Macam Mana Nak Buat Resume Supaya Terpilih Untuk Ditemuduga
Adakah anda sedang mencari pekerjaan? Jika ya, maka anda pasti tidak akan lari daripada mendengar perkataan resume ataupun CV (curriculum vitae). Sebab kebanyakan jawatan kerja kosong di syarikat-syarikat pasti akan memerlukan dokumen tersebut untuk mereka menilai adakah calon sesuai ataupun tidak dengan jawatan yang diiklankan tersebut. Anda mesti tertanya-tanya macam mana nak buat resume supaya terpilih untuk ditemuduga.
Anda harus sedar betapa pentingnya mempunyai resume atau CV yang mengagumkan. Sehelai kertas (atau dokumen digital) itu mempunyai kuasa untuk sama ada anda layak dipanggil untuk ditemuduga ataupun tidak.
Resume yang ditulis dan dihasilkan dengan baik ialah platform untuk anda ’menjual diri’, mempamerkan kemahiran, pengalaman dan kelayakan anda secara ringkas dan profesional kepada bakal majikan. Walaupun hanya beberapa muka surat, ia merupakan first-impression yang anda berikan kepada pihak organisasi tersebut.
Apa Beza Resume Dan Curriculum Vitae (CV)
Resume ialah dokumen satu hingga dua muka surat yang meringkaskan pengalaman profesional, latar belakang pendidikan dan bakat anda. Perkataan resume berasal daripada Perancis ‘résumé’ yang bermaksud ‘to sum up‘ atau dalam Bahasa Melayu ’untuk diringkaskan’. Jadi dokumennya mestilah ringkas.
Manakala, CV (Curriculum Vitae) pula ialah dokumen panjang yang menggariskan keseluruhan pengalaman yang dilalui sepanjang kerjaya anda. Perkataan ’curriculum vitae’ ini berasal daripada Latin yang bermaksud ’course of life’ atau dalam bahasa Melayu ‘perjalan hidup’.
Jadi, kandungan dokumennya mestilah setara dengan perjalan hidup seseorang tu bukan?
Selalunya, resume digunakan untuk carian pekerjaan, manakala CV digunakan untuk tujuan yang lebih bersifat akademik. Hal ini kerana dalam sesuatu jawatan, ia akan datang dengan deskripsi kerja yang spesifik. Cukup anda ceritakan yang anda memang mahir atau biasa dengan tugas-tugas yang diperlukan tersebut. Buat apa cerita lebih-lebih.
Jadi dalam penulisan ini, kita akan fokuskan kepada penulisan resume.
Kriteria Resume Yang Teruk – Layak Ke Tong Sampah atau Dipadamkan

Sebelum kita masuk kepada langkah-langkah untuk mencipta resume yang power, mari ketahui kriteria-kriteria resume yang teruk dahulu. Berikut adalah beberapa kriteria resume yang perlu anda elakkan.
Ambil masa secukupnya untuk hasilkan resume yang baik!
Format dan Susun Atur Resume Yang Bersepah
Resume yang ’bersepah’ atau tidak teratur boleh menjadi punca utama ia ditolak mentah-mentah. Jika dokumen anda tidak mempunyai tajuk yang jelas, pemformatan yang konsisten atau jarak yang betul, ia boleh menyukarkan majikan untuk membaca dan memahami kelayakan dan pencapaian anda. Ia menggambarkan peribadi anda yang malas dan tidak teliti. Tiada majikan yang ingin menggaji pekerja sebegini.
Penulisan Resume Kurang Fokus
Resume yang tidak mempunyai fokus atau objektif yang jelas boleh memberi gambaran bahawa anda tidak pasti tentang perkara yang anda cari. Sesuaikan resume anda dengan pekerjaan yang anda mohon dengan menekankan kemahiran dan pengalaman yang berkaitan.
Anda tidak perlu ceritakan semuanya kerana jika ia tidak ada kaitan, sudah tentu majikan tidak ada minat.
Kesalahan Ejaan Dan Tatabahasa Dalam Resume
Kesilapan ejaan, tatabahasa, atau tanda baca boleh membuatkan pembaca keliru dengan informasi yang cuba disampaikan. Teliti resume anda dengan teliti, dan pertimbangkan untuk menggunakan alat semakan ejaan dan tatabahasa untuk mengesan sebarang kesilapan ini.
Apatah lagi, kesalahan ejaan dan tatabahasa menggambarkan calon yang kurang teliti dan acuh tidak acuh.
Memasukkan Maklumat Yang Tidak Relevan
Memasukkan maklumat yang tidak relevan atau lapuk dalam resume anda boleh mengurangkan keberkesanannya. Pastikan setiap bahagian dan butiran menyumbang secara langsung kepada kesesuaian anda untuk pekerjaan yang dipohon itu. Fokus pada kemahiran, pengalaman dan pencapaian yang relevan.
Kekurangan Maklumat Pencapaian Yang Boleh Diukur
Apabila anda hanya menyenaraikan tanggungjawab kerja tanpa menyerlahkan pencapaian tertentu boleh menjadikan resume anda kelihatan hambar dan tidak menarik. Sekiranya boleh, sertakan hasil dan pencapaian yang boleh diukur untuk menunjukkan prestasi anda dalam peranan sebelumnya.
Secara tidak langsung, ia boleh memberikan gambaran awal tentang kapabiliti anda terhadap jawatan yang dipohon nanti.
Alamat E-Mel Yang Tidak Profesional
Maklumat perhubungan anda mestilah menggambarkan sikap profesionalisme. Elakkan menggunakan alamat e-mel yang tidak profesional atau lapuk. Ramai calon yang menggunakan e-mel ketika zaman persekolahan dahulu yang mempunyai maksud dan perkataan yang kurang sesuai dengan alam pekerjaan.
Contohnya, alamat emel peribadi yang bertemakan nama ejekan, watak kartun, perkataan lucah dan mencarut tidak patut digunakan. Sebagai panduan asas, gunakan nama sebenar anda. Jika nama anda Ahmad Bin Abu, emel yang baik adalah ’ahmadbinabu@gmail.com’.
Panjang Resume Yang Berlebihan
Pastikan resume anda padat dan pada intinya. Sebaik-baiknya, ia harus dimuatkan dalam satu ke dua muka surat sahaja. Resume yang panjang dan terlalu terperinci boleh membebankan majikan dan boleh menyebabkan mereka kehilangan minat untuk membacanya.
Anda sebenarnya mungkin telah menulis CV berbanding resume. Hati-hati dengan had penulisan anda.
Sejarah Pekerjaan Yang Tidak Konsisten
Pastikan sejarah pekerjaan anda dibentangkan dengan cara yang konsisten dan logik. Tangani sebarang jurang yang ketara dalam perjalanan karier anda dengan kejujuran dan kejelasan.
Hal ini sering berlaku kepada wanita. Mereka mungkin pernah bekerja dalam beberapa tahun namun setelah berkahwin mereka menjadi suri rumah sepenuh masa untuk membesarkan anak-anak. Setelah anak besar sedikit mereka bekerja kembali dan begitulah putarannya untuk masa hadapan.
Maklumat Perhubungan Yang Tidak Mencukupi
Periksa semula sama ada maklumat perhubungan anda telah dikemaskini dan mudah dilihat. Sertakan alamat e-mel profesional dan nombor telefon tempat anda boleh dihubungi.
Kadang-kadang resume anda mungkin beberapa tahun yang lepas dan anda kini sudah menukar nombor telefon atau emel yang lain. Jika anda terlepas pandang benda ini, ia boleh menyebabkan anda terlepas peluang kerja yang diidamkan.
Cuba anda bayangkan ianya adalah suatu jawatan dalam sebuah syarikat konglomerat yang besar seperti Google, Microsoft, Tesla, GLC dan sebagainya. Kepakaran dan kelulusan akademik anda sudah baik tetapi anda hanya slack pada bahagian maklumat perhubungan. Bukankah satu kerugian yang nyata tu!
Dengan mengelakkan kesilapan biasa ini, anda boleh meningkatkan kualiti resume anda dan seterusnya meningkatkan peluang anda untuk menarik perhatian pengurus pengambilan pekerja. Ingat, resume yang dibuat dengan baik mempamerkan kelayakan anda dengan berkesan dan meninggalkan kesan positif yang berkekalan kepada orang yang membacanya.
Hasilkan Resume Power Secara Online dengan Percuma
Pada dunia hari ini yang serba online maka tidak sah jika kita tidak bercakap tentang alatan yang terdapat di internet untuk buat resume. Pelbagai alatan online yang anda boleh gunakan. Mari kita lihat satu per satu. Anda pilihlah yang mana yang terbaik untuk anda.
Apa yang menarik, kebanyakan platform online tersebut menawarkan servis mereka dengan percuma. Tak perlu lagi anda bayar ratusan ringgit untuk servis menulis resume.
Kita akan lihat macam mana nak buat resume power dengan menggunakan Canva. Namun begitu, masih banyak lagi platform online yang lain yang boleh anda gunakan seperti:
Manakala jika anda memilih untuk buat resume tanpa bantuan internet, terdapat beberapa perisian yang menawarkan kemudahan manual tersebut seperti:
- Microsoft Word,
- Adobe InDesign,
- Inkscape.
Kaedah manual adalah sedikit perlahan dan jika anda baru sahaja menemuinya, proses pembelajaran perisian tersebut boleh jadi sangat sukar untuk sesetengah orang.
Buat Resume Power Dengan Canva
Dengan pembina resume percuma Canva, memohon pekerjaan impian anda adalah mudah dan pantas. Pilih daripada beratus-ratus templat percuma, buatan pereka dan sesuaikannya dengan keperlua anda hanya dengan beberapa klik sahaja.
Lawati laman web resume Canva dan klik butang ‘Build my resume’. Seterusnya, anda akan diminta untuk mendaftar. Pilih akaun pendaftaran anda sama ada Google, Facebook, emel atau selainya.

Anda akan terus dibawa ke kanvas reka bentuk dan boleh terus pilih templat resume yang tertera pada menu menegak di sebelah kiri skrin lalu ia akan terus terpapar pada kanvas utama.

Untuk mengawal saiz kanvas (mengezum masuk atau keluar), tekan butang ’CTRL’ dan golekkan roda pada tetikus ke depan atau belakang. Barulah anda boleh lihat kandungan resume dengan jelas.
Untuk mengubah kandungan teks sesuatu elemen di dalam resume tersebut anda hanya perlu klik dua kali (double-click) pada elemen tersebut dan ia akan menjadi mod penggubah teks.

Manakala untuk mengubah gambar profil, anda hanya perlu klik pada profil tersebut dan tekan butang ’tong sampah’ dan pilih ’Delete image’. Untuk memasukkan imej baru, seret imej anda yang tersendiri dan letak semula ke dalam kotak gambar tadi.
Perhatikan ruang maklumat yang telah disediakan, ianya telah direkabentuk dengan baik jadi anda hanya tukar maklumat anda sahaja.

Jika anda telah berpuas hati dengan ejaan, tatabahasa dan kualiti maklumat resume tersebut, anda perlu eksport ke luar de dalam format yang sesuai. Kita akan eksport ke format .pdf.
Untuk eksport, tekan butang ’Share’ yang terdapat pada sudut kanan atas skrin dan pilih ’Download’ pada menu yang tertera. Akhir sekali, tekan butang ’Download’.

Buka dan semak semula resume anda. Jika masih ada yang anda ingin betulkan, kembali kepada Canva.
Kesimpulan
Kesimpulannya, membuat resume dengan bantuan Canva boleh menjadi pengubah permainan dalam perjalanan mencari pekerjaan anda. Dengan antara muka mesra pengguna Canva dan pelbagai pilihan templat resume, anda mempunyai kuasa untuk mencipta dokumen yang menarik secara visual dan profesional yang menonjol daripada orang ramai.
Ingat untuk memastikan kandungan anda ringkas, relevan dan disesuaikan dengan pekerjaan khusus yang anda mohon. Manfaatkan pilihan penyuntingan Canva untuk menekankan maklumat penting, menggunakan fon dan warna yang menarik perhatian serta menyusun bahagian dengan cara yang logik dan menarik secara visual.
Kami doakan agar anda berjaya dalam temuduga kerja idaman anda!
Kami doakan semoga urusan anda dipermudahkan !
Rujukan
Imej oleh Coffee Bean daripada Pixabay