Macam Mana Nak Jadi Ketua Keluarga Yang Baik

Ketua keluarga merupakan individu yang paling penting dalam rumahtangga. Ketua keluarga wajib melaksankan tanggungjawab bagi mendirikan rumahtangga yang harmoni.

Dalam Islam, ketua keluarga ini merupakan seorang pemimpin yang mana tanggungjawabnya amat besar dan bakal di tanya oleh Allah SWT di akhirat kelak. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 228:

Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya)”.

Allah SWT menerangkan bahawa suami ataupun ketua keluarga mempunyai satu tanggungjawab yang sangat besar. Ketua keluarga mestilah mengikut garis panduan yang telah digariskan oleh syariat islam agar dapat memberikan impak positif kepada keluarga.

Dalam artikel kali ini kami akan beberapa tips macam mana nak jadi ketua keluarga yang baik supaya keluarga anda mempunyai hala tuju kehidupan bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat sana.

Memberikan Didikan Dan Dorongan Agama

Ketua keluarga wajib memberikan didikan yang baik kepada ahli keluarga. Seperti mana dalam al-Quran ada menyebut dalam Surah An-nisa ayat 34:

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh keranaAllah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya. Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untukmenyusahkan mereka”

Ketua keluarga mempunyai kuasa untuk mendidik dan mengajar isteri dan anak-anaknya kepada perkara kebaikan. Ketua keluarga juga digalakkan mempunyai ilmu pengetahuan mengenai agama kerana dengan ilmu tersebut akan digunakan untuk mendorong ahli keluarga.

Membuat Pengawalan dan Pengawasan

Kawalan dan pengawasan juga amat penting dari masa ke semasa. Memberikan didikan sahaja tidak cukup memadai dalam memastikan isteri dan anak-anak tidak terjebak dalam perkara negatif dan menyimpang daripada batas agama.

Ketua keluarga perlu meluangkan masa dengan isteri dan anak-anak tidak kiralah berapa sibuknya dia.

Oleh yang demikian, ketua keluarga wajib mengambil berat setiap tindak tanduk ahli keluarga bagi memastikan keluarga terpelihara daripada anasir negatif. Konsep kawalan dan pengawasan ini bukanlah satu perkara yang mengongkong tetapi ketua keluarga mesti meletakkan Batasan dalam sesuatu perkara yang perlu ahli keluarga patuhi.

Mencurahkan Kasih Sayang dan Belas Kasihan

Ketua keluarga bukanlah seorang majikan yang sentiasa memberi arahan, akan tetapi ketua keluarga adalah sumber kekuatan dan kasih sayang kepada rumah tangga. Allah SWT berfirman:

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.”

Ketua keluarga mesti mempunyai perasaan kasih sayang dan belas kasihan kepada isteri dan anak-anak supaya dapat mengelak diri daripada sifat diktator. Menyakiti isiteri dan anak-anak perkara yang dilarang dalam islam bahkan akan dilaknat oleh Rasulullah SAW.

Menunjukkan Akhlak dan Teladan Yang Baik

Kepimpinan yang baik dan berkesan adalah daripada sikap yang baik. Isteri dan anak-anak akan melihat setiap tindak tanduk kelakuan ketua keluarga kerana dialah manusia ‘hebat’ yang paling dekat di dalam keluarga.

Ketua keluarga mestilah menunjukkan teladan yang baik kerana ia sangat penting dalam proses kepimpinan keluarga lebih lebih lagi anak-anak di usia kanak-kanak. Mereka akan meniru dan mengikut apa sahaja percakapan mahupun perbuatan yang dibuat oleh ayahnya.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, ketua keluarga memainkan peranan yang sangat penting dalam membina rumahtangga.

Memahami konsep kepimpinan dengan betul, menjalankan tanggunjawab sebagai seorang suami dan ayah dengan baik serta mempraktikkan nilai-nilai murni kepada keluarga merupakan tugas yang sinonim dengan jawatan seorang ayah atau ketua keluarga.

Kegagalan menguruskan hala tuju ahli keluarga mungkin membawa keluarga tersebut ke arah kebobrokan rumah tangga.

Kami doakan semoga urusan keluarga anda dipermudahkan !

Rujukan

Siti Halimah Putung, (2020), Kepimpinan Suami dalam Perspektif Islam: Fungsi dalam memperkukuhkan institusi keluarga: Universiti Malaya.

Imej oleh Olya Adamovich daripada Pixabay

Kiriman Serupa