, mengelakkan hutang dan menetapkan asas yang baik untuk masa depan kewangan yang stabil. Berikut adalah senarai yang boleh dilakukan oleh seorang pelajar untuk menjadi kaya:

  1. Belanja kurang daripada pendapatan. Apabila perbelanjaan anda kurang dari pendapatan ia bermakna anda akan ada surplus untuk ditabung atau dilaburkan.
  2. Melabur wang pada masa muda. Sekarang zaman informasi di hujung jari yang mana anda boleh belajar mengenai pelaburan di banyak saluran internet. Tapi jangan buat pelaburan dulu sebelum anda betul-betul yakin. Mulakan dengan pelaburan yang kecil dan dapatkan guru yang boleh dipercayai untuk bertanya.
  3. Elakkan berhutang. Hutang akan dikenakan bunga dan apabila lewat bayar anda akan dikenakan penalti dalam jumlah yang boleh tahan besarnya.
  4. Menyimpan wang sebanyak mana yang boleh tapi jangalah sampai berlapar dan tidak boleh berfungsi sebagai manusia normal. Kena berpada-pada.
  5. Cuba belajar berniaga semasa di kampus. Perniagaan anda boleh berkisar kepada servis ataupun produk yang difikirkan sesuai dengan pasaran pelajar.
  6. Buat belanjawan. Belanjawan akan membantu anda kekal on-track untuk capai finacial goals anda.
  7. Buat simpanan untuk kecemasan. Ramai orang gagal untuk buat simpanan kecemasan. Ia boleh ditukar kepada simpanan pada kemudian hari jika tidak digunakan.
  8. Mempelajari tentang pelaburan kewangan. Belajar melabur secara kecil-kecilan dalam ASB atau pelaburan emas yang boleh dipercayai.
  9. Banyakkan bersabar dan menahan nafsu terhadap barang-barang atau gajet yang diidamkan. Lepas sudah kaya nanti anda boleh reward diri sendiri dengan membelinya satu persatu.

Kesimpulan

Jika salah satu target anda sebagai seorang pelajar adalah untuk mejadi kaya, anda boleh lihat senarai-senarai di atas. Pada zaman kolej/sekolah adalah masa yang sesuai untuk anda mula mempelajari kemahiran tentang kewangan.

Sekiranya anda mahir di dalam kemahiran kewangan pada usia yang muda, anda dapat mempraktikkan ilmu tersebut sebaik sahaja tamat pengajian. Ini bagi mengelakkan anda ditipu, anda boleh mencari kerjaya yang sesuai dan tidak mustahil anda boleh menjadi kaya lebih awal daripada rakan-rakan anda.

Oleh itu, mulai dari sekarang anda boleh mula belajar tentang kemahiran kewangan untuk menjamin kestabilan wang pada masa akan datang. Ingatlah kata orang bijak pandai ‘Tak handsome tak apa janji kaya’.

Rujukan

Kiiky. (2022, Jun 1). Personal Finance Habits: 11 Things Students Must Do To Be Rich. Diakses 10 Jun 2022, daripada https://kiiky.com/personal-finance-habits/

Imej oleh Goumbik daripada Pixabay

Kiriman Serupa