Macam Mana Nak Tukar Nama Kenderaan Dengan Cara Betul

Anda mungkin bercadang ingin membeli sebuah kenderaan baru lalu kenderaan yang lama tersebut perlu dijual. Atau anda mungkin pembeli sebuah kenderaan terpakai jadi sudah tentu akan ada proses tukar nama kenderaan daripada pemilik lama kepada anda.

Atau anda mungkin telah dihadiahkan kereta tidak kira yang terpakai atau baru yang mana nama kereta tersebut masih atas nama orang lain. Anda perlu tukar nama kereta atas banyak faktor yang pastinya apabila ia digunakan anda, gerak-geri kereta tersebut di atas jalan raya akan mencerminkan keperibadian dan kedisiplinan anda sebagai seorang pemandu.

Terdapat pelbagai implikasi undang-undang yang buruk jika nama pemilik kenderaan tidak ditukar kepada pemilik baru. Contoh yang mudah adalah saman speed trap akan masuk kepada pemilik kereta bukanlah pemandu yang sedang melakukan kesalahan tersebut.

Jadi, dalam artikel ini kami akan kongsi dengan beberapa langkah penting untuk anda consider untuk tukar nama kenderaan.

Langsaikan Hutang Pinjaman Kenderaan Yang Masih Tersisa

Jika kenderaan anda dibeli dengan pembiyaan bank atau pemberi pinjaman, ketahuilan bahawa kenderaan itu sebenarnya adalah masih dimiliki oleh pihak bank selagi anda tidak melangsaikan hutang tersebut. Bank mempunyai hak sebagai pemilik kenderaan, bukannya anda kerana anda masih lagi dianggap sebagai penyewa sahaja selagi masih ada baki hutang.

Oleh itu, anda perlu pastikan tiada bayaran yang tertunggak atau kesemua baki bayaran telah dilangsaikan sebelum menjual kenderaan anda kepada pemilik baharu.

Pemilik Asal Buat Pemeriksaan Kenderaan di PUSPAKOM

Akta Pengangkutan Jalan 1987 mensyaratkan bahawa semua kenderaan persendirian untuk menjalani Pemeriksaan Tukar Milik di PUSPAKOM sebelum menjalani pemindahan pemilikan.

Pemeriksaan PUSPAKOM bertujuan melindungi pembeli daripada tertipu semasa membeli kenderaan. Tanpa laporan B5 penjual tidak akan dapat menukar nama kepada pemilik baru.

Pemeriksaan ini membantu melindungi pemilik kenderaan baharu daripada membeli atau memiliki kenderaan yang menyalahi peraturan seperti kenderaan potong-sambung. Bayaran sebanyak RM30 dikenakan untuk pemeriksaan ini. Laporan B5 akan dikeluarkan selepas pemeriksaan di buat.

Untuk membuat pemeriksaan di PUSPAKOM, anda perlulah buat janji temu dulu bukan main redah walk-in sahaja. Buat pengetahuan anda, PUSPAKOM adalah antara tempat yang paling sibuk dan waktu menunggu yang sangat lama.

Yang sudah buat janji temu pun tunggu lama inikan yang datang secara walk-in. Berikut adalah langkah mudah untuk buat janji temu dengan PUSPAKOM.

  1. Lawati laman web https://www.mypuspakom.com.my/. Anda boleh juga muat turun aplikasi.
  2. Buat akaun pengguna baru jika belum ada dengan menekan pautan ‘Daftar Masuk Kali Pertama‘.
  3. Masukkan segala maklumat yang diperlukan dan ikut semua arahan di skrin.
  4. Selepas pendaftaran berjaya, masuk semula kedalam sistem MyPUSPAKOM dan tekan pautan ‘Temujanji Baru‘.
  5. Masukkan semua maklumat yang diperlukan dan ikut semua arahan di skrin.
  6. Sahkan maklumat janji temu dan buat bayaran melalui cara kad kredit, kad debit atau FPX.
  7. Simpan salinan Slip Pengesahan Janji Temu dan perlu ditunjukkan semasa hari kejadian.

Pada hari janji temu di PUSPAKOM jangan lupa untuk bawa dokumen penting berikut:

  1. Kad pengenalan,
  2. Slip Pengesahan Janji Temu myPUSPAKOM,
  3. dan paling penting geran kenderaan asal atau yang salinan yang telah disahkan.

PUSPAKOM turut menawarkan perkhidmatan pemeriksaan bergerak untuk kemudahan orang yang memiliki halangan. Boleh baca pengalaman temujanji pemeriksaan Puspakom di rumah brother ini.

Bagi perkhidmatan Unit Bergerak Trak dan Unit Bergerak Trak Ringgan (untuk kenderaan perdagangan berat dan ringan), sila membuat temujanji dalam talian melalui www.mypuspakom.com.my . Untuk maklumat lanjut, anda boleh menghubungi 03-5526 1116 atau 03-5526 1118 atau sebagai alternatif, anda boleh e-mel kami di dp.pmihq@puspakom.com.my.

Laporan ini hanya sah selama 60 hari. Jika telah melebihi tempoh sah 60 hari, kenderaan anda perlu menjalani pemeriksaan yang sama sekali lagi.

Untuk perkhidmatan Unit Bergerak Van (untuk kenderaan persendirian), anda boleh membuat temujanji melalui www.mypuspakom.com.my untuk perkhidmatan pemeriksaan di Lembah Klang. Untuk perkhidmatan pemeriksaan di luar Lembah Klang, sila hubungi cawangan yang berkenaan.

Pemilik Asal Isi Borang JPJK3 & Thumbprint di Kaunter JPJ Untuk Tukar Nama Kenderaan

Apabila sudah dapat laporan B5, pergilah ke mana-mana cawangan JPJ terdekat untu mengisi Borang Penyata Pertukaran Milikan Kenderaan Motor Secara Sukarela oleh Pemunya Berdaftar atau Pemunya Baharu (JPJK3). Borang ini boleh dimuat turun di sini.

Lengkapkan semua butiran yang diperlukan oleh borang di atas dan jangan lupa bawa dokumen asal seperti kad pengenalan, laporan B5 dan geran kereta. Anda dikehendaki untuk menurunkan cap jari (thumbprint) sebagai pengesahan persetujuan tukar nama kereta tersebut.

Di akhir urusan tersebut anda akan diberikan satu salinan slip pengesahan. Serahkan slip tersebut kepada bakal pemilik baru kereta tersebut.

Pemilik Baru Juga Isi Borang JPJK3 & Thumbprint di Kaunter JPJ

Pemilik baharu juga perlu mengisi borang tukar nama JPJ iaitu Borang Penyata Pertukaran Milikan Kenderaan Motor Secara Sukarela oleh Pemunya Berdaftar atau Pemunya Baharu (JPJK3). Pemilik baru perlu bawa dokumen berikut semasa berurusan dengan JPJ:

  1. Kad pengenalan asal,
  2. Geran asal atau sijil pemilikan kenderaan (VOC),
  3. Laporan asal B5 dari PUSPAKOM, dan
  4. Slip pengesahan cap jari pemilik asal.

Pemilik baru juga perlu perbaharui insurans kereta tersebut sebab setelah bertukar pemilikan, cukai jalan (road tax) dan insurans pemilik asal akan terus terbatal. Selalunya pegawai JPJ juga akan nasihatkan anda perbaharui insurans dulu supaya senang mereka boleh terus keluarkan geran kereta yang baru beserta cukai jalan serentak.

Tukar Nama Kereta Secara Online (Pilihan)

Sekarang kan sudah zaman teknologi informasi dan boleh dikatakan banyak proses dan fungsi kerajaan telah di-online-kan. Tidak ketinggalan juga proses pertukaran nama pemilik kereta oleh JPJ yang dikuasakan oleh portal mySIKAP.

tukar nam kenderaan dengan mySIKAP

eID Advance diperlukan untuk tukar nama pemilik kereta. Ia boleh didapatkan di kaunter JPJ.

Untuk tukar nama secara online, boleh buat akaun baru di MySIKAP. Terdapat 2 jenis akaun pengguna MySIKAP iaitu eID Standard dan eID Advance. Untuk membolehkan anda tukar nama secara online, eID Advance diperlukan yang mana anda perlu dapatkan kod unik di kaunter JPJ dengan memberi imbasan cap jari (thumbprint).

Tengok perbandingan senarai servis-servis yang boleh diakses oleh kedua-dua eID tadi dalam infografik yang dikeluarkan oleh JPJ.

mysikap eid standard vs eid advance

Berikut merupakan cara macam mana nak tukar nama pemilik kenderaan melalui MySIKAP. Langkah dia seolah-olah tukar nama melalui kaunter JPJ juga cuma segala butiran yang diperlukan anda masukkan (key in) sendiri melalui portal MySIKAP. Ia perlu dimulakan oleh pemilik kenderaanlah.

Dengan kaedah ini, kedua-dua pihak perlu mempunyai akaun MySIKAP dengan eID Advance.

Pemilik Kenderaan Mulakan Proses Tukar Nama Melalui MySIKAP

  1. Log masuk portal MySikap,
  2. Pada halaman utama, pilih KENDERAAN,
  3. Kemudian, pilih PERMOHONAN PERTUKARAN HAK MILIK KENDERAAN (PEMILIK BERDAFTAR),
  4. Masukkan NOMBOR PENDAFTARAN KENDERAAN dan klik Teruskan,
  5. Sahkan maklumat, kemudian klik Teruskan,
  6. Masukkan maklumat E-MEL PENDAFTAR DAN PEMILIK BAHARU dan klik Seterusnya,
  7. Selesai. Simpan dan cetak resit sebagai rujukan.

Pemilik Baru Perlu Terima Pertukaran Nama Melalui MySIKAP

  1. Log masuk portal MySikap,
  2. Pada halaman utama, pilih KENDERAAN,
  3. Kemudian, pilih PERMOHONAN PERTUKARAN HAK MILIK KENDERAAN (PEMILIK BAHARU),
  4. Masukkan NOMBOR PENDAFTARAN KENDERAAN dan klik Seterusnya,
  5. Pengisytiharaan Kenderaan – Pilih Semenanjung, kemudian klik Setuju,
  6. Masukkan maklumat pembayaran (Kad Kredit/Debit) dan klik Bayar,
  7. Sahkan maklumat, kemudian klik Teruskan,
  8. Cetak resit dan bawa ke mana-mana pejabat JPJ berdekatan untuk proses lanjut.

Kesimpulan

Urusan menukar nama pemilik kenderaan berdaftar kepada pemilik baru bukanlah sesuatu yang sukar dan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja. Tambahan pula, teknologi maklumat telah menambahkan kemudahan dan keselesaan pengguna dan rakyat Malaysia.

Namun begitu, elakkan ditipu oleh runner atau pemilik kereta yang meminta anda buat pemeriksaan PUSKAPOM sendiri jika hendak beli kereta tersebut. Itu adalah tugas pemilik asal sebab sebagai pembeli, andalah yang meletakkan terms and conditions dalam urusan jual beli tersebut kerana duit ada pada anda. Jika anda mengalami situasi begini elakkan dari berurusan dengannya dan cuba cari penjual lain.

Kami doakan urusan anda dipermudahkan !

Rujukan

Jabatan Pengangkutan Jalan. (t.t.). Panduan Tukar Hakmilik Secara Sukarela – Kenderaan – JPJ Portal – Jabatan Pengangkutan Jalan. Www.jpj.gov.my; Jabatan Pengangkutan Jalan, Malaysia. Diakses Julai 10, 2022, daripada https://www.jpj.gov.my/web/main-site/kenderaan1/-/knowledge_base/kenderaan/panduan-tukar-hakmilik-secara-sukarela

Wahab, W. by S. (2021, Mac 26). Cara Tukar Nama Kereta Online, Bayaran Tukar Nama Kereta & Borang Tukar Nama JPJ. Carsome Malaysia. https://www.carsome.my/news/item/proses-cara-prosedur-tukar-nama-kereta-hak-milik-kenderaan

Kiriman Serupa