Macam Mana Nak Pujuk Kekasih Yang Merajuk?
Merajuk ini merupakan satu lumrah seorang manusia yang mempunyai hati dan perasaan. Kebiasaan merajuk ni banyak dilakukan oleh kaum wanita kerana mereka dikenali dengan sifat lemah lembut dan tidak suka kepada kekasaran.
Tidak kira sesiapa sekalipun mestilah mempunyai kemahiran untuk memujuk kekasih. Anda mesti tertanya-tanya macam mana nak pujuk kekasih yang merajuk dengan mudah bukan?
Memujuk ini juga perlu dilihat dari pelbagai keadaan kerana kita tidak tahu apa yang dialami oleh kekasih kita itu. Kadang-kadang mereka merajuk adalah disebabkan kesilapan yang tidak disedari. Oleh itu, kita mestilah tahu cara untuk memujuk kekasih.
Sebelum kita memujuk kekasih kita, cuba kenal pasti dahulu sama ada dia merajuk atau tidak. Apabila sudah dapat mengenal pasti bahawa kekasih kita merajuk, cubalah sedaya upaya memujuknya kerana bimbang dia akan tawar hati.
Dalam artikel kali ini kami akan kongsi 5 tips macam mana nak pujuk kekasih yang merajuk dengan mudah. Paling penting, harapnya ia akan berkesan mengembalikan hubungan percintaan anda dengan ke arah yang lebih bahagia.
Bertanya Dan Cuba Rendahkan Ego

Dalam keadaan kekasih sedang merajuk, kita hendaklah rendahkan diri dan bertanya dengan nada yang lembut apa yang dipendamkan oleh dia. Cuba mendalami perasaan dia dan menjadi pendengar yang setia.
Kebiasaan merajuk ini sering berlaku dalam rumah tangga yang mana isteri merajuk kepada suaminya. Suami hendaklah mendengar dan cuba minta maaf apa yang telah dilakukan secara sedar ataupun tidak sedar. Dalam keadaan begini, suami mestilah buang segala ego atau rasa ingin menang. Biarkan si isteri meluah dan memarahi kita.
Menunjukkan Rasa Serba Salah

Si suami hendaklah menunjukkan rasa empati kepada isterinya kerana ia menampakkan bahawa suami benar-benar ingin memujuk. Apabila isteri sudah tenang dan tidak merajuk, waktu inilah yang paling sesuai untuk suami menjelaskan apa yang berlaku dan sebagainya.
Suami dan isteri mestilah saling memahami antara satu sama yang lain, bincang bersamaa sama beberapa perkara yang tidak disukai agar ia tidak berulang lagi. Dalam berpasangan pasti akan cerah dan mendung. Suami memainkan peranan penting untuk membuat hubungan mereka bertambah mesra dan bahagia.
Memuji Pasangan Banyak-Banyak

Perkara ini sangat jarang berlaku dalam institusi rumahtangga. Apabila salah seorang membuat kesalahan, terus lupa akan kebaikannya. Cuba banyakkan memuji kekasih anda apa jua sekalipun yang boleh membuatkan kekasih anda tersenyum apabila mendengarnya.
Elakkan mengungkit segala kesalahan pasangan yang telah lalu kerana bimbang ia boleh merosakkan hubungan. Sebaliknya, cuba muhasabah diri terhadap kesalahan diri sendiri dan akuinya di depan pasangan anda. Ceritakan kesalahan terbesar anda kepada pasangan dan cuba cerita kepadanya yang anda sedang cuba memperbaikinya dari hari ke hari.
Membawanya Ke Tempat Yang Disukai

Apabila anda jenis yang tidak pandai memujuk, cuba anda bawa kekasih atau isteri anda ke tempat yang dia suka. Dari sudut wanita, ia amat susah untuk mengikut kerana perasaan ego dan marah masih berkuasa dalam diri. Akan tetapi dengan cara ini ia sedikit sebanyak akan mengurangkan rasa marah pasangan anda.
Dalam keadaan ini biarkan keadaan sekeliling dan masa yang membantu anda untuk memulihkan perasaan kekasih yang sedang merajuk itu tadi. Selepas beberapa ketika barulah anda cuba buka mulut untuk terangkan salah anda.
Mengucapkan Kata-Kata Manis

Kaum lelaki sangat terkenal dalam memberikan ayat-ayat manis kepada pasangannya. Kata-kata manis adalah satu kelebihan bagi seorang suami kerana sekeras-keras hati wanita tetap akan tunduk dengan kata-kata manis lelaki.
Cuba ingat kembali saat-saat anda baru mula kenal dengan pasangan. Lelaki kalau dia nak ‘tackle‘ seorang wanita ayat dia bukan main manis tetapi selepas berkahwin semua itu hilang dimamah masa. Masa inilah anda boleh imbau kembali teknik-teknik mengorat yang anda gunakan terhadap pasangan anda.
Kesimpulan
Memujuk kekasih atau pasangan yang sedang merajuk bukanlah tugas yang mudah tetapi ia bukanlah sesuatu yang mustahil. Ada kalanya tindakan memujuk tersebut akan membawa kepada rajukan yang lebih parah.
Jadi anda harus bijak mengatur strategi agar keadaan tidak menjadi semakin keruh. Kemahiran memujuk merupakan satu ‘survival skill‘ yang diperlukan oleh setiap lelaki sebelum anda belajar bercinta dan menyayangi. Ada kalanya ia mungkin datang dengan sendiri selepas menjalinkan hubungan percintaan dengan pasangan tersebut.
Apa-apa pun, kami doakan semoga urusan memujuk anda dipermudahkan dan beroleh kebahagiaan dalam hidup dengan kekasih anda!
Rujukan
Nabila (2019), Kalau dapat pasangan kuat merajuk: dilayari 9 Disember 2022, https://www.pesonapengantin.my/kalau-dapat-pasangan-kuat-merajuk-cuba-pujuk-guna-cara-psikologi-ini-gerenti-cair/
Imej oleh Tú Anh daripada Pixabay