Macam Mana Nak Decide Sebelum Sambung Belajar Master atau PhD?
Setelah mendapat ijazah pertama, mungkin ada di antara anda yang berhasrat untuk sambung belajar di peringkat pasca-siswazah. Belajar di peringkat pasca-siswazah tidak sama dengan belajar di peringkat sarjana muda. Ia penuh dengan cabaran dan cabarannya mungkin berbeza bagi setiap pelajar.
Untuk mengurangkan cabaran ini, pelajar harus memahami bahawa sistem pembelajaran pasca-siswazah memerlukan pendekatan yang lebih komprehensif dan harus difahami seawal mungkin sebelum pelajar melanjutkan pelajaran mereka. Berikut adalah beberapa kaedah untuk pelajar yang merancang untuk meneruskan pengajian sarjana dan PhD pada masa akan datang.
Ketahui Tujuan Sambung Belajar
Sebelum anda merancang untuk melanjutkan pengajian di peringkat pasca-siswazah, pastikan anda jelas tentang tujuan menyambung pengajian. Hal ini kerana, setiap pelajar mempunyai tujuan tersendiri mengenai mengapa dia mahu meneruskan pengajian ke peringkat pasca-siswazah.
Contohnya, bagi anda yang ingin meneruskan kerjaya dalam bidang pendidikan, syarat minimum adalah sekurang-kurangnya ijazah sarjana atau PhD.
Sebab minat atau nak dapatkan gaji yang lebih besar masa kerja nanti ?
Tambahan pula, persaingan dalam pasaran pekerjaan juga semakin sengit saban hari apabila tahap pendidikan kebanyakan rakyat Malaysia sudah lebih tinggi berbanding dahulu. Ijazah sahaja mungkin tidak cukup untuk melayakkan anda mendapat perhatian daripada para majikan.
Namun begitu, tidak dinafikan pengalaman kerja juga turut menjadi kriteria penting dalam pemilihan pekerja bagi sesebuah organisasi tidak kiralah anda ada master atau PhD sekalipun.
Sebab selalunya apa yang mereka mahu adalah ‘plug&play‘ pekerja tersebut terutamanya dalam syarikat, organisasi atau industri yang ‘fast-paced‘ dan sangat ‘specialized’.
Bahkan jangan pelik jika ada majikan yang pukul rata sahaja untuk gaji permulaan bagi pekerja yang tidak ada pengalaman kerja. Tidak kiralah anda ada ijazah atau masters kerana kebanyakan syarikat-syarikat swasta sememangnya mengutamakan penjimatan kos operasi jadi buat apa mereka bayar pekerja yang bergaji mahal. Namun berbeza bagi sektor kerajaan yang memang mengutamakan tahap pendidikan dalam penentuan gaji.
Paling penting, pengajian anda perlu bertunjangkan faktor minat dan perasaan tertanya-tanya yang tinggi kepada bidang atau permasalahan yang ingin dikaji kerana ia akan jadi lebih mudah sepanjang anda menghabiskan pengajian itu nanti dan lebih menjanjikan kepuasan kepada diri sendiri.
Kenalpasti Institusi Pengajian Yang Sesuai Untuk Sambung Belajar
Selain itu, institusi pilihan juga mestilah diambil kira sebab tidak semua institusi berminat dengan tajuk atau subjek kajian anda walau secanggih manapun tajuk tersebut. Ia kerana setiap institusi ada bidang-bidang yang ia ingin fokus secara spesifik sesuai dengan dasar-dasar yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan atau pengurusan universiti.
Infrastruktur dan sumber-sumber yang disediakan di institusi yang khusus pasti lebih baik dan lengkap berbanding institusi yang menawarkan bidang tersebut atas dasar ‘sekadar ada’ sahaja.
Pilih institusi yang sesuai dengan tajuk pengajian anda.
Di samping mengenal pasti institusi yang menawarkan bidang pengajian anda, anda perlu juga mengambil kira institusi yang dekat dengan tempat anda tinggal kerana di peringkat pasca-siswazah, anda perlu mengadakan pertemuan yang berkala dengan penyelia anda bagi menguruskan kerja penyelidikan.
Tambahan pula, kajian anda juga mungkin memerlukan bahan-bahan rujukan yang bersifat fizikal seperti manuskrip lama, artifak, atau bahan peninggalan sejarah yang hanya boleh didapati daripada universiti. Tidak kurang juga, anda mungkin perlu menggunakan fasiliti-fasiliti khas yang hanya boleh didapati di universiti sahaja terutamanya jika tajuk kajian anda bersifat teknikal.
Ketahui Jumlah Perbelanjaan Semasa Tempoh Pengajian
Untuk memastikan pengajian anda berjalan lancar sehingga akhir, anda harus mengkaji jumlah yuran yang perlu dibayar pada setiap semester supaya anda boleh rancang sumber dana yang diperlukan. Terdapat banyak opsyen sumber dana untuk membiayai yuran dan kos-kos pengajian.
Contohnya anda boleh menggunakan tabung simpanan peribadi, pengeluaran KWSP bagi mereka yang mencarum, tajaan dari pihak majikan (ada sesetengah syarikat yang menggalakkan pekerja mereka menyambung pengajian, jadi mereka ada sediakan sedikit dana sebagai CSR), tajaan dari pihak penaja biasiswa pengajian tinggi, pinjaman bank, pinjaman ibu bapa atau keluarga, atau tajaan dari pusat-pusat zakat dan Majlis Agama Islam negeri bagi yang layak.
Kalau boleh dapatkan tajaan pasti lebih baik.
Apa yang penting, anda kenalah ada pelan kewangan yang utuh semasa menyambung pengajian nanti. Bukannya murah kos-kos perbelanjaannya nanti ! Purata kos untuk tahap masters adalah sekitar RM 16k ~ RM 28k. Manakala untuk PhD pula, purata kos yuran yang diperlukan adalah sekitar ~RM 3k per semester.
Jika anda perlukan 12 semester untuk siapkan PhD jadi kos pengajian anda sekitar RM 36k lah. Namun begitu, kos sebenar adalah tertakluk kepada bidang pengajian dan universiti serta tertakluk kepada perubahan dari masa ke masa.
Dicampurkan dengan kos sara hidup lagi yang saban hari semakin meningkat, jadi anda akan dapat bayangan berapa banyak wang diperlukan demi menyudahkan pengajian masters atau PhD.
Contoh Yuran Pengajian Pasca-Siswazah di UPM
Contoh Yuran Pengajian Pasca-Siswazah di OUM
Sedar Tahap Komitmen Yang Diperlukan
Adalah disyorkan agar anda memikirkan komitmen-komitmen pengajian baru anda dengan serius sebelum anda memulakan pengajian. Ia tidak bertujuan untuk menakut-nakutkan anda, tetapi kajian pasca-siswazah menuntut dan memerlukan komitmen yang sangat tinggi daripada anda. Ramai yang terkandas di tengah-tengah jalan apabila gagal mengimbangi komitmen pengajian dan kehidupan.
Contohnya bagi mereka yang sudah bekerjaya, kadang-kadang suasana kerja yang dinamik dan tidak menentu boleh menjejaskan jadual pengajian anda. Cuba bayangkan jika anda terlibat dalam sesebuah projek yang memerlukan komitmen 6 hari seminggu dalam jangka masa 2 ke 3 tahun.
Tambahan pula, waktu kerja yang sampai lewat malam juga akan menjejaskan waktu rehat. Tidak mustahil anda kena tukar kerjaya yang lebih relax untuk kejar impian pengajian tersebut. Lainlah kalau kerja anda memang jenis rutin yang tidak pernah berubah dari 8pg – 5ptg, Isnin – Jumaat.
Mungkin kena tukar kerjaya yang lebih relaxed untuk pastikan jadual pengajian lebih teratur.
Apatah lagi kalau anda seorang ketua keluarga yang berkeluarga besar. Untuk tahu sama ada anda mampu komited atau tidak, tuliskan semua komitmen seharian anda dalam satu jadual masa bagi tempoh seminggu Isnin – Jumaat, kemudian cuba selitkan masa yang diperlukan untuk siapkan tugasan atau penuhi keperluan pengajian. Dengan cara ini anda pasti akan dapat lihat dengan jelas sama ada boleh bagi komitmen ataupun tidak.
Untuk Sambung Belajar Persedian Mental dan Fizikal Kena Padu
Anda juga haruslah mempertimbangkan persediaan mental sebelum memohon untuk melanjutkan pengajian. Untuk tujuan ini, anda dinasihatkan untuk bertanya kepada individu yang berpengalaman tentang apakah cabaran biasa yang dihadapi oleh pelajar.
Dengan itu, anda bukan sahaja akan mengetahui perkara-perkara yang berkaitan dengan pengajian anda tetapi juga memastikan bahawa anda bersedia untuk menghadapi cabaran baru. Buat persediaan rapi untuk kurangkan tekanan semasa pengajian nanti.
Perlu rancang dan bincang kemahuan dalam rumahtangga untuk elak konflik.
Contohnya jika anda sudah berkahwin, mungkin boleh tangguhkan dahulu perancangan untuk ada/tambah anak sebelum anda habis pengajian. Persefahaman antara kedua pasangan adalah amat penting untuk elakkan konflik rumahtangga kerana sokongan pasangan adalah sangat perlu terutamanya saat-saat anda merasa tertekan atau tidak bersemangat. Pasangan andalah yang perlu jadi pembakar semangat.
Namun, kalau anda masih bujang itu tentulah bukan masalah yang besar.
Kesimpulan
Diharapkan dengan informasi yang disediakan ini dapat membuatkan anda lebih bersedia sebelum membuat keputusan untuk melanjutkan pelajaran anda ke peringkat pasca-siswazah.
Pendidikan di peringkat master/PhD bukan lah satu tugas yang mudah kerana ia adalah satu bidang yang sangat menguji kekuatan mental di mana setiap isi kandungan pembelajaran memerlukan pelajar berfikir di luar kotak atau berfikir secara kritis dan kreatif. Belajar di peringkat pasca-siswazah pasti akan menjadi salah satu perjalanan yang akan anda ingat sepanjang hayat anda.