Macam Mana Nak Jadi Suri Rumah Sepenuh Masa Yang Produktif
Buat seluruh wanita di luar sana, pernah tidak anda terfikir nak berhenti kerja dan menjadi suri rumah? Sebagai seorang yang bekerjaya, kadang-kadang anda sudah bekerja 6-7 tahun, suasana kerja pun seronok, gaji pun dah selesa kadang-kadang boleh cecah lima angka sebulan!
Perkara ini yang kadang-kadang menjadi dilema buat para isteri sama ada dah ready atau tidak untuk meninggalkan kerjaya terutamanya bagi mereka yang bergaji besar dan mampu hidup mewah. Yang paling penting, adakah anda tidak akan menyesal dengan pilihan tersebut? Cuba fikir sejenak, anda sudah terbiasa ada gaji setiap bulan dan boleh membeli apa sahaja yang mahu dengan gaji anda tanpa perlu meminta daripada si suami.
Dalam artikel kali ini kami akan kongsi 6 tips macam mana nak jadi suri rumah sepenuh masa dengan lebih cemerlang. Paling penting, harapnya anda tidak akan menyesal dengan pilihan yang telah dibuat.
Meminta Restu Daripada Suami
Sebagai seorang isteri, perlu faham terlebih dahulu masalah atau keadaan situasi rumah tangga dan haruslah lebih bertolak ansur dengan suami. Ini kerana ada sesetengah suami mahu isterinya bekerja juga sedikit sebanyak dapat menjadi sandaran kewangan keluarga saat terdesak.
Pada era kini, untuk sesebuah keluarga hidup selesa sesuai dengan taraf hidup di negara kita gaji seorang suami sahaja pasti tidak mampu untuk menampung segala keperluan tersebut. Justeru, gabungan kedudukan kewangan kedua-dua pasangan amatlah penting untuk kelestarian kehidupan sesebuah keluarga. Namun begitu, jika manfaatnya lebih besar daripada kewangan semata-mata pasti tindakan anda untuk menjadi suri rumah sepenuh masa adalah sangat berbaloi.
Oleh itu, sebaiknya berbincang dengan suami dan bentangkan perancangan anda kepada suami terlebih dahulu. Suami tentunya akan memahami kesan jangka panjang tindakan anda.
Buat Persediaan Dari Segi Mental
Tidak dinafikan orang sekeliling boleh menjadi pengaruh terbesar untuk anda membuat keputusan. Jadi suri rumah ini kadang amat perit bila ada yang mengata anda tidak ada hala tuju ataupun faktor melakukan kerja rumah setiap hari tanpa cuti dengan melayan karenah keluarga pasti boleh menyebabkan tekanan.
Tentunya terdapat pelbagai faktor risiko bagi tekanan mental seorang suri rumah sepenuh masa seperti jumlah anak yang ramai, trip persekolahan anak-anak, kerja sekolah anak-anak, keperluan barang dapur dan seharian, menu makan tengahari dan malam, dan sebagainya. Apabila anda menjadi suri rumah sepenuh masa, si suami juga mestinya mempunyai expectation yang tinggi terhadap pengurusan rumah tangga.
Pastikan dapur anda lebih kerap berasap dari sebelumnya, barulah nampak ada perubahan dalam pengurusan rumah.
Contohnya, si suami pasti expect rumah kurang bersepah dan lebih terurus, anak-anak lebih terdidik, kurangnya makan di luar, makanan sentiasa ‘penuh’ di atas meja dan sebagainya. Sebenarnya anda sedang mempertaruhkan reputasi anda sebagai seorang isteri yang sebenar. Jika keadaan tidak banyak beza dari sebelumnya, fikir-fikirkan lah!
Justeru, anda perlulah bijak dalam mencari cara bagaimana mengendalikan situasi-situasi tersebut bagi mengurangkan kadar tekanan. Pastikan anda selalu bincang dengan suami jenis-jenis kekangan yang anda hadapi supaya dia faham dan boleh turut membantu. Mungkin juga anda boleh request seorang pembantu rumah (maid) untuk menjadi assistant kerja-kerja rumah anda.
Pastikan Kedudukan Wang Simpanan Anda Kukuh
Sekurang-kurangnya anda perlu ada simpanan 6 – 12 bulan gaji. Dengan keadaan ekonomi sekarang,inflasi dan harga barang yang sentiasa naik maka dengan adanya simpanan ini anda boleh gunakan sewaktu dalam keadaan terdesak atau semasa kecemasan.
Orang tua-tua ada cakap, sediakan payung sebelum hujan.
Anda perlu ingat, walaupun sebelum ini suami mengeluarkan semua belanja keperluan untuk rumah tetapi dia juga perlu berbelanja untuk dirinya sendiri. Mungkin suami tidak pernah berkongsi dengan anda baki wang yang dia ada pada setiap hujung bulan jadi anda perlu faham-fahamlah untuk buat apa-apa permintaan yang kurang perlu.
Tambahan pula, di awal-awal anda menjadi suri rumah si suami juga masih menyesuaikan diri untuk mengubah tabiat perbelanjaan untuk memastikan keperluan seisi keluarga boleh capai sehingga hujung bulan.
Jadi, simpanan anda sendiri pastinya akan membuatkan beban suami lebih ringan jika anda perlu mengeluarkan apa-apa belanja dalam masa yang tiba-tiba.
Rancang Simpanan Hari Tua
Ingat, walaupun anda tiada quick income secara bulanan pastikan anda masih lagi mencarum dalam PERKESO ataupun mana-mana skim yang berdaftar untuk melindungi suri rumah. Contohnya program Perlindungan Kewangan Untuk Suri Rumah oleh KWSP dan inisiatif rang undang-undang keselamatan sosial suri rumah 2022 yang baru dilancarkan pada Julai 2022 yang lalu.
Sikit-sikit lama jadi bukit!
Dalam pada itu, terdapat pelbagai produk-produk Takaful yang ada di pasaran bagi melindungi kewangan pada hari tua nanti. Contohnya, program ‘Hibah’ yang banyak digunakan oleh penyedia perkhidmatan insurans dan takaful boleh membantu anda pada hari tua nanti. Selalunya Hibah (hadiah) dibuat oleh suami kepada isteri jika si suami sudah tidak mampu untuk keluar bekerja pada masa yang akan datang.
Selalunya, hibah dibayar dalam bentuk bulanan bermula RM 50 dan keatas selama suatu tempoh kontrak perjanjian tamat. Jumlah hibah yang diterima tertakluk kepada pelan-pelan yang telah dipilih tadi. Contohnya dengan pelan RM50 sebulan, nilai bayaran Hibah mungkin bernilai RM 100,000.00. Semakin mahal bayaran semakin besarlah nilai Hibahnya.
Langsaikan Segala Hutang-Piutang Yang Ada
Hutang PTPTN/MARA atau hutang kad kredit? Cuba sehabis baik untuk langsaikan dahulu mana-mana hutang yang anda mampu. Supaya bila tidak bekerja tidaklah kita terbeban dengan hutang yang tidak terbayar. Hutang sememangnya bagus untuk menjadi dorongan seseorang untuk bekerja lebih keras lalu menjadikan sesebuah negara berdaya maju. Ya, negara sukakan anda berhutang! Tapi apabila anda sudah tidak bekerja, itu semua sudah tidak bermakna kerana beban membayar hutang amatlah berat
Ukurlah baju di badan sendiri sebelum membuat permohonan apa-apa pinjaman bank.
Sebab itu, semasa anda masih bekerja makan gaji setiap bulan elakkan dari membuat hutang piutang yang tidak perlu terutamanya pinjaman peribadi. Interest rate boleh meningkat pada bila-bila masa sahaja justeru kadar bayar semula bulanan hutang tersebut akan meningkat.
Banyak sahaja tips yang dikongsikan bagaimana nak langsaikan hutang dengan bijak seperti penyatuan hutang. Melalui penyatuan hutang ini kita bukan sahaja boleh buat skor kredit anda cantik.
Cuba Buat Kerja-Kerja Freelance atau Side Income
Cuba kenalpasti minat anda dan sesuaikan dengan peluang untuk buat kerja-kerja sambilan atau freelancing. Bila anda buat kerja-kerja freelance, anda boleh ikut masa terluang yang ada.
Ramai sahaja dekat luar sana yang menjual skil mereka untuk jana pendapatan, tak kisah anda seorang yang bagus dalam penulisan, melukis atau pun pereka grafik, sebenarnya semua pekerjaan boleh beri pendapatan pada anda sama ada secara online atau offline.
Percaya atau tidak bekerja dari rumah boleh membantu anda untuk menjana pendapatan sampingan yang kalau kena nasib boleh jadi lumayan juga. Pucuk pangkalnya, anda haruslah tingkatkan produktiviti bekerja dan tidak mudah mengalah!
Namun begitu, anda kena ingat tujuan asal anda jadi suri rumah. Adakah kerana ingin fokus kepada menguruskan keluarga atau fokus kepada kerja-kerja side income? Jangan pula masa berkualiti dengan keluarga tergadai dek kerana kerja-kerja sambilan tersebut.
Kesimpulan
Sebenarnya tiada masalah seorang wanita berkerjaya itu buat pilihan untuk menjadi suri rumah sepenuh masa kerana memang pada dasarnya seorang wanita yang bekeluarga itu tidak perlu bekerja pun kerana tugas-tugas mencari nafkah adalah tanggungjawab seorang suami sebagai ketua keluarga.
Kita juga faham sesetengah daripada wanita memang ingin menjadi seorang career woman atas beberapa dorongan tertentu. Itu semua hak masing-masing. Bagi sesiapa yang inginkan keselesaaan hidup, boleh jana pendapatan dari rumah, dan dalam masa yang sama ingin banyak luangkan masa di rumah bersama anak-anak, boleh teruskan niat anda asalkan anda mampu. Pastikan, bincang betul-betul dan fikir masak-masak sebelum membuat keputusan untuk menjadi suri rumah secara sepenuh masa.
Kami doakan semoga urusan anda dipermudahkan !
Rujukan
Imej oleh KINN Living daripada Unsplash