Macam Mana Nak Rajin Belajar Dengan 5 Tips Mudah
Semua orang pasti pernah merasa malas untuk belajar, bekerja dan sebagainya. Ketika di bangku sekolah, kolej atau institut pendidikan pelajar sering mengalami kemalasan untuk belajar, mengulang kaji pelajaran dan menumpukan perhatian guru mengajar di hadapan.
Walhal, pelajar yang pandai sekalipun akan mengalami kemalasan pada waktu tertentu. Apakah sebab-sebabnya? Antara sebab utama adalah pelajar tiada matlamat dalam pelajaran. Hal ini menyebabkan mereka malas untuk belajar. Oleh yang demikian, dalam artikel ini akan membincangkan tentang bagaimana hendak rajin belajar.
Setiap yang berjaya tidak akan bermula dengan kejayaan. Kata Buya Hamka, ‘kejayaan itu bermula dengan kegagalan‘, jika mereka tidak pernah gagal maka tidak akan berjaya. Manakala, Albert Einstein juga pernah berkata ‘anyone who has never made a mistake has never tried anything new‘.
Mudahnya, jangan jadikan kegagalan yang lampau itu suatu halangan untuk kita rajin belajar. Anda mungkin berkata, ‘kalau aku rajin ke, malas ke, sama saja result peperiksaan nanti. Baik enjoy je lah.’ Anda harus ubah persepsi tersebut kerana setiap perkara atau pengalaman yang kita lalui tentu akan memberikan maklumat atau panduan baru secara langsung atau tidak langsung dalam hidup kita.
Jadi, dalam artikel kali ini, kami akan kongsi 5 tips dengan anda macam mana nak rajin belajar supaya jadi pandai dan mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam apa-apa peperiksaan.
Aturkan Jadual Yang Selesa Untuk Belajar
Kadang-kadang mood untuk belajar ini bergantung kepada seseorang individu juga. Ada orang suka belajar pada waktu malam, ada juga orang suka belajar pada waktu siang. Ia tertakluk kepada keselesaan masing-masing. Apabila ada jadual belajar yang ditetapkan, maka anda perlulah tepati jadual tersebut dengan disiplin yang tinggi.

Untuk mengelakkan anda cepat berputus asa dengan jadual sendiri, cuba bina jadual ulangkaji yang ringan-ringan dahulu sebelum anda mendapatkan momentum belajar secara 100 peratus. Aktiviti ulangkaji pelajaran juga macam aktiviti fizikal lain seperti larian jarak jauh.
Anda tidak mula berlari 10km terus. Sebaliknya, anda mungkin akan mula berlari 3km dahulu selama 2 minggu, kemudian 5km selama 2 minggu dan begitulah seterusnya.
Begitu juga aktiviti ulangkaji pelajaran, cuba luangkan masa 60 minit sehari untuk minggu pertama, diikuti 85 minit sehari untuk minggu ketiga dan begitulah seterusnya sehingga anda mendapat suatu tempoh yang optimum untuk ulangkaji pelajaran.
Namun, apa yang paling penting anda perlulah mengutamakan kesihatan tubuh badan juga. Berikut adalah contoh jadual ulangkaji yang mungkin boleh anda contohi.
Masa | Aktiviti |
---|---|
7 – 8 pagi | Bersiap dan sarapan |
8 – 9 pagi | Ulangkaji selama 1 jam |
9 – 9.15 pagi | Berehat 15 minit |
9.15 – 10.15 pagi | Ulangkaji selama 1 jam |
10.15 – 10.45 pagi | Berehat 30 minit |
10.45 pagi – 12.15 tengahari | Ulangkaji selama 1 jam 30 minit |
12.15 – 1.45 petang | Berehat 1 jam 30 minit |
1.45 – 2.45 petang | Ulangkaji selama 1 jam |
2.45 – 3.15 petang | Berehat 30 minit |
3.15 – 4.15 petang | Ulangkaji selama 1 jam |
4.15 – 5.30 petang | Aktiviti riadah atau senaman di luar |
Dekati Kawan Yang Pandai
Di sekolah atau mana-mana institusi Pendidikan mesti akan ada pelajar bijak dan pandai. Cuba dekati mereka serta minta tunjuk ajar mereka. Pepatah falsafah mengatakan, ‘berkawanlah dengan orang yang menjual minyak wangi kerana akan rasa tempias wangi, janganlah pula berkawan dengan tukang besi kerana bimbang tempias api daripada besi‘.

Secara tidak langsung, kita akan lebih terdorong untuk mengikut rentak kawan kita yang rajin itu tadi apabila melihat dia lebih banyak meluangkan masa untuk belajar. Dalam masa yang sama, anda boleh cepat-cepat tanya dan bincang dengan mereka apabila tidak faham sesuatu subjek yang diulangkaji daripada tercari-cari dengan sendiri yang mungkin akan memakan lebih masa sedikit.
Hal ini telah dibuktikan oleh sebuah kajian yang mendapati bahawa hubungan sekeliling yang aktif dengan orang-orang yang pandai boleh menaikkan tahap kecerdasan daya fikir seseorang.
Hias Bilik Belajar Mengikut Citarasa
Suasana yang tenang dan cantik akan membuatkan seseorang selesa untuk belajar. Bilik belajar yang cantik dan berhias akan membuatkan seseorang semangat untuk belajar. Suasana bilik belajar adalah bergantung kepada citarasa masing-masing. Yang penting ia mestilah mempunyai ciri-ciri asas yang berikut.
- Meja dengan saiz dan tinggi yang bersesuaian,
- Kerusi yang ergonomik,
- Pencahayaan yang cukup,
- Pengudaraan yang baik,
- Jauh dari bunyi bising,
- Komputer dan internet (pilihan)
- Warna yang mendorong minat belajar (pilihan), &
- Bau-bauan yang menyegarkan (pilihan)
Sediakan Catatan Homework Dan Perincian yang Diberikan
Semua pelajar pasti akan ada tugasan (homework/assignment) yang akan diberikan oleh guru ataupun pensyarah. Tugasan adalah salah satu metodologi penilaian pemahaman anda terhadap subjek tersebut. Jika di peringkat pengajian tinggi pula, banyak subjek yang meletakkan pemberat markah yang berat dalam tugasan berbanding peperiksaan itu sendiri.
Sebaiknya kita digalakkan untuk mencatat apa yang perlu dibuat ketika sudah balik ke rumah. Dengan adanya catatan tersebut, kesedaran anda akan menjadi lebih peka akan tugasan yang diberikan oleh guru atau pensyarah.
Apa yang penting adalah anda perlu elakkan daripada membuat kerja secara last minute supaya anda boleh sentiasa bersedia untuk subjek yang lain juga.
Jangan Malu Untuk Rajin Bertanya Guru
Ketika guru mengajar di hadapan, pasti akan ada pelajar yang tidak faham mengenai topik pembelajaran tersebut. Maka, cuba rajinkan diri untuk bertanya guru jika tidak memahami isi pembelajaran. Guru akan sentiasa menolong pelajarnya untuk mendapatkan kefahaman yang mendalam.
Orang tua-tua pernah berkata, ‘malu bertanya sesat jalan‘.
Mungkin masa dalam kelas terbatas dan anda tidak sempat bertanya. Cuba rajin-rajinkan diri untuk melawat guru atau pensyarah di biliknya untuk bertanya secara peribadi. Namun begitu, anda perlu meminta izin mereka terlebih dahulu jangan pula main terjah sahaja.
Bukan apa, ada guru atau pensyarah yang tidak selesa jika dilawati secara peribadi di biliknya. Mereka bukan tidak mahu bantu tetapi mesti ada cara lain yang mereka jalankan untuk bantu pelajar di luar waktu pengajaran.
Contohnya ada guru atau pensyarah yang menjalankan sesi tutorial secara besar-besaran pada suatu sesi yang lain. Ada pula yang menjalankan tutorial secara dalam talian sahaja.
Senang cerita, jangan buat ‘pasal’ dengan guru atau pensyarah kerana dari dialah ilmu yang bermanfaa itu datang. Dan dia jugalah yang menentukan kita gagal atau lulus cemerlang subjek tersebut.
Kesimpulan
Ulangkaji pelajaran dengan sistematik dan tersusun pasti dapat membantu anda memahami sesuatu subjek dengan lebih baik dan secara tidak langsung dapat memberikan persediaan terbaik bagi menghadapi apa-apa peperiksaan.
Namun begitu, dalam anda mengejar keputusan yang cemerlang dalam pelajaran kesihatan diri mestilah sentiasa diawasi dan dijaga. Kesihatan mental dan fizikal adalah suatu aset yang lebih besar daripada keputusan peperiksaan yang cemerlang.
Kami doakan agar impian anda untuk muncul sebagai pelajar cemerlang akan tercapai. Semoga berjaya!
Rujukan
Harris, Sarah. “Why Clever Friends and Spouses Can Make You Smarter.” Mail Online, 29 Mei 2016, www.dailymail.co.uk/news/article-3615055/Why-clever-friends-spouse-make-smarter-hanging-people-don-t-stretch-opposite-effect.html. Diakses pada 13 Nov. 2022.