|

Macam Mana Nak Buat Pelaburan Emas Dengan Cermat

Duit Macam Mana Nak Buat Pelaburan Emas Dengan Cermat

Pengenalan

Emas merupakan antara komoditi yang memegang nilai yang paling stabil dalam jangka masa yang lama berbanding wang ringgit itu sendiri. Pelaburan emas telah terbukti berbaloi dalam jangka masa yang panjang.

Lihat graf kenaikan harga emas berbanding dolar Amerika di bawah. Mereka yang membeli emas pada 20 tahun lalu pasti sedang bergembira dan tidak menyesal dengan duit yang dilaburkannya dulu.

Manakala, wang ringgit (Ringgit Malaysia) terdedah kepada susut nilai dalam jangka masa yang panjang. RM 1,000 pada hari ini tidak sama dengan RM 1,000 pada 10 tahun akan datang. Lihat kadar tukaran Ringgit Malaysia ke dolar Amerika yang sentiasa menurun dalam jangka masa yang panjang di bawah. Jadi anda nampak atau tidak betapa masa depan Ringgit Malaysia sangat lemah dalam jangka masa panjang justeru menyimpan wang tunai yang banyak bukan lagi jaminan kekayaan pada masa hadapan.

Pelaburan emas adalah salah satu cara selamat untuk anda kekalkan nilai kekayaan dan harta dalam jangka masa yang panjang. Terdapat juga pelbagai pelaburan yang lain seperti hartanah, unit amanah, pelaburan stok, dan sebagainya semuanya bergantung kepada minat, jumlah modal, dan masa yang anda ada. Orang putih ada mengatakan ‘don’t put all your eggs in one basket‘ yang bermaksud jangan fokus sesuatu usaha terhadap suatu perkara sahaja contohnya pelaburan tadi.

Dalam artikel ini, kami akan menerangkan secara ringkas macam anda nak bermula untuk buat pelaburan emas di Malaysia. Artikel ini bukanlah nasihat teknikal yang profesional namun ia hanya bersifat pengenalan terhadap dunia pelaburan emas. Jika anda berminat belajar mengenai pelaburan emas secara mendalam, sila dapatkan khidmat nasihat dan tunjuk ajar dari institusi atau organisasi yang bertauliah.

Ketahui Tujuan Simpanan atau Pelaburan Emas Anda

Pelaburan emas bukanlah terjamin untuk menjana keuntungan dalam sekelip mata. Jika matlamat pelaburan anda adalah bagi mengaut keuntungan dalam jangka masa sebulan atau setahun dua maka ini bukanlah pelaburan yang sesuai untuk anda.

Ia adalah pelaburan jangka masa panjang ! Maknanya jika anda ada duit ‘sedebuk’ dalam jumlah yang besar dan tidak tahu nak letak mana maka pelaburan emas adalah sesuai bagi keuntungan dalam jangka masa panjang.

Sentiasa Tambah Ilmu Mengenai Pelaburan Emas Setiap Masa

Artikel ini mungkin habis dibaca dalam lima minit sahaja dan tentunya ia tidak menceritakan gambaran penuh tentang emas sebagai pelaburan ataupun simpanan. Penting untuk anda terus jalankan kajian dan pembacaan terhadap isu ini kerana ia melibatkan wang simpanan yang anda usahakan selama ini.

Maklumat mengenai emas sentiasa berubah mengikut zaman kerana akan hadir teknologi baru yang boleh mengubah pasaran emas semasa.

Tambahan pula, pasaran emas berubah pada setiap masa bergantung kepada ekonomi, geopolitik, teknologi, pandemik dan sebagainya. Anda mungkin boleh mula membaca mengenai emas di laman web World Gold Council.

Rujukan tentang emas yang bagus banyaknya datang dalam bahasa Inggeris. Contohnya Investing in Gold & Silver For Dummies yang diterbitkan oleh Wiley. Bagi mereka yang mencari sumber dalam Bahasa Melayu pula, artikel 3 Buku Terbaik tentang Menyimpan Emas ini mungkin satu permulaan yang baik untuk anda.

Kenali Jenama Emas Yang Diterima Luas di Malaysia

Public Gold adalah antara jenama emas yang tidak boleh dipertikaikan lagi reputasinya. Jika anda baru bermula, terus sahaja buat janji temu dengan mana-mana cawangan Public Gold terdekat.

Emas yang dijual oleh bank-bank di Malaysia.

Selain bank-bank yang menjual emas, anda boleh juga mendapatkan jenama di bawah daripada platform yang boleh dipercayai.

Kenali Emas Fizikal | Jongkong Emas (Gold Bar), Syiling Emas (Gold Coin) & Barang Perhiasan

Emas fizikal adalah emas yang anda beli dan boleh pegang, simpan, sentuh dan rasa sendiri contohnya jongkong emas, syiling emas dan barang kemas. Apabila anda beli emas fizikal ia menjadi pegangan anda serta merta. Terpulanglah kepada keperluan dan keinginan masing-masing.

Ada pelaburan emas yang anda tidak dapat lihat emas tersebut. Istilahnya adalah ‘paper gold‘. Walaupun ia adalah sesuatu yang legit, namun anda harus hati-hati dengan pelbagai skim-skim yang ditawarkan yang boleh jadi suatu penipuan. Pilih organisasi yang terpercaya seperti Hello Gold dan skim yang ditawarkan oleh bank-bank tempatan. Kita akan cerita lagi pasal ini nanti.

Emas fizikal dijual dalam pelbagi berat seperti 1gram, 5gram, 10gram, 0.5kilogram, dan sebagainya. Semakin besar timbangan, anda mungkin boleh mendapatkan diskaun ke atas unit emas tersebut.

Jongkong Emas (Gold Bar)

Bar emas lebih dikenali sebagai jongkong adalah pilihan popular untuk orang yang ingin membeli emas. Bullion biasanya dijual mengikut gram atau auns, dan ketulenan, pengilang dan berat hendaklah dicap pada muka bar.

Ketulenan sangat penting apabila membeli emas: Bar emas berkualiti pelaburan mestilah sekurang-kurangnya 99.5% emas tulen sebab itu anda akan selalu lihat jongkong emas yang dicap dengan tanda ketulenan 999 (99.9% / 24 karat).

Bagi orang ramai, salah satu cara yang lebih memuaskan untuk memiliki emas adalah dengan membelinya dalam bar atau syiling. Anda akan mendapat kepuasan melihatnya dan menyentuhnya, tapi memiliki emas fizikal ada beberapa kelemahan juga. Jika anda memiliki dalam jumlah yang besar pastinya ia perlu disimpan di tempat yang selamat dan perlu diinsuranskan terhadap apa-apa bencana seperti kecurian dan kemusnahan harta benda.

Untuk mendapatkan keuntungan, pembeli emas fizikal bergantung sepenuhnya pada kenaikan harga komoditi itu. Ini berbeza dengan pemilik perniagaan (seperti syarikat perlombongan emas), di mana syarikat itu boleh menghasilkan lebih banyak emas dan oleh itu lebih banyak keuntungan, memacu pelaburan dalam perniagaan itu lebih tinggi.

Syiling Emas (Gold Coin)

Syiling emas juga adalah emas yang ditempa dalam bentuk syiling. Terdapat pelbagai corak dan rekabentuk yang dicap pada syiling tersebut. Ada yang direkabentuk berdasarkan perayaan dan tahun kalendar, haiwan ikonik, dan tokoh yang telah tiada.

Kebanyakan syiling emas juga mempunyai ketulenan sama ada 99.9% atau 91.6% ke atas. Bagi yang berketulenan di bawah 99.9% ia turut dicampur dengan logam lain seperti perak dan tembaga.

Barang Kemas (Jewelry)

Barang kemas tentulah tidak asing lagi bagi kita semua. Barangkali ia merupakan benda yang paling kita kenali sejak dari kecil kerana ibu kita pasti akan sentiasa bercakap mengenainya dan juga memakainya ke mana-mana sahaja.

Pelaburan emas dengan barangan kemas

Barang kemas, terutamanya barang antik, boleh menjadi salah satu cara anda melabur dalam emas. Ramai para suami membelikan emas kepada isteri dan anak-anak perempuan mereka atas dasar simpanan pada masa hadapan jika mereka telah tiada. Tetapi seperti syiling emas, anda mungkin akan membayar tambahan untuk jumlah emas yang sebenarnya anda peroleh premium yang boleh antara 20% hingga 300%, bergantung pada pengilang.

Di samping itu, perlu diingat bahawa tidak semua yang bergemerlapan dalam sesuatu barang kemas itu adalah emas. Pengilang menggunakan aloi yang menggabungkan emas dengan logam lain untuk menjadikan kepingannya lebih tahan lama atau menyesuaikan warnanya. Begini cara kualiti emas (diukur dalam karat) relatif dengan ketulenan.

Dalam pada itu, barang kemas juga tertakluk kepada caj upah yang dikenakan apabil anda ingin menjualnya kerana ia perlu dicairkan dan diproses untuk mendapatkan semula emas yang tulen tersebut.

Sebagai pelaburan jangkan masa panjang, ia kurang digalakkan oleh kebanyakan pemikir kewangan.

Beli Emas Fizikal Daripada Organisasi Yang Terpercaya

Untuk mengelakkan ditipu semasa membeli emas anda disarankan untuk membeli emas daripada organisasi atau platform yang boleh dipercayai. Banyak orang ditipu apabila membeli emas murah melalui platform yang tidak diiktiraf dan akhirnya tidak boleh mengembalikan emas tersebut.

Akhirnya mereka dapat jongkong tembaga yang disaluti emas. Ini yang perlu dielakkan. Berikut merupakan platform atau organisasi pembelian emas yang popular di Malaysia.

Public Gold

Public Gold adalah sebuah jenama perniagaan emas yang memang tidak asing lagi di negara kita. Anda boleh beli dan jual emas di sini tanpa rasa ragu-ragu. Sejak ditubuhkan pada tahun 2008, ia telah merangkul pelbagai anugerah antarabangsa dalam perniagaan emas dan telah membina sebuah komuniti Public Gold yang besar di sekitarnya.

Pelaburan emas dengan public gold

Emas dari Public Gold amatlah mudah diterima di mana-mana Ar-Rahnu tanpa banyak hal.

Mudah sahaja untuk beli emas dari Public Gold. Anda boleh pergi sahaja ke mana-mana cawangan mereka di seluruh negara atau beli sahaja secara dalam talian.

Untuk beli emas secara dalam talian dari Public Gold, anda perluah buka akaun dengan mereka terlebih dahulu. Mereka menyediakan panduan lengkap macam mana nak order emas dengan Public Gold.

Jika anda ingin cari gold bar dengan rekabentuk sampul yang lebih menarik boleh buat pembelian di PGMALL yang menawarkan pengalaman pembelian dalam talian sama seperti Lazada, Shopee atau platform e-commerce yang lain.

Apa yang penting, pembelian anda adalah selamat dan mereka menjanjikan penghantaran yang tepat dan selamat.

1StopGold

1STOPGOLD ialah peruncit dan pengedar sah PAMP bagi produk PAMP di Malaysia seperti yang ditunjukkan dalam laman web mereka. PAMP ialah jenama jongkong terkemuka dunia, dengan kedudukan dominan dalam pasaran logam berharga utama dunia. Ditubuhkan pada tahun 1977 dan berpangkalan di Ticino, Switzerland, PAMP mengendalikan kemudahan penapisan dan fabrikasi logam berharga yang canggih.

Sama seperti platform e-commerce yang lain, anda boleh buka akaun secara dalam talian dan boleh mula membeli produk-produk mereka.

nubex.my

Perth Mint Australia ialah pengeluar emas yang terkenal. Dilahirkan selepas krisis ekonomi 2008, Nubex diasaskan pada tahun berikutnya pada 2009, diilhamkan oleh pembacaan dan pengetahuan pengasas mengenai topik logam berharga sebagai satu bentuk mata wang alternatif, melahirkan Nubex sebagai cara untuk merealisasikan semangat mereka dalam bidang emas.

Quantum Metal

Quantum Metal adalah salah satu pengedar jongkong emas terbesar di Malaysia. Perniagaan teras Quantum Metal ialah menyediakan 99.99% produk emas premium kepada pelbagai kumpulan pasaran di Malaysia termasuklah badan kerajaan, bank, institusi kewangan, peniaga dan penjual individu. Quantum Metal memulakan hubungan antara bank tempatan dan Pembekal Bullion Antarabangsa, termasuk, PERTH MINT dan ABC BULLION.

Untuk membeli emas dengan mereka, anda perlu menghubungi secara terus melalui talian perhubungan yang tertera pada laman web Quantum Metal.

BuySilverMalaysia.com

BuySilverMalaysia.com berurusan dengan jongkong perak dan emas yang bergred pelaburan di Malaysia. Mereka menyediakan perkhidmatan yang cemerlang dengan tambah nilai dalm servis mereka serta harga yang jujur ​​adalah janji daripada mereka. Mereka turut percaya dalam mencipta nilai dan memelihara kekayaan, dengan memegang aset fizikal sebenar; kerana percetakan wang secara besar-besaran adalah tidak baik bagi mereka.

Mereka telah menyediakan panduan khusus untuk membeli produk emas daripada platform mereka dalam artikel mereka ‘How to order?

Akaun Simpanan/Pelaburan Emas (Gold Saving / Investment Account)

Akaun Pelaburan Emas (Gold Saving Account) ialah akaun yang membolehkan individu membeli dan menjual emas pada harga harian dalam Ringgit Malaysia (RM) tanpa perlu bersusah payah menyimpan emas fizikal. Inilah yang dikatakan paper gold kerana anda tidak menyimpan emas fizikal itu sendiri. Bahkan pihak penyedia perkhidmatan menyatakan bahawa merekalah menyimpankan emas fizikal tersebut untuk anda.

Akaun Pelaburan Emas memberi anda peluang untuk keuntungan modal dan kepelbagaian portfolio melalui pelaburan dan perdagangan emas, sementara pada masa yang sama membolehkan anda menikmati keselamatan dan kemudahan yang lebih baik yang berkaitan dengan akaun bank.

Berikut adalah penyedia perkhidmatan Akaun Simpanan/Pelaburan Emas (Gold Saving/Investment Account):

Untuk memilih yang manakah pelan yang terbaik untuk anda semestinya anda perlu melihat faktor seperti produk yang ditawarkan adalah patuh Syariah, kemudahan untuk anda trade, adakah anda sudah ada akaun simpanan biasa dengan bank tersebut, dan Price Spread per gram iaitu perbezaandi antara harga Bank Sell dan Bank Buy. Semakin rendah Price Spread bermakna keuntungan anda semakin besar. Dalam hal ini, UOB adalah antara yang menawarkan Price Spread yang terendah.

Exhange-Traded-Fund (ETF) Emas (Gold ETF)

ETF emas ialah dana komoditi yang didagangkan seperti saham dan telah menjadi satu bentuk pelaburan yang sangat popular dewasa kini. Walaupun ia terdiri daripada aset yang disandarkan oleh emas, pelabur sebenarnya tidak memiliki komoditi fizikal tersebut. Sebaliknya, mereka memiliki sejumlah kecil aset berkaitan emas, memberikan lebih banyak kepelbagaian dalam portfolio mereka.

Secara amnya, instrumen pelaburan ini membolehkan anda mendapat pendedahan kepada emas melalui kedudukan pelaburan yang lebih kecil daripada apa yang boleh dicapai melalui pelaburan fizikal dan kontrak perniagaan pada masa hadapan.

Saham ETF boleh dibeli sama seperti saham lain—melalui firma broker atau pengurus dana.

Dengan melabur dalam ETF emas, pelabur boleh meletakkan wang mereka ke dalam pasaran emas tanpa perlu melabur dalam komoditi emas yang berbentuk fizikal. Bagi pelabur yang tidak mempunyai modal yang besar, ETF emas menyediakan cara yang fleksibel untuk mendapatkan pendedahan kepada kelas aset dan meningkatkan tahap kepelbagaian dalam portfolio mereka dengan cekap.

Pelaburan ETF emas didagangkan seperti sahamyang lain melalui broker-broker saham antarabangsa seperti eToro, Plus500, Avatrade dan sebagainya. Manakala di Malaysia pula, ETE emas yang patuh syariah boleh didapati melalui TradePlus Shariah Gold Tracker. Untuk permulaan, anda tidak digalakkan untuk melabur dalam platform ini kerana ia memerlukan pengetahuan teknikal mengenai trading yang kuat. Anda mungkin akan rugi besar jika terus mula tanpa pengetahuan.

Di dalam video ini, Dr. Mohd Daud Bakar, menerangkan Apa Itu ETF?

Faktor-Faktor Naik Turun Harga Emas

Permintaan Pasaran (Demand)

Emas adalah komoditi yang sangat diperlukan oleh kita dengan banyak kegunaan dan tujuan yang ia mampu beri untuk kebaikan taraf hidup kita. Selain daripada logam berharga, emas juga biasa digunakan dalam sektor pembuatan – sebagai konduktor elektrik, bahan dalam peranti sokongan nyawa, antara lainnya.

Secara asasnya, peningkatan permintaan untuk emas biasanya secara tidak langsung meningkatkan harga jualannya. Dalam dekad yang lalu, pertumbuhan ekonomi China dan India telah mendorong permintaan emas justeru telah membantu melonjakkan harga emas. Permintaan ini telah berkurangan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, selari dengan pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara terbesar dunia ini yang semakin stabil.

Jumlah Bekalan Emas Yang Ada (Supply)

Jumlah berat kesemua emas yang dilombong sepanjang sejarah manusia dianggarkan hampir 198,000,000 kilogram. Ini bermakna, jika kita mengumpulkan semua emas yang dilombong, ia akan dimuatkan ke dalam satu kiub yang panjang dan kedalaman kira-kira 21 meter!

Setiap tahun, dunia menambah kira-kira 2,500,000 hingga 3,000,000 kilogram daripada perlombongan emas kepada keseluruhan stok emas yang kemudiannya tersebar ke serata negara. Jumlah ini biasanya tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan global. Bekalan rendah yang tidak disangka-sangka seperti pelombong mendapati emas kurang daripada jangkaan, boleh melonjakkan harga emas lebih jauh.

Pada masa ini, dianggarkan hanya terdapat kira-kira 20 peratus emas yang tinggal untuk dilombong, walaupun angka ini tidak ditetapkan dalam “batu”. Dengan teknologi baharu, pelombong mungkin boleh mengekstrak emas di tapak yang pada asalnya diabaikan atas faktor kos yang terlalu besar atau tiada teknologi yang mampu untuk mengaksesnya.

Emas Dan Mata Wang Fiat Mempunyai Hubungan Terbalik

Banyak negara pernah menggunakan piawaian emas iaitu nilai mata wang atau wang kertas negara tersebut yang ditambat kepada harga emas. Contohnya, jika satu kilogram emas ialah AS$1,000, maka satu dolar AS akan menjadi 1/1000 satu kilogram.

Hari ini, ini tidak lagi berlaku. Kebanyakan negara telah berhijrah kepada mata wang fiat, yang mana nilai mata wang adalah berdasarkan faktor seperti bekalan monetari atau kepercayaan kepada kerajaan untuk membayar balik pinjaman negara. Walaupun ia datang dengan risiko tambahan, ia memberi kebebasan kepada kerajaan untuk menambah atau mengurangkan bekalan monetari berdasarkan matlamat ekonomi mereka, dan bukan berdasarkan berapa banyak emas yang boleh mereka pegang dalam simpanan peti besi mereka.

Ini juga bermakna apabila kepercayaan kepada kerajaan atau ekonomi jatuh, nilai mata wang masing-masing sering jatuh bersamanya. Dalam senario sedemikian, ramai pelabur beralih kepada emas, untuk mengelakkan kekayaan mereka daripada terhakis bersama penurunan nilai mata wang.

Tambahan pula, apabila nilai dolar Amerika meningkat berbanding mata wang lain, ini akan membawa kepada kejatuhan harga emas. Ini kerana pelabur luar Amerika perlu melihat harga komoditi dalam mata wang tempatan mereka (yang akan menjadi lebih mahal), justeru, permintaan untuk emas akan berkurangan dan begitulah sebaliknya.

Oleh itu, emas cenderung mempunyai hubungan prestasi yang terbalik dengan dolar Amerika. Apabila kekuatan dolar Amerika meningkat, harga emas cenderung menurun. Inilah sebabnya mengapa ramai pelabur emas ikut rapat kadar tukaran dolar Amerika dan Tukaran Asing (Forex).

Emas Sebagai Backup

Dikatakan sebagai aset selamat Wall Street, emas dikatakan mampu menyimpan nilainya dalam keadaan sebenar di tengah-tengah keadaan ekonomi yang tidak menentu dan memberikan perlindungan terhadap peningkatan kos sara hidup, tidak seperti wang tunai. Bank pusat mempunyai rizab emasnya tersendiri sebagai perlindungan daripada kegawatan ekonomi.

Menurut Tinjauan Rizab Emas Bank Pusat 2020, bank pusat telah menyatakan bahawa salah satu sebab utama mereka menyimpan emas mereka adalah kerana “prestasi logam berharga semasa krisis”, dan 20 peratus daripada responden akan menambah rizab emas mereka dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Kesimpulan

Emas merupakan salah satu cara untuk anda kembangkan harta kekayaan anda daripada susut nilai. Walaubagaimanapun, anda perlu sesuaikan melalui portfolio emas yang mana yang bakal memberikan pulangan yang terbaik berdasarkan kesediaan anda untuk meletakkan usaha di sana.

Don’t put all your eggs in one basket.

Akhir kata, artikel ini hanyalah membuka jalan kepada anda terhadap dunia pelaburan emas. Selamat mencuba dan semoga berjaya !

Rujukan

Baldridge, R., Brock, T., & Clarine, S. (2021, April 22). What’s the Difference Between Gold ETFs and Gold Futures? Investopedia. https://www.investopedia.com/articles/exchangetradedfunds/08/gold-etf-gold-futures-showdown.asp

Standard Chartered Bank. (t.t.). 4 Factors Affecting Gold Rates: An Investor’s Guide. Standard Chartered Singapore. https://www.sc.com/sg/wealth/insights/factors-affecting-gold-rates/#:~:text=Gold%20prices%20fluctuate%20upwards%20during

Tengyuen, N. (2020, Mei 4). 5 Official PAMP & Perth Mint Retailers – Buy Real Physical Gold Bars. GeckoandFly. https://www.geckoandfly.com/34708/physical-gold-bars/

World Gold Council. (2019, Ogos 27). Gold Price Historical Data | Gold Price History | World Gold Council. World Gold Council; World Gold Council. https://www.gold.org/goldhub/data/gold-prices

XE. (2022, September). Malaysian Ringgit to US Dollar Exchange Rate Chart | Xe. Www.xe.com. https://www.xe.com/currencycharts/?from=MYR&to=USD&view=10Y

Imej oleh Linda Hamilton daripada Pixabay

Imej oleh istara daripada Pixabay

Imej oleh Frank daripada Pixabay

Imej oleh PublicDomainPictures daripada Pixabay

Kiriman Serupa