Macam Mana Nak Kenali Scammer Dengan Mudah

Seorang ‘scammer‘ atau penipu adalah individu yang menggunakan kelicikan dan pembohongan untuk mendapatkan keuntungan peribadi. Justeru, amat penting bagi anda mempelajari macam mana nak kenali scammer dengan mudah.

Mereka sering kali mengambil keuntungan daripada kepercayaan orang lain, mengelirukan mereka dengan janji palsu atau menawarkan peluang atau keuntungan yang tidak ada dalam usaha mereka untuk mencuri wang atau aset mangsa.

Di Malaysia, ‘scammer‘ sering menggunakan pelbagai modus operandi untuk mencapai matlamat mereka yang jahat. Mereka boleh berpura-pura menjadi pekerja bank, ejen hartanah, pegawai kerajaan, penguatkuasa, ‘secret admirer‘ atau pakar pelaburan yang berpengetahuan tinggi.

Dengan kemahiran lisan dan pengetahuan yang baik, mereka dapat menipu mangsa mereka untuk memberikan butiran peribadi, memindahkan wang kepada akaun palsu, atau membeli produk palsu yang bernilai tinggi.

Amaran

Elakkan daripada menekan sebarang pautan(link) yang anda dapat daripada SMS, teks WhatsApp, emel, Telegram, atau mana-mana aplikasi daripada nombor yang tidak dikenali. Jom belajar macam mana nak kenali scammer dengan mudah!

Jenis-Jenis Scammer Yang Biasa Ditemui

Di Malaysia, terdapat beberapa jenis penipuan yang sering berlaku yang menjadi ancaman besar kepada masyarakat. Ramai sudah yang kerugian ribuan malahan jutaan wang ringgit akibat penipuan.

Pada tahun 2022, PDRM telah melaporkan bahawa sebanyak RM 1.73 bilion kerugian akibat jenayah komersial. Berikut adalah beberapa contoh jenis penipuan yang biasa terjadi di negara kita.

Imej oleh Sam Williams daripada Pixabay

Penipuan Telefon Pintar

Scammer mungkin telah mendapat butiran mangsa daripada pangkalan data yang telah bocor. Jadi mereka mungkin mempunyai pelbagai maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan dan maklumat ahli keluarga yang lain.

Mereka akan menggunakan panggilan telefon untuk meminta butiran peribadi seperti maklumat bank, kata laluan, atau nombor kad kredit. Mereka menggunakan cerita palsu, seperti menawarkan hadiah atau mengancam dengan tindakan undang-undang, untuk memancing mangsa. Bahkan tidak kurang ada yang tahu di mana anak anda bersekolah dan mengugut seolah-olah anak anda sedang diculik.

Penipuan Pelaburan

Ada scammer yang akan menyamar sebagai pakar pelaburan yang menawarkan peluang pelaburan yang tinggi pulangan tetapi sebenarnya palsu. Mereka meminta orang untuk melabur wang mereka dalam skim pelaburan yang tidak wujud atau tidak berlesen.

Mereka sering meyakinkan mangsa dengan menunjukkan gaya hidup yang mewah seperti kereta mewah dan jam tangan mahal. Tidak kurang ada yang menunjukkan dokumen portfolio pelaburan yang palsu dan dibuat-buat sahaja. Mereka boleh mengada-adakan platform pelaburan yang kelihatan seperti ‘real‘ tapi sebenarnya palsu sahaja.

Penipuan Kad Kredit dan Debit

Scammer boleh mencuri maklumat kad kredit atau debit seseorang dan menggunakannya untuk membuat pembelian atau pengeluaran tanpa kebenaran pemilik kad. Mereka boleh menggunakan skimmer kad atau mencuri maklumat kad secara dalam talian.

Penipuan Perbankan Dalam Talian

Scammer akan mencuba untuk mendapatkan akses ke akaun bank orang dengan meminta butiran peribadi melalui e-mel palsu atau laman web palsu yang meniru bank atau institusi kewangan yang sah. Mereka tidak akan teragak-agak untuk membangunkan sebuah website yang kelihatan seakan-akan website perbankan tersebut.

Setelah anda masuk ke website tipu tersebut, ia akan ‘menangkap’ semua data seperti alamat emel, kata laluan dan no telefon yang anda masukkan melalui website.

Penipuan Cinta atau Love Scam

Scammer akan mencari mangsa melalui laman web mencari jodoh atau pasangan dalam talian atau media sosial dan membina hubungan yang rapat. Kemudian mereka akan meminta wang daripada mangsa dengan alasan yang berbeza, seperti masalah kesihatan atau kecemasan kewangan.

Segala perhubungan yang dijalankan hanyalah secara dalam talian dan anda tidak akan pernah berpeluang untuk berjumpa dengan love scammer tersebut. Mereka sangat mahir membuatkan anda rasa dihargai dan disayangi justeru merasa yakin dalam perhubungan tersebut.

Imej oleh Агзам Гайсин daripada Pixabay

Scammer akan mencari mangsa yang mungkin dalam keadaan terdesak, seperti mereka yang memang sedang mencari pasangan atau yang sedang mengalami masalah emosi. Mereka juga mungkin memilih mangsa yang memiliki kekayaan atau aset yang berharga. Dari mana mereka tahu semua ini?

Senang sahaja, daripada media sosial anda juga. Apa yang anda post ke media-media sosial akan dianalisa dengan rapi dan dipasang strategi. Sebab itu bukan semua benda anda tunjukkan ke media sosial.

Sehingga pada suatu tahap, apabila mangsa sudah terlalu percaya dengan scammer mereka akan tanpa segan silu mengirimkan gambar atau video ‘intim’ kepada scammer. Ini membolehkan scammer memanipulasikan lagi mangsa dengan mengugut untuk menyebarkan gambar-gambar tersebut kepada kenalan-kenalan mangsa yang lain atau menyebarkannya ke media sosial. Mangsa yang takut menanggung malu pasti akan terpaksa turuti segala kehendak scammer tersebut sehinggalah ia menjadi lebih parah lagi.

Penipuan Pinjaman

Penipu menawarkan pinjaman mudah dan cepat tetapi meminta bayaran terlebih dahulu sebagai yuran pendaftaran atau cagaran (collateral). Setelah menerima bayaran, mereka hilang dan tidak memberikan pinjaman yang dijanjikan.

Mereka sering menawarkan pakej-pakej pinjaman yang kompetitif bahkan lebih baik daripada pihak bank namun lebih mudah untuk lulus. Antara ciri-ciri pinjaman yang ditawarkan adalah mungkin seperti kadar faedah yang sangat rendah, jumlah pinjaman yang sangat besar, tempoh bayaran balik yang lama mengikut kehendak mangsa, denda bayaran lewat yang rendah, kelulusan segera tanpa apa-apa dokumen, dan sebagainya.

Orang-orang yang terdesak pasti akan mudah percaya dan termakan umpan mereka!

Macau Scam

Skim Macau atau “Macau scam” adalah salah satu jenis penipuan yang sering terjadi di Malaysia. Ia dinamakan berdasarkan tempat di mana penipuan ini pertama kali dilaporkan, iaitu Macau. Skim ini melibatkan penipu yang mengaku sebagai pegawai polis, pegawai bank, atau ahli pihak berkuasa yang menghubungi mangsa melalui panggilan telefon.

Dalam skema Macau, scammer akan mendakwa bahawa mangsa terlibat dalam aktiviti jenayah, seperti pengubahan wang haram atau penipuan kewangan. Mereka menggunakan taktik intimidasi dan ancaman untuk membuat mangsa panik dan takut. Scammer kemudiannya akan meminta mangsa untuk membuat pemindahan wang ke akaun bank palsu sebagai bentuk “jaminan” atau untuk membantu dalam penyiasatan.

Penipu ini sering menggunakan teknik manipulatif seperti menyebut nama-nama orang yang dikenali mangsa atau menggunakan informasi peribadi yang telah mereka dapat sebelumnya. Mereka juga sering menggunakan teknologi peniruan nombor telefon untuk membuat panggilan mereka kelihatan seperti nombor pihak berkuasa atau agensi kerajaan yang sah.

Setelah mangsa melakukan pemindahan wang, penipu akan menghilang dan meninggalkan mangsa dengan kerugian kewangan yang besar. Proses ini biasanya berlangsung dengan cepat dan mangsa seringkali tidak menyedari bahwa mereka telah menjadi mangsa penipuan sampai terlambat.

Penipuan Sebagai ‘Orang Dikenali‘ atau Anggota Keluarga

Dalam modus operandi penipuan anggota keluarga, penipu seringkali menggunakan panggilan telefon atau mesej untuk menghubungi mangsa dan mengaku sebagai saudara, anak, atau anggota keluarga lainnya. Mereka mungkin menggunakan informasi yang telah mereka kumpulkan sebelumnya melalui media sosial atau sumber lain untuk memberikan keyakinan kepada mangsa yang mereka benar-benar ada hubungan dengan keluarga mangsa.

Setelah memperoleh keyakinan mangsa, penipu akan mengajukan permintaan darurat yang mendesak. Contohnya, mereka mungkin mengatakan yang mereka berada dalam kesulitan kewangan, sedang menghadapi masalah undang-undang, atau memerlukan bantuan segera dalam situasi yang sangat kritikal seperti kematian, sakit tenat, perlu membeli ubat-ubatan, wang jaminan polis dan sebagainya.

Ada kes yang mana satu kampung diperdaya oleh seorang scammer yang mengaku sebagai imam di masjid kampung tersebut. Apabila ramai terkena barulah ada seorang dua yang bertanya sendiri kepada imam adakah betul dia meminta sumbangan orang ramai. Sudahnya, puluhan ribu sudah ditipu. Yalah, siapa tidak kasihankan imam. Mesti ada yang memberi dengan banyak atas dasar sedekah di jalan Tuhan.

Mangsa yang terkecoh oleh penipuan anggota keluarga mungkin merasa terdesak untuk membantu dan melindungi orang yang mereka percayai sebagai anggota keluarga mereka. Namun, pada kenyataannya, penipu tidak memiliki hubungan keluarga dengan mangsa dan hanya mencari keuntungan wang semata-mata.

Macam Mana Nak Kenali Scammer

Sebelum kemajuan zaman teknologi informasi (IT) dulu kala ramai orang-orang kampung yang sudah berumur ditipu hidup-hidup oleh scammer pukau. Biasalah orang-orang tua selalu duduk sendirian sedangkan anak-anak ramai bekerja dan tinggal di bandar. Scammer ni akan datang ke rumah sebagai ejen jualan langsung dan dia akan baca mantera pukaunya lalu dimintanya segala macam harta mangsa berbentuk duit, barang kemas dan sebagainya.

Imej oleh Kris daripada Pixabay

Tapi itu dulu, sekarang pada zaman IT dan internet 5G yang laju, kebanyakan penipuan dilakukan hanya di dalam talian saja. Lebih mudah dan jimat kos. Dari hari ke hari, kita seakan-akan sudah dapat melihat ‘rupa dan bentuk’ scammer ini. Berikut adalah tanda-tanda yang anda sedang berhadapan dengan scammer.

Scammer Berlagak Seperti Badan Penguatkuasa Kerajaan atau Institusi Terkenal

Scammer sering berpura-pura menghubungi anda bagi pihak kerajaan. Mereka mungkin menggunakan nama sebenar organisasi tersebut macam PERKESO, KWSP atau TNB, bahkan dari JNT pun ada. Ada yang berpura-pura menjadi daripada perniagaan yang anda tahu, seperti syarikat utiliti, syarikat teknologi, atau badan amal yang meminta derma.

Semasa membuat panggilan, mereka sama ada menggunakan teknologi untuk menukar nombor telefon (caller ID) yang muncul pada skrin anda ataupun tidak. Jadi nama dan nombor yang anda lihat mungkin hanya nombor palsu dan tidak ada dalam perkhidmatan pun. Ini bagi mengelakkan mereka dikesan oleh pihak berkuasa atau dipanggil semula oleh anda. Teknik ini dipanggil phone number masking.

Scammer Akan Cakap Anda Ada Masalah atau Ada Hadiah Menanti Anda (Problem or Prize)

Mereka mungkin mengatakan anda sedang menghadapi satu masalah dengan mana-mana agensi kerajaan, atau anda berhutang wang. Mereka bole juga cakap yang seseorang dalam keluarga anda mengalami kecemasan. Lebih random lagi mereka boleh cakap bahawa ada virus pada komputer anda.

Dalam pada itu, sesetengah scammer juga mungkin mengatakan terdapat masalah dengan salah satu akaun bank anda dan anda perlu mengesahkan beberapa maklumat. Awas, dari sinilah dia akan mengorek lagi maklumat peribadi anda seperti nombor akaun bank, baki akaun, nombor kad kredit, kata laluan dan sebagainya.

Scammer akan cakap, “Tahniah anda adalah pemenang bertuah minggu ini.” Mana ada orang tidak masuk bertanding tiba-tiba boleh menang 🙂

Manakala, ada scammer yang akan berbohong dan mengatakan anda memenangi wang dalam satu cabutan bertuah sebuah syarikat terkenal tetapi perlu membayar yuran untuk mendapatkannya. Yalah, siapa tak mahu tiba-tiba dapat hadiah daripada syarikat terkenal.

Cuba bayangkan, anda tidak pernah pun beli barang jenama tu sebab mungkin terlalu mahal tapi anda memang menyimpan angan-angan suatu hari nanti nak beli barang tu. Tiba-tiba, pada suatu hari, dapat cabutan bertuah berupa barang itu. Tak ke ‘bertuah‘ namanya tu. Mestilah tidak logik bukan, sesuatu perkara yang berlaku dalam dunia ni mesti ada sebab musababnya yang mana ia membawa kita ke poin seterusnya.

Apa Yang Dicakap Scammer Tu Macam Susah Nak Percaya (Too Good To Be True)

Dalam beberapa tahun dulu, pernah tak anda dengar satu gerakan yang dibuat untuk ‘mencairkan’ duit dalam tabung Wang Yang Tak Dituntut. Gerakan ini didakwa diketuai oleh seorang bergelar ‘ustaz’ yang mempunyai karomah. Mereka mendakwa, jika ahli menyumbangkan duit RM 1,000 untuk kerja-kerja ‘pencairan’, maka dia akan mendapat pulangan sebanyak RM 10, 000 atas usaha sumbangannya. Bukan ke macam susah nak percaya benda ni!!

Ada juga scammer yang mungkin bijak sedikit akan cakap benda yang sedikit-sebanyak kena dengan anda. Itu mungkin sebab dia sudah kaji latar belakang anda melalui maklumat peribadi anda yang diperolehinya. Jika bapa anda sudah meninggal dunia, scammer mungkin akan mengeksploitasikannya dengan mengatakan yang bapa anda meninggalkan sejumlah wang yang banyak dalam akaun bank di luar negara yang tidak ada sesiapa pun tahu mengenainya.

Scammer Akan Paksa Anda Bertindak Dengan Segera

Scammer mahu anda bertindak sebelum anda mempunyai masa untuk berfikir. Jika anda menggunakan telefon, mereka mungkin memberitahu anda untuk tidak menamatkan panggilan telefon tersebut supaya anda tidak boleh menyemak semula cerita mereka.

Mereka mungkin akan mengancam untuk menangkap anda, menyaman anda, mengambil lesen memandu atau perniagaan anda, atau menghantar anda pulang ke negara asal. Mereka mungkin akan mengatakan komputer anda akan rosak dalam masa yang terdekat.

Apa yang dilakukan oleh mereka adalah teknik biasa dalam pemasaran iaitu menimbulkan rasa ‘sense of urgency‘. Mangsa yang mudah percaya dengan gesaan scammer pasti akan terpedaya dan masuk ke dalam perangkap scammer.

Scammer Akan Minta Anda Buat Bayaran Melalui Cara Tertentu

Scammer akan meminta anda membuat bayaran dengan menggunakan pelbagai cara yang rata-ratanya kurang lazim dengan orang awam seperti mata wang kripto, dengan online transfer ke suatu akaun bank peribadi, atau dengan meletakkan wang pada kad hadiah seperti Google Gift Card atau Apple Gift Card dan kemudian memberikan kepada mereka nombor di belakang kad tersebut.

Tambahan pula, sesetengah scammer akan menghantar cek palsu kepada anda, kemudian mereka akan memberitahu anda untuk mendepositkannya dan menghantar wang kepada mereka.

Macam Mana Nak Elakkan Dari Ditipu Oleh Scammer

legakan batuk dengan halia
Imej oleh methodshop daripada Pixabay

Berikut adalah langkah yang boleh anda ambil untuk elakkan penipuan oleh para scammers di luar sana.

Pupuk Perasaan Ragu-Ragu Terhadap Panggilan Scammer Yang Mencurigakan

Pupuk sikap keraguan yang munasabah apabila berurusan dengan panggilan telefon, e-mel atau mesej yang datang secara tiba-tiba. Scammer kan sering menggunakan kecemasan, ketakutan atau janji ganjaran yang hebat untuk menipu anda supaya membuat keputusan terburu-buru.

Cuba Buat Semakan Identiti Scammer Tersebut

Sentiasa sahkan identiti orang atau organisasi yang menghubungi anda. Jangan berikan maklumat peribadi atau butiran kewangan kepada seseorang yang anda tidak boleh sahkan. Institusi yang sah tidak akan keberatan jika anda meluangkan masa untuk mengesahkan identiti mereka. Dan paling penting, jika mereka adalah dari pihak kerajaan anda boleh minta untuk buat temu janji di mana-mana cawangan atau pejabat agensi tersebut.

Guna Kata Laluan Yang Sukar.. Bukannya ‘abcd123

Gunakan kata laluan yang kukuh dan unik untuk semua akaun dalam talian anda dan paksa penggunaan pengesahan dua faktor (2-factor authentiacation) apabila boleh. Kemas kini peranti, perisian dan program antivirus anda secara kerap untuk menampal sebarang lompong sekuriti dalam sistem peranti anda.

Jangan Kongsi Maklumat Peribadi Sewenang-Wenangnya

Elakkan berkongsi maklumat peribadi yang sensitif seperti nombor kad pengenalan, butiran akaun bank, nombor kad kredit/debit atau kata laluan melalui WhatsApp, Telegram, e-mel, mesej teks atau media sosial melainkan anda telah mengesahkan kesahihan identity penerima.

Sentiasa Cakna Dengan Berita-Berita Scammer Yang Sedang Berleluasa

Sentiasa dapatkan maklumat tentang teknik penipuan terkini dan skim penipuan biasa. Ilmu adalah pertahanan terbaik anda. Biasakan diri anda dengan tanda amaran penipuan biasa, seperti pancingan data, penipuan loteri atau penipuan percintaan. Selalunya, scammer akan ulang skrip dan taktik yang sama dari masa ke masa. Jika anda pernah menerima panggilan scammer, pasti anda sudah boleh hidu dari jauh.

Jangan Klik Pautan Internet Yang Tidak Diketahui

Berhati-hati untuk klik pada pautan dalam e-mel, terutamanya jika ia datang daripada sumber yang tidak dikenali. Tunjukkan tetikus anda pada pautan untuk melihat URL sebenar sebelum mengklik. Elakkan memuat turun lampiran atau fail daripada e-mel atau website yang anda rasa mencurigakan.

Kekal Tenang dan Elakkan Buat Keputusan Yang Tidak Rasional

Jangan tergesa-gesa membuat sebarang keputusan dalam jangka masa yang pantas atau pendek. Penipu sering menimbulkan rasa terdesak untuk memaksa anda membuat keputusan impulsif(terkejut). Luangkan masa anda untuk memikirkan sesuatu, menyemak semula apa yang didengari secara bebas dan dapatkan nasihat dengan rakan atau ahli keluarga yang dipercayai sebelum teruskan.

Kata Hati Anda Selalunya Betul

Percayalah naluri anda. Jika naluri anda rasa sesuatu perkara itu tidak menyenangkan atau terlalu ‘pelik’ untuk menjadi kenyataan, naluri anda mungkin benar. Dengarkan perasaan hati kecil anda dan berhati-hati terhadap sebarang situasi yang membuat anda tidak selesa atau mencurigakan.

Lindungi Maklumat Kewangan Anda Dengan Sebaiknya

Ini langkah paling penting iaitu lindungi maklumat kewangan anda. Hanya berikan maklumat kad kredit atau butiran kewangan pada website yang selamat dengan “https” dalam URL. Elakkan daripada membuat transaksi kewangan pada rangkaian Wi-Fi awam atau menggunakan kaedah pembayaran tidak selamat seperti online transfer atau kad hadiah.

Laporkan penipuan dengan segera jika anda menghadapi penipuan atau percaya anda telah menjadi mangsa scammer, laporkan kepada pihak Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC) pada talian 997 (8 pagi – 8 malam) serta tentunya bank anda. Maklumat ini boleh membantu mengelakkan orang lain daripada menjadi mangsa penipuan yang sama.

Seterusnya, terus sahaja buat laporan polis ke balai yang berdekatan dengan butiran-butiran penipuan yang telah berlaku. Sentiasa membuat semakan yang diperlukan untuk mengesahkan fakta apabila dihubungi pihak tersebut. Hubungi NFCC di talian 03-88613830, polis di 03-26101222 dan BNM di 1-300-88-5465 untuk maklumat lanjut mengenai NSRC,” katanya.

Manakala, pengguna yang mahu membuat aduan kepada Kementerian boleh melakukannya melalui pelbagai saluran. Mereka boleh melayari e-aduan@kpdnhep.gov.my, menghubungi talian 1800 886 800, email ke e-aduan@kpdnhep.gov.my, aplikasi telefon pintar Ez ADU, pusat penguatkuasaan di 03-88826245/6088.

Kesimpulan

Dalam keadaan ekonomi yang semakin tenat dan tidak menentu, penjenayah akan lebih cenderung untuk mempergiatkan kerja-kerja jenayah mereka termasuklah jenayah penipuan. Saban hari mereka akan terus mencari mangsa dengan pelbagai teknik-teknik scam yang baru ataupun lama.

Dengan maklumat yang kami berikan ini, harapnya anda dapat berwaspada dan terlindung daripada kes penipuan kewangan. Kami doakan urusan anda dipermudahkan.

Rujukan

Bank Negara Malaysia. “Macau Scam – Bank Negara Malaysia.” www.bnm.gov.my, www.bnm.gov.my/macauscam#:~:text=What%20is%20Macau%20Scam%3F. Diakses 6 Apr. 2023.

“How to Recognize an Online Scammer.” McAfee, 5 Dec. 2022, www.mcafee.com/learn/how-to-recognize-an-online-scammer/. Diakses 6 Apr 2023.

Imej oleh Riki32 daripada Pixabay

Kiriman Serupa