Macam Mana Nak Tahu Seseorang Lelaki Itu Suka Anda

Dalam kehidupan seharian, anda pasti tidak terlepas dari bertembung atau bergaul dengan lawan jantina tidak kiralah di sekolah, universiti, tempat kerja, kawasan perumahan atau stesen LRT sekalipun.

Bagi anda yang masih belum berpunya dan mencari-cari teman pasti ada ketika bila mana anda dibuai perasaan ingin bercinta lalu terdetiklah persoalan seperti, ‘Selalu perasan jejaka itu dekat sini. Dia nampak macam selalu pandang-pandang je. Agak-agak dia suka aku ke?

Boleh jadi anda kerap terserempak dengan seorang jejaka yang kelihatan seperti ingin mendekati anda. Atau mungkin ada jejaka yang anda minati tetapi tidak tahu sama ada adakah dia menaruh perasaan terhadap anda juga.

Tentunya ada tanda-tanda yang boleh anda hidu terhadap sang jejaka jika dia ada menaruh perasaan sukakan anda. Dalam artikel ini, kami senaraikan tanda-tanda jika seseorang jejaka sedang menaruh perasaan istimewa kepada anda.

Dia Merapatkan Wajahnya Kepada Anda Semasa Kalian Berbual

Umumnya manusia secara semula jadi akan lebih cenderung kepada orang yang mereka sukai semasa dalam perbualan. Jika lelaki tersebut sering kelihatan cenderung untuk mendekatkan wajahnya kepada anda semasa dia berbicara dengan anda atau mendengar anda bercakap, itu petanda yang baik bahawa dia mungkin menyukai anda. Lebih jelas, setiap kali berbual dengannya, anda dapat merasakan nafasnya.

Anda mungkin dapat merasakan nafasnya semasa berbual-bual.

Dia Mencondongkan Badannya Ke Arah Anda Semasa Berbual

Menurut ahli terapi seks dan perhubungan Courtney Geter, LMFT, CST, seseorang akan mempunyai ‘body language’ yang lebih terbuka terhadap seseorang yang mereka suka: “Posisi anggota badan mereka lebih terbuka, lengan mereka tidak bersilang, dan mereka boleh duduk dan relaks,”.

Khususnya, perhatikan arah dia memiringkan badannya. Jika keseluruhan badannya menghadap ke arah anda, itu petanda yang baik. Tetapi jika dia tidak menghalakan keseluruhan badannya kepada badan anda, itu adalah tanda bahawa dia mungkin tidak menyukai anda.

Dia Akan Selalu Mencari Cara Untuk Memuji Anda

Secara amnya seseorang itu cenderung untuk mencari jalan walau sekecil manapun untuk memuji seseorang yang mereka minati. Jadi jika seorang lelaki selalu sangatn memuji segala-galanya dari bulu mata anda sehinggalah ke botol air anda, itu mungkin tanda jejaka itu memang benar-benar menyukai anda.

Apatah lagi kalau si dia sering memuji yang anda ini cantik, comel, manis dan sebagainya. Maknya dia sedang mengayat anda jadi tolonglah ‘cair’ ya.

Cantik baju awak hari ini! Awak nampak comel pakai beg ni!

Dia Sentiasa Lihat Ke Dalam Mata Anda

Hubungan mata (eye contact) boleh jadi salah satu tanda dia menyukai anda, tetapi berhati-hati dengan orang yang memang pandai membuat hubungan mata dengan sesiapa sahaja dan semua orang yang mereka bercakap atas dasar dia menghormati orang yang sedang bercakap dengannya.

Anda boleh cuba perhatikan cara dia bercakap dengan rakan-rakannya yang lain. Sekali imbas sahaja sudah boleh tahu jika dia jenis yang membuat hubungan mata semasa berbual. Tetapi jika jejak tersebut cenderung memandang tepat ke mata anda dan menahan pandangan anda dengan lama, itu mungkin petanda ada sesuatu yang lebih ‘indah’ di situ.

Dari mata jatuh ke hati, kata orang lama.

Dia Akan Balas Mesej Anda Dengan Cepat

Sesetengah orang tidaklah kerap memeriksa telefon mereka mungkin kerana mereka memang jenis yang sibuk lebih-lebih lagi pada waktu kerja. Bahkan ada tempat kerja yang melarang pekerja menggunakan telefon kecuali pada waktu-waktu tertentu sahaja.

Jadi janganlah hanya disebabkan jejaka itu tidak membalas mesej anda dengan segera tidaklah  bermakna dia tidak sukakan anda. Apa yang penting dia mesti akan balas pada hari yang sama dan pasti dia akan minta maaf bila lambat ‘reply’ diikuti dengan alasannya tersendiri. Namun begitu, jika jejaka tersebut selalu membalas mesej anda dengan cepat, mereka mungkin cuba menunjukkan bahawa mereka berminat dengan anda.

Dia sebenarnya memang tertunggu-tunggu mesej dari anda.

Kadang-kadang ada lelaki yang menetapkan bunyi ‘ringtone’ yang istimewa untuk mesej anda supaya dia boleh membezakan mesej anda dengan orang lain. Anda boleh sahaja cuba hantar mesej semasa depan-depan denganya, buatlah konon-konon kongsi artikel macammananak.com masa dekat dengan dia. Entah-entah keluar ‘ringtone’ lagu Perfect oleh Ed Sheeran bila anda mesej. Memang sah!

Dia Akan Cuba Memperpanjangkan Perbualan Dengan Anda

Secara umumnya, tidak kiralah sama ada melalui mesej atau secara berdepan, perhatikan jika dia sedaya-upaya cuba meneruskan perbualan dengan anda walaupun mungkin topik perbualan mungkin sudah tidak masuk akal. Ini bermakna dia akan sentiasa bertanya soalan susulan atau menawarkan jawapan terperinci kepada soalan anda.

Boleh jadi dia akan tanya soalan-soalan yang nampak macam tidak masuk akal seperti, ‘Kucing anda pergi mana hari ni ?, Kucing anda tidur kat mana ?, Siapa Tok Penghulu kawasan rumah anda ?, Isi minyak berapa ringgit hari ni ?, Ayah anda baca surat khabar apa hari ni ? dan macam-macam lagilah asalkan dia boleh pegang anda lama-lama pada momen itu.

Walau anda tanya sepatah, dia pasti akan ‘reply’ seperenggan.

Dengan erti kata lain, dia tidak pernah membalas dengan jawapan yang terlalu ringkas seperti ‘k’, ‘lol’,’dah’, dan pelbagai lagi jawapan ringkas yang boleh menyakitkan hati. Kalaupun dia terpaksa tinggalkan anda pada sesi tersebut, pasti dia akan datang semula nanti. Percayalah !

Dia Akan Cuba Cari Masa Berdua-Duaan Dengan Anda

Jika jejaka tersebut adalah kenalan anda, seseorang di pejabat atau kelas anda, atau seseorang yang kadang-kadang anda jumpa di majlis keraian syarikat, dan dia sering mencari cara untuk berjumpa dan berdua-duaan dengan anda, ia merupakan salah satu tanda yang dia cuba untuk berinteraksi dengan anda secara lebih peribadi.

Walaupun itu hanya boleh menjadi persahabatan, ia juga boleh bermakna dia sedang menyukai anda.

Dia Kelihatan Malu-Malu Dengan Anda

Adakah anda perasan muka atau kulitnya menjadi merah apabila berada di dekat dengan anda? Itu berlaku apabila kita teruja atau adrenalin mengalir laju, kata seorang ahli psikologi klinikal, dan ia adalah tanda tarikan yang biasa apabila seseorang mempunyai perasaan terhadap seseorang yang lain.

“Pipi yang kemerah-merahan adalah tindak balas yang jujur, ” katanya. Ia merupakan petanda yang paling jelas jika dia memendamkan perasaan sukanya.

Ini Memang Sah! Dia Luahkan Perasaanya Kepada Anda Secara Terus-Terang

Kadang-kadang mencari tanda-tanda kecil seperti yang dinyatakan di atas langsung tidak akan memberi anda gambaran yang jelas tentang apa sebenarnya yang sedang berlaku.

Sesetengah jejaka mungkin akan melakukan semua perkara di atas dengan semua rakan perempuan mereka jadi susah untuk anda agak gerak-geri mereka, manakala lelaki lain akan menyukai seseorang tetapi tidak melakukan mana-mana perkara di atas dan lebih suka mencintai dalam sembunyi.

Jadi anda akan terbiar dalam persoalan antara bahagia dan duka iaitu, ‘Dia ni sebenarnya suka aku atau tidak ya ?’

Jika anda tidak pasti sama ada seorang jejaka itu menyukai anda tetapi menyembunyikannya, cuba terus sahaja tanya dia dan biarkan dia memberitahu anda secara langsung perasaannya. Bukankah senang begitu!

Hi, kalau saya suka awak, awak nak suka saya balik tak ? Cuba tanya soalan macam ni secara ‘direct’.

Bunyinya mungkin menakutkan dan anda mungkin tertanya-tanya macam mana nak mulakan perbualan tersebut, tetapi percayalah ia pasti tidak merugikan anda ! Masa inilah anda nak seru sedikit ‘semangat’ gila-gila dan slumber yang telah lama terpendam.

Bagi kenalan yang telah lama mungkin tidak ada masalah yang besar kerana anda boleh terus sahaja berborak secara bersahaja dengannya. Anda boleh selitkan elemen ‘bodoh-bodoh’ semasa bertanya. Contohnya anda boleh usik-usik jejaka tersebut dengan ayat, ‘Saya rasa saya perasan yang awak selalu ‘usha-usha’ saya di pejabat. Awak suka saya ke ?

Kalau susah dibuat depan-depan cuba hantar mesej kepadanya. Pasti lebih senang. Jika dia memang benar-benar sukakan anda, itu rezeki andalah. Sesuatu yang menyeronokkan pasti menanti anda pada masa hadapan.

Kalaupun dia tidak menaruh perasaan terhadap anda, jangan berasa malu kerana anda sebenarnya telah berjaya menjawab satu persoalan yang tak ramai mampu jumpa jawapannya. Yang penting kena ‘move on’ dan teruskan hidup macam biasa.

Kesimpulan

Jadi sekarang anda mungkin sudah boleh agak jika si jejaka itu menaruh perasaan terhadap anda ataupun tidak. Mungkin anda memang seorang yang mempunyai rupa yang cantik dan berpesonaliti menarik jadi tentunya ramai jejaka yang akan tertarik dengan diri anda. Dalam hal ini pasti sukar untuk anda tentukan siapa sebenarnya yang mempunyai perasaan yang tulus dan ikhlas terhadap diri anda.

Paling penting jangan bertanya secara terus secara suka-suka adakah si jejaka tersebut menyukai anda jika anda tidak berniat untuk membalas perasaanya atau anda ingin memperkecilkannya. Biarkan sahaja lelaki itu sehingga dia sendiri menyatakan perasaannya kepada anda, ketika itu barulah anda tolak dengan baik.

Namun begitu, apabila tindakan seseorang itu menjadi terlalu ekstrem sehingga menggangu ruang kehidupan peribadi dan keselamatan anda, silalah nyatakan dengan baik supaya dia menghentikan tindak-tanduknya. Anda boleh melaporkan kepada pihak berkuasa jika tindakannya terlalu mencurigakan.

Rujukan

mindbodygreen. (2022, Jun 28). Subtle Signs Someone’s Romantically Interested In You, In Case You’re Curious. Diakses 3 Julai 2022, daripada https://www.mindbodygreen.com/articles/does-he-like-me

Mas, S. (2021, Januari 1). How to Tell if Someone Truly Likes You: 9 Signs of Attraction. The Truly Charming. Diakses 3 Julai 2022, daripada https://thetrulycharming.com/psychological-signs-someone-likes-you/

Imej oleh bess.hamiti@gmail.com daripada Pixabay

Kiriman Serupa