Macam Mana Nak Pilih Buah Tembikai Yang Manis Dan Sedap
Merah terang dan isi yang sedap berair, tembikai adalah buah yang padat dengan nutrien yang menjadikannya makanan ringan rendah kalori yang menyegarkan. Apabila buah tembikai masak, ia akan menjadi sumber antioksidan semulajadi yang bagus, termasuk lycopene, yang dikaitkan dengan beberapa manfaat kesihatan, seperti perlindungan terhadap penyakit jantung, diabetes, dan beberapa jenis kanser tertentu.
Walaupun cara yang terbaik untuk mengetahui sama ada tembikai itu masak adalah dengan merasa atau memeriksa isi buah di dalamnya, terdapat juga cara lain tanpa anda memotong buah tembikai tersebut.
Berikut merupakan 6 cara yang dapat membantu anda memilih buah tembikai yang lazat.
Cari Bentuk Yang Seragam
Tembikai datang dalam pelbagai saiz dan bentuk yang berbeza sama ada bulat, bujur sehingga yang memanjang. Kesemuanya boleh menjadi pilihan yang baik. Mana-mana yang anda pilih, sebaiknya cari tembikai yang mempunyai bentuk yang tetap dan simetri, dan elakkan memilih tembikai yang mempunyai benjolan, penyek, atau yang sudah terbuka isinya.
Kekurangan dari segi luaran tembikai tersebut mungkin menunjukkan bahawa ia menerima jumlah air yang tidak konsisten atau tidak dibaja dengan betul. Sebaliknya, isi yang sudah terbuka atau penyek mungkin menyebabkan kehadiran serangga atau kulat.
Tak kisahlah apa rupa buah tersebut waima bulat, bujur, atau memanjang, yang penting bentuknya kena simetri dan seragam tanpa lebam atau isi yang terbuka.
Saiz Yang Besar dan Berat
Tembikai yang manis dan cukup masak mestilah mempunyai saiz yang berat. Ini kerana ia penuh dengan air. Malah, kandungan air dan serat boleh menentukan berat dalam buah-buahan, termasuk tembikai.
Tembikai mengandungi 91% air – ciri yang menerangkan namanya. Makan makanan yang kaya dengan kandungan air seperti tembikai membantu anda merasa kenyang sedangkan anda hanya makan makanan yang mengandungi kalori yang sedikit.
Saiz tembikai kena besar dan berat.
Cari Tompokan Kuning Yang Paling Gelap
Jika anda menterbalikkan tembikai, anda akan berjumpa dengan tompokan kuning, yang juga dikenali sebagai medan atau tempat tanah. Tompokan ini menunjukkan di mana tembikai sudah berada lama di atas tanah sebelum dituai dan rasanya lebih manis.
Sebaliknya, tompokan yang lebih putih menunjukkan bahawa ia dipilih terlalu awal dan tidak mencapai kematangan.
Oleh kerana tembikai tidak terus masak selepas tuai, memilih tembikai dengan tompokan yang lebih putih bermakna anda kemungkinan besar akan berakhir dengan yang berperisa kurang manis atau tawar.
Lagi gelap tompokan kuning, lagi bagus.
Ketuk Dengan Tangan – Bunyi Padu Atau Kosong
Cara lain untuk memeriksa kematangan tembikai adalah dengan bunyi apabila anda mengetuknya. Walaupun kaedah ini subjektif, ia sangat popular di kalangan peminat tembikai. Malah, popularitinya menyebabkan penyelidik membuat analisis getaran yang terbukti dapat membantu mengesan kematangan.
Tembikai yang masak harus mempunyai bunyi yang seakan-akan mendalam apabila anda memukulnya dengan tangan. Jika ia mempunyai bunyi berongga atau rata, ia mungkin terlalu masak.
Bunyi macam kosong atau berongga maksudnya terlebih masak.
Pilih Yang Kulit Licin dan Berkilat
Tekstur kulit tembikai boleh menentukan isi dalamnya. Pilih tembikai yang mempunyai permukaan luaran yang licin dan berkilat dan elakkan memilih tembikai yang mempunyai permukaan luaran yang kasar. Ini kerana tembikai yang mempunyai kulit permukaan luaran yang licin dan berkilat bermakna tembikai tersebut telah masak sepenuhnya.
Kulit kena licin.
Pilih Yang Bertangkai Kering
Tangkai tembikai merujuk kepada satu batang yang tetap melekat selepas buah dituai. Ia bertujuan mengangkut air dan nutrien yang membolehkannya tumbuh. Tangkai yang hijau biasanya menunjukkan bahawa tembikai dituai terlalu awal dan tidak akan masak, kerana ia masih kembang.
Sebaliknya, tangkai yang kering menunjukkan kepada tembikai yang sudah masak.
Tangkai kena kering bukan segar menghijau.
Cara Menentukan Tembikai Yang Rosak
Tembikai yang rosak mungkin tidak selamat untuk dimakan. Tanda-tanda berikut boleh membantu anda menentukan sama ada tembikai harus dielakkan.
- Tompok berwarna gelap. Tompok-tompok ini mungkin menunjukkan kehadiran kulat atau bakteria.
- Isi buah yang lembik. Dalam kes ini, isi tembikai mula hancur, berair, dan menjadi gelap. Ia mungkin disebabkan oleh jangkitan air atau kulat.
- Bau masam atau busuk. Ini adalah pelbagai jenis bau masam yang menunjukkan bahawa isi buah sudah terlalu masak.
Kesimpulan
Memilih tembikai manis dan masak boleh menjadi rumit. Petunjuk dalaman, seperti rasa manis dan isi buah yang merah, adalah satu-satunya faktor penentu apabila menentukan kematangan tembikai. Walau bagaimanapun, beberapa tanda luaran boleh membantu membezakan tembikai yang masak dari tembikai yang tidak matang, terlalu masak, atau rosak. Ini termasuk berat tembikai, bunyi, dan permukaan kulit. Dengan mengikuti beberapa cara di atas, anda akan dapat memilih tembikai yang sempurna dan menyegarkan di masa akan datang.
Rujukan
Lang, A. B. (2019, Oktober 11). How to Pick a Watermelon: 6 Helpful Tips. Healthline. Diakses 2 Jun 2022, daripada https://www.healthline.com/nutrition/how-to-pick-a-watermelon#How-to-spot-a-damaged-or-spoiled-watermelon
Awadah, S. (2020, November 30). Cara Pilih Tembikai Manis Sedap Berjus Dengan Mudah (Petua Pilih Buah Tembikai). Sis Hawa | Blog Lifestyle Penuh Infomasi. Diakses 2 Jun 2022, daripada https://www.sishawa.com/2020/11/cara-pilih-tembikai-manis-sedap-berjus.html
Imej oleh hyun chun kim daripada Pixabay