Macam Mana Nak Kitar Semula Barang-Barang Lama

Kitar semula ialah proses mengumpul dan memproses bahan yang dianggap sudah tidak boleh digunakan daripada dibuang sebagai sampah lalu mengubahnya menjadi produk baharu yang mempunyai nilai guna. Kitar semula boleh memberi manfaat kepada komuniti anda, ekonomi dan alam sekitar.

Data daripada Environmental Protection Agency (EPA ) Amerika Syarikat menunjukkan bahawa kitar semula menjimatkan tenaga dan sumber semula jadi. Sebagai contoh:

  1. Mengitar semula satu tan kertas pejabat boleh menjimatkan tenaga yang setara dengan menggunakan 322 gelen petrol.
  2. Kitar semula hanya satu tan tin aluminium menjimatkan lebih daripada 152 juta Btu, bersamaan dengan 1,024 gelen petrol atau 21 tong minyak yang digunakan.
  3. Botol plastik ialah produk plastik yang paling banyak dikitar semula di Amerika Syarikat setakat 2018. Kitar semula walau hanya 10 botol plastik menjimatkan tenaga yang mencukupi untuk menghidupkan laptop selama lebih daripada 25 jam.

Dalam pada itu, sebuah laporan daripada Statistik Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) menunjukkan pada tahun lepas, negara hanya merekodkan kadar kitar semula pada 31.52 peratus sedangkan kebanyakan negara maju mencatatkan sekurang-kurangnya 60 peratus.

Dengan krisis tenaga elektrik yang kian meruncing saban hari disebabkan pelbagai faktor-faktor luaran dan dalaman negara tentulah amat penting untuk kita kitar semula. Lihat sahaja pada hari ini bagaimana negara Eropah bergelut dengan bil elektrik yang tinggi apabila mereka memutuskan hubungan dagangan dengan Rusia yang membekalkan sumber gas asli yang murah kepada mereka saban tahun.

Oleh itu, dalam artikel ini, kami akan berkongsi dengan anda macam mana nak kitar semula barang-barang lama sebelum anda buang ia sebagai sampah-sarap.

Seboleh-bolehnya Elakkan Penggunaan Beg Plastik (Tolonglah…)

Beg plastik boleh terungkai ke dalam cebisan mikroplastik yang berbahaya dan, sekiranya tertelan atau terjerat, mampu menyakiti dan membunuh haiwan yang mana merupakan situasi yang paling teruk. Lihat sahaja bagaimana sampah-sampah plastik ini boleh mencederakan hidupan laut.

Secara teknikalnya, walaupun beg ini boleh dikitar semula, anda mestilah menghantarnya ke pusat-pusat kitar semula yang betul, bukan tong sampah di rumah anda.

Beg plastik adalah pencemar nombor satu dalam beban kitar semula. Beg plastik juga sering memberikan masalah kepada mesin di pusat kitar semula kerana ia sering tersangkut dan merencatkan kerja-kerja secara lancar.

Walaupun beg plastik di pasaraya atau kedai runcit mungkin merupakan bahan pencemaran yang paling popular, ‘sandwich bags’, ‘bubble wrap’, pembalut plastik dan bahan tipis lain yang tidak dapat bertahan dalam ujian tembus (poke test) yang menguji kebolehan jari untuk ditembusi hanya dengan jari anda.

Selain itu, anda mungkin ingin kitar semula dengan mengumpul semua botol-botol ke dalam beg-beg plastik namun sayangnya jika bungkusan anda sampai ke pusat-pusat kitar semula, ada di antara mereka yang tidak akan membukanya dan botol anda akan dilayan sebagai sampah domestik lain. Jadi, anda tidak sepatutnya membungkus barang kitar semula anda. Sebaliknya, buangkannya terus ke dalam tong kitar semula yang dikhaskan untuk plastik.

Penyelesaian: Beli beberapa beg kanvas dan dapatkan bekas yang boleh diguna semula supaya anda boleh bawa semasa membeli belah di pasaraya nanti. Jangan lupa untuk letak semula atau bawa masa keluar nanti.

Pastikan Barang-Barang Yang Ingin Dikitar Semula Bersih, Kosong Dan Kering

Walaupun sedikti sisa makanan yang ada pada bahan-bahan kitar semula anda, ia akan merosakkan keseluruhan bahan kitar semula, menjadikannya tidak berguna dan akhirnya ia akan tetap dihantar ke tapak pelupusan. Di Amerika Syarikat, sisa makanan mencemarkan 25 peratus daripada bahan-bahan kitar semulanya.

Dengan erti kata lain, anda perlulah cuba dengan sedaya upaya untuk membersihkan sisa makanan dari bekas-bekas pembungkusan makanan seperti kotak piza dan sebagainya sebelum membuangnya ke tong kitar semula.

Penyelesaiannya: Pastikan barangan kitar semula anda bersih, kosong dan kering sebelum dimasukkan ke dalam tong kitar semula atau dihantar ke pusat-pusat kitar semula. Jika semua orang amalkannya, ia pasti dapat mengelakkan barang-barang tersebut daripada dihantar ke pusat pelupusan sampah yang biasa.

Elakkan Barangan Kitar Semula Daripada Bercampur Kerana Ia Akan Dilayan Macam Sampah Biasa Dan Tidak Akan Dikitar Semula

Kitar semula hanya berfungsi apabila bahan-bahan yang sama jenis disatukan. Malangnya, barang-barang seperti cawan kopi bersalut plastik, kertas berlamina dan sampul kertas pembalut gelembung dari Lazada atau Shopee tidak boleh dipisahkan, yang bermaksud ia adalah sampah yang akan dilupuskan bersama-sama sampah domestik.

Anda mungkin fikir bahawa andalah manusia yang paling kerap kitar semula dengan menghantar semua sampah ke tong kitar semula, tapi sayangnya apabila ia dilakukan dengan salah, usaha anda selama ini adalah amat sia-sia. Jadi bolehlah perlahan-lahan belajar asingkan bahan-bahan kitar semula mengikut jenis-jenis mereka.

Penyelesaian: Beli barang yang boleh dikitar semula dan yang mudah untuk diasingkan. Dan apabila anda mampu, belilah barangan yang dihasilkan dalam negara anda menetap kerana ia dapat mengurangkan kesan karbon produk tersebut.

Belajar Untuk Kenali Ketahui Plastik Anda

Anda perasan tak di bawah botol-botol plastik atau pembungkusan berasaskan plastik ada nombor-nombor yang dilingkari anak panah bersegi tiga.

Ramai orang salah faham bahawa nombor tersebut menunjukkan berapa kali ia boleh digunakan tapi sebenarnya tujuan nombor tersebut adalah untuk mengenal pasti jenis plastik yang digunakan untuk menghasilkan produk tersebut, dan bukan semua plastik boleh dikitar semula atau diguna semula.

Terdapat banyak produk berasaskan plastik yang tidak boleh rosak dan tidak boleh dikitar semula. Ada plastik yang perlu dikitar semula dengan cara-cara tertentu sahaja. Secara amnya, semakin tinggi kod nombor sesuatu plastik tersebut, semakin kurang ia boleh dikitar semula.

Kebanyakan pusat kitar semula akan mengitar semula plastik 1 dan 2 tanpa masalah. Nombor yang lebih besar akan menjadi lebih rumit kerana teknologi yang diperlukan mungkin lebih canggih dan mahal.

Berikut merupakan maksud kod nombor tersebut.

Fikir Untuk Guna Semula Sebelum Buang

Sebelum anda buat keputusan untuk buang sesuatu barang cuba fikir adakah ia boleh digunakan untuk sesuatu yang lain.

Antara perkara yang mudah adalah seperti pakaian-pakaian lama yang mana ia boleh diberi kepada mana-mana orang yang memerlukan seperti ahli keluarga, jiran atau pusat kebajikan. Jika tidakpun ia boleh dibuat kain buruk pada masa hadapan daripada terus sahaja dibuang ke tong sampah.

Berikut adalah antara idea-idea guna semula yang boleh anda pertimbangkan sebelum buang barangan anda.

  • Letakkan balang terbuka atau mangkuk serbuk kopi yang telah kering dan terpakai di dalam peti sejuk atau peti sejuk anda untuk meneutralkan bau.
  • Tabur menggunakan serbuk kopi dalam lingkaran di sekeliling tanaman taman untuk menjauhkan semut dan siput.
  • Gunakan jug susu plastik untuk buat sistem penyiraman ‘automatik’. Caranya mudah sahaja, cucuk lubang kecil di bahagian bawah jag plastik dan tanam; isi dengan air untuk pengairan yang perlahan dan berkesan.
  • Potong botol plastik separuh dan gunakan bahagian bawah sebagai penanam dan bahagian atas sebagai corong. Separuh bahagian atas juga boleh diubah menjadi pembuat kopi dengan meletakkan penapis di dalam corong, mengisinya dengan kopi tanah dan menuang air panas. Ia akan berguna untuk perjalanan perkhemahan atau jika anda baru berpindah ke tempat baharu dan belum membongkar semua peralatan anda.

Tentunya banyak lagi idea-idea menarik untuk guna semula bahan-bahan dalam rumah anda sebelum ia dibuang ke tong sampah. Anda boleh cuba pelbagai idea dari artikel-artikel di bawah. Cuma perlukan kreativiti, masa dan tentulah keinginan yang berkobar-kobar.

Sentiasa Didik Diri Anda dan Keluarga Dari Semasa ke Semasa

Akhir sekali, kita tidak mungkin mengetahui segala-galanya dengan banyak dan tepat pada sesuatu masa. Terdapat banyak barangan seperti bateri, elektronik, tin cat, mainan, pakaian, kayu dan sebagainya yang memerlukan anda menghantarnya ke pusat-pusat kitar semula yang berasingan atau arahan khas untuk kitar semula.

Hal ini disebabkan setiap pusat kitar semula mempunyai bidang pengkhususan dan teknologi yang berbeza. Walaupun secara amnya ia dipanggil sampah tidak bermakna semua benda boleh digabungkan dalam satu bumbung.

Sama macam kedai jahit, anda tidak boleh tempah baju Melayu kalau kedai jahit tersebut khusus untuk buat baju kurung walaupun secara asasnya mereka membuat kerja-kerja menjahit baju. Itu adalah perumpamaan ringkas sahaja. Harap anda faham apa yang cuba disampaikan.

Penyelesaian: Buka laman web yang tertentu untuk mencari maklumat yang sebetulnya dan rajinkan membaca sumber-sumber dari luar negara juga.

Kesimpulan

Usaha anda untuk mengamalkan kitar semula memang amat terpuji dan murni. Ia sedikit sebanyak dapat menyumbang kepada alam sekitar yang lebih bersih dan lestari kepada generasi yang akan datang.

Namun, ianya perlulah dilaksanakan dengan betul supaya ia memberikan kesan positif yang sepatutnya. Mudah-mudahan lebih banyak orang mempunyai kesedaran untuk kitar semula seperti anda.

Rujukan

EARTHDAY.ORG. (2022, Jun 15). 7 Tips to Recycle Better. Earth Day. Diakses 24 Jun 2022, daripada https://www.earthday.org/7-tips-to-recycle-better/

Seaman, G. (2020, Mei 2). Plastics by the Numbers. Eartheasy. Diakses 24 Jun 2022, daripada https://learn.eartheasy.com/articles/plastics-by-the-numbers/

US EPA. (2022, Jun 8). Frequent Questions on Recycling. Diakses 23 Jun 2022, daripada https://www.epa.gov/recycle/frequent-questions-recycling#recycling101

Student Conservation Association. (2019, Februari 21). How to Recycle and Why You Should Do It. The Student Conservation Association. Diakses 23 Jun 2022, daripada https://www.thesca.org/connect/blog/how-recycle-and-why-you-should-do-it

Imej oleh Vlad Vasnetsov daripada Pixabay

Kiriman Serupa