Macam Mana Nak Tukar Bateri Kereta Dengan Betul

Kereta anda mungkin sudah tidak boleh dihidupkan disebabkan bateri ‘kong’ atau mungkin memang anda ingin tukar bateri kereta sebab sudah sampai hayatnya. Secara purata, bateri sesebuah kereta boleh bertahan dari 1 ke 5 tahun bergantung kepada cara penggunaan dan penjagaan serta jenama dan jenis bateri.

Operasi menukar bateri kereta sangatlah mudah dan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja. Dalam artikel ini kami akan kongsikan macam mana nak tukar bateri kereta dengan betul.

Kenalpasti Jenis Bateri Kereta Anda

Sazi bateri kenderaan adalah berbeza bagi setiap jenis kenderaan. Contohnya, bateri Perodua Axia tidak sama dengan bateri Mitsubishi Lancer kerana masing-masing mempunyai spesifikasi teknologi kenderaan berbeza jadi kapasiti bateri yang diperlukan pun pasti berbeza.

Pertamanya, untuk tahu jenis dan saiz bateri yang sesuai untuk anda, rujuk bahagian Spesifikasi Kenderaan dalam dokumen Manual Pemilik (Owner’s Manual) yang dibekalkan pada kereta. Contohnya untuk bateri kereta Perodua Axia ia adalah jenis 34B19L (gambar di bawah).

Jika tidak ada cuba Google owner’s manual’ diikuti nama model kereta anda. Mesti boleh jumpa. Manual Pemilik adalah sumber yang paling boleh dipercayailah.

Yang kedua, boleh terus Google gunakan frasa ‘saiz bateri kereta perodua axia’. Mesti jumpa maklumat tersebut di mana-mana laman web penjual bateri atau blog-blog automotif.

Yang ketiga, boleh ke kedai bateri atau bengkel kereta dan cakap sahaja anda nak beli bateri kereta untuk model kereta anda. Pastikan anda ke kedai yang terkemuka dan mempunyai reputasi yang cemerlang.

Anda dinasihatkan untuk beli jenama bateri yang mempunyai reputasi yang baik dalam kalangan pengguna bukannya yang asal murah. Contohnya pengalaman saya sendiri menggunakan bateri Panasonic mampu bertahan selama hampir 4 tahun.

Bateri jenama terkemuka selalunya ada program jaminan ketahanan bateri yang baik dan mempunyai reputasi baik.

Sediakan Peralatan Yang Betul

Tanpa peralatan yang betul macam mana anda nak buka nat, bolt dan sebagainya. Berikut adalah peralatan yang diperlukan semasa menukar bateri kereta:

  1. Sarung tangan kerja (kalau boleh jenis kalis elektrik),
  2. Sepanar boleh laras (saiz 150mm sudah mencukupi). Kebanyakan nat dan bolt kabel bateri bersaiz 10mm,
  3. Pemutar skru (screwdriver),
  4. Penyembur anti karat. Mungkin perlu jika nat sukar dibuka. Untuk kebanyakan kes ianya tidak perlu,

Buka Bonet Kereta

Bateri kereta terletak di dalam bonet. Bonet kereta perlu dibuka melalui tuil bonet dari tempat sekitar kokpit pemandu. Selalunya di bahagian bawah lubang kunci kereta. Lokasi tuil bonet tersebut adalah berbeza mengikut jenama dan model kereta.

Cari tuil atau tombol yang mempunyai logo bonet terbuka. Tarik tuil tersebut dengan daya yang kuat sedikit sehingga anda rasakan sentapan pada bonet kereta.

Hidupkan Enjin (jika boleh) Atau Sambung Ke Bateri Pendua

Jika kereta masih boleh dihidupkan, start enjin kereta untuk menjana tenaga elektrik kepada sistem elektronik semasa bateri kereta dicabut. Ini akan mengelakkan daripada anda perlu tetapkan semula peralatan elektronik seperti jam radio, ECU, dashboard dan sebagainya terutamanya pada kereta-kereta moden yang banyak bergantung kepada elektronik.

Amaran

Jika tidak pasti, sentiasa rujuk ‘Owner’s Manual’ atau tanya mekanik anda. Renjatan elektrik boleh membahayakan nyawa anda.

Jika bateri memang sudah tidak berfungsi, gunakan bateri baru yang dibeli tadi untuk ‘jump’ kereta anda dengan menggunakan kabel ‘jumper’. Pastikan anda mengikut langkah untuk ‘jump start’ kereta dengan betul dan selamat. Berikut merupakan langkah asas untuk ‘jump’ kereta anda dengan bateri baru tersebut:

  1. Sambungkan klip POSITIF (merah) ke terminal positif bateri yang mati,
  2. Sambungkan klip POSITIF (merah) ke terminal positif bateri yang baru.,
  3. Sambungkan klip NEGATIF (hitam) ke terminal negatif bateri yang baru.
  4. Sambungkan klip NEGATIF (hitam) ke bahagian logam kereta mati yang tidak dicat, jauh dari baterinya.
  5. Hidupkan enjin.

Untuk cabut sambungan bateri baru tersebut ikut langkah berikut. Formulanya ringkas sahaja, cuma perlu ‘reverse’ langkah-langkah penyambungan tadi.

  1. Cabutkan klip NEGATIF (hitam) dari bahagian logam kereta mati tadi.
  2. Cabutkan klip NEGATIF (hitam) dari terminal negatif bateri yang baru.
  3. Cabutkan klip POSITIF (merah) dari terminal positif bateri yang baru.,
  4. Cabutkan klip POSITIF (merah) dari terminal positif bateri yang mati,

Sekarang anda telah dapatkan semula bateri baru tadi dan enjin juga sedang berjalan.

Cabut Bateri Kereta Yang Lama

Bateri kereta anda dikunci oleh pemegang bateri jadi perlu buka pemegang bateri terlebih dahulu. Seterusnya buka kabel terminal. Ramai orang keliru nak buka kabel mana dulu.

Cabut NEGATIF (hitam) dulu. Kemudian baru cabut POSITIF (merah).

Dengan menggunakan spanar boleh laras tadi, longgarkan nat pada terminal NEGATIF (hitam) dahulu dan cabut terminal tersebut.

Selepas itu barulah cabut terminal POSITIF (merah) dan jangan lupa untuk bungkus terminal POSITIF dengan sesuatu yang kalis elektrik seperti sarung tangan, stokin, kain dan sebagainya.

Amaran

Bungkus terminal POSITIF (merah) dengan kain, stokin, atau sarung tangan agar ia tidak buat sambungan arus elektrik secara tidak sengaja dengan komponen kereta lain.

Elakkan terminal POSITIF dari membuat sambungan arus elektrik secara tidak sengaja pada mana-mana bahagian atau komponen kereta. Jika berlaku, ini akan merosakkan pelbagai peralatan elektronik dalam kereta tersebut.

Masukkan Bateri Kereta Yang Baru

Sekarang anda dah boleh masukkan bateri baru. Pasangkan kabel terminal POSITIF (merah) dahulu dan ketatkan.

Kemudian pasang kabel terminal NEGATIF (hitam) dan ketatkan. Mungkin akan ada sedikit percikan api tapi ianya adalah keadaan yang normal.

Akhir sekali pasang pemegang bateri dengan kemas. Cuba goyang bateri untuk pastikan ia telah kukuh terpasang.

Labelkan Tarikh Bateri Ditukar

Langkah ini ramai orang gagal lakukan namun penting untuk pastikan penukaran seterusnya dapat dilakukan pada masa yang tepat. Pengilang akan berikan cadangan penukaran bateri tertentu dari tarikh ia dipasang pada kenderaan. Jadi anda perlukan tarikh ini.

Tulis dengan permanent marker pen pada bateri tersebut. Lebih baik, lekatkan stiker pada sebelah dalam kereta dan tulis tarikh tersebut padanya. Lebih bagus, tulis juga pada ruangan servis paling akhir dalam buku rekod servis kenderaan.

Kesimpulan

Secara asasnya, menukar bateri kereta adalah sangat mudah namun ia tetap mengandungi risiko-risiko tertentu yang mungkin boleh mengakibatkan kecederaan atau merosakkan komponen-komponen elektronik yang penting jika tidak dilakukan dengan betul.

Rujukan

Imej oleh StockSnap daripada Pixabay

Kiriman Serupa