Nak Beli Kereta Terpakai ? Macam Nak Elakkan Kerugian Bodoh

Membeli kereta terpakai bukanlah sesuatu yang asing. Pelbagai sebab orang beli kereta terpakai berbanding kereta yang baru keluar daripada kilang. Antaranya mungkin sebab tempoh booking yang terlalu lama yang sememangnya sedang berlaku pada tahun ini.

Sebab yang lain mungkin kerana harga yang jauh lebih murah berbanding kereta baru. Boleh jadi sebab model yang ingin dibeli itu adalah model kereta idaman sejak dari zaman sekolah dan sudah tidak dihasilkan oleh pengeluar, contohnya model Mitsubishi Lancer.

Dan tentunya pelbagai lagi sebab kenapa orang lagi prefer beli kereta terpakai berbanding kereta baru. Namun, di samping kelebihan-kelebihan itu tadi terdapat banyak juga kekurangan atau risiko yang perlu ditanggung oleh pembeli apabila membeli kereta terpakai.

Kalau setakat penukaran barang-barang disebabkan wear and tear itu tidak mengapa, nama pun kereta terpakai. Mesti ada sana-sini barang yang perlu ditukar juga suatu hari nanti.

Jadi, dalam artikel kali ini kami akan kongsi beberapa tips macam mana nak beli kereta terpakai dengan puas hati. Selepas anda baca artikel ini, bukanlah terus akan jadi mahir dalam membeli kereta terpakai tetapi adalah sedikit-sebanyak ilmu untuk mengelakkan dari terbeli kereta yang memang akan buat anda pening kepala di kemudian hari.

Nota

Jika anda mempunyai kedudukan kewangan yang mapan dan lestari, artikel ini mungkin tidak relevan kepada anda. Anda boleh beli mana-mana kereta baru atau terpakai mengikut kehendak anda.

Kenalpasti Keperluan Utama Bukannya Kehendak

Anda mungkin sudah lama mengidam hendak beli kereta sebab terliur asyik tengok kawan-kawan ramai sudah angkat kereta. Lebih-lebih lagi mereka asyik ‘racun‘ anda untuk beli satu. Lalu terlintaslah di fikiran anda sehingga membawa keyakinan inilah masanya untuk anda dapatkan sebuah kereta idaman.

Sebenarnya apa yang lebih penting adalah anda kenalpasti sebab utama anda beli kereta. Walaupun kata orang pada zaman sekarang kereta sudah menjadi suatu keperluan tapi kereta dengan enjin turbo 2.0 L dengan rim bersaiz 18 bukan lagi keperluan.

Ia sudah jadi kehendak atau nafsu. Sebenarnya prinsip kereta ini amat mudah, membawa anda dari poin A ke poin B tanpa gagal. Itu sahaja, bukannya anda hendak masuk drag race.

Lihat faktor-faktor berikut untuk tentukan keperluan sebuah kereta untuk anda :

  • Anda anak sulung keluarga atau anak tulang belakang keluarga yang mana ibu bapa tidak mempunyai kereta sebelum ini,
  • Anda mempunyai ahli keluarga yang sakit yang perlu kerap ke hospital atau klinik,
  • Anda akan berkahwin tidak lama lagi dan pasangan anda pun tidak memiliki kereta lagi. Tapi boleh juga beli semasa sudah kahwin nanti.
  • Anak-anak sudah bertambah ramai dan kenderaan sekarang tidak mencukupi untuk tampung luggage dan barang-barang lain masa balik kampung.
  • Anda sering membuat perjalanan jarak jauh atas pelbagai sebab. Contohnya setiap minggu perlu pulang ke kampung dari KL ke Terengganu. Atau setiap minggu ada outstation di merata tempat. Boleh jika hendak naik motosikal tapi dalam jangka masa panjang anda akan dapat pelbagai penyakit muskuloskelatallah. Muda-muda lagi sudah dapat sakit slip disc.
  • Kemudahan pengangkutan awam termasuklah Grab Car sangat terhad di tempat tinggal anda dan anda tidak mempunyai lesen motosikal.
  • Keluarga anda memang tidak ada satu pun kereta lain yang boleh digunakan.

Kalau jawapan untuk semua di atas adalah TIDAK, maka sebenarnya anda belum sampai seru lagi untuk beli kereta lain. Terutamanya kalau memang ada sebuah kereta keluarga yang diwariskan daripada ahli keluarga yang lain. Pakai sajalah sampai betul-betul rosak teruk atau kata orang sampai total loss.

Kereta bertujuan membawa anda dari poin A ke poin B. Tidak lebih dari itu !

Duit simpanan anda yang bakal digunakan untuk beli kereta tadi lebih baik disimpan untuk tujuan lain yang lebih penting seperti simpanan kecemasan, buat pelaburan emas, tunaikan ibadah Haji atau umrah, depositi rumah pertama, dan sebagainya. Bukankah lebih baik begitu.

Kenalpasti Jenis Kereta Yang Anda Betul-Betul Perlukan

Setelah yakin bahawa memang sudah tiba masanya untuk anda beli kereta kenalpastilah jenis-jenis kereta yang bakal memenuhi keperluan anda tanpa banyak masalah dan paling penting ‘mesra-poket’.

Sumber: Pixabay

Untuk kegunaan keluarga, kereta yang paling realistik tentulah yang mempunyai ruang ‘boot’ yang besar. Tidak kiralah model kereta apa sekalipun. Kereta jenis ini dipanggil kereta sedan. Contohnya Perodua Bezza, Proton Saga, dan sebagainya. Jika anak-anak lebih tiga orang, sudah tentu anda memerlukan sebuah kenderaan jenis multi purpose vehicle (MPV).

Sedan, sedan bersaiz sederhana, kenderaan pelbagai guna (MPV), trak pikap, van, dan sebagainya memenuhi keperluan pengguna secara berlainan.

Kalau MPV pun tidak cukup, anda mungkin memerlukan van 12 tempat duduk atau bas mini. Tahniah !

Bagi kegunaan anak-anak lepasan SPM dan IPT sudah cukup sebuah kereta yang jimat minyak dan mudah dibaiki. Dalam hal ini, kereta jenis kompak (compact/hatchback) sudah memadai. Contohnya Perodua Axia, Perodua Myvi, Perodua Kelisa. Jenis kereta yang kontot-kontot.

Anda mungkin juga memerlukan trak pikap 4×4 jika keadaan permukaan jalan yang anda lalui setiap hari agak mencabar seperti berselut, jalan berlubang, berbukit-bukau dan sebagainya.

Buat Research Yang Mendalam Tentang Model Kereta Tersebut

Anda mungkin sudah ‘aim’ model kereta tersebut sejak dari bangku sekolah lagi atas dasar rupa bentuknya yang menarik atau mungkin kereta tersebut keluar dalam mana-mana filem lumba kereta kegemaran anda.

Namun begitu, ia bukanlah dorongan pembelian kereta yang baik kerana anda perlukan sebuah kenderan yang boleh diharap untuk pemanduan dari sehari ke hari sepanjang memiliki kereta tersebut. Jadi buatlah research yang mendalam tentang kereta tersebut.

Terdapat berberapa cara mudah untuk buat kajian tentang sesebuah kereta. Cara yang paling mudah dan dekat dengan anda tentulah melalui Google yang membawa anda ke dunia internet tanpa batasan. Jika anda sedang ‘aim’ sebuah Mitsubishi Lancer, guna kata kunci seperti ‘masalah/problem mitsubishi lancer’, ‘pengalaman jujur pakai mitsubishi lancer’, ‘mitsubishi lancer honest review’, ‘common problems of mitsubishi lancer’, dan pelbagai lagilah.

Hasil carian akan membawa anda ke pelbagai laman web ataupun blog-blog automotif yang berkongsi tentang masalah model kereta idaman anda.

Owner’s club adalah tempat terbaik untuk anda dapatkan pendapat jujur berkenaan sesebuah kereta. Hati-hati dengan paid review.

Seterusnya, jangan segan-silu untuk masuk atau intai-intai media sosial ‘group’ pemilik kereta tersebut kerana di sana anda mesti dapat baca ratusan perbincangan-perbincangan teknikal mengenai sesebuah model kereta itu. Mereka bukan saja-saja tubuhkan group terbabit.

Cuba kenalpasti ‘otai-otai‘ dalam group tersebut dan kalau boleh ajak dia ‘mengeteh‘ untuk sembang lebih lanjut. Jangan risau, mereka tentu lebih dari gembira untuk buat kenalan baru. Jika rezeki anda baik, mereka mungkin boleh recommend kereta yang bagus untuk anda beli.

Kalau anda tidak pernah berkawan dengan mekanik, maka mungkin tiba masa anda cari seorang dua mekanik untuk buat kawan. Bukan apa, senanglah anda hendak minta pendapat dari mereka. Cari mekanik yang memang biasa dan pakar dengan model kereta yang ingin dibeli dan minta pendapat beliau.

Kalau mekanik cakap ‘kalau sayalah, saya tak beli kereta model ni sebab bla bla…’ anda faham la maksud dia. Kenapa mekanik, sebab mereka tahu berapa banyak kereta jenis tersebut yang masuk bengkel sebab rosak itu dan ini. Kalau servis berkala itu lain ceritalah.

Akhir sekali, kalau anda ada saudara-mara atau kawan-kawan yang memang pakai kereta tersebut boleh sembang lebih lanjut dengan beliau pengalaman beliau pakai kereta tersebut. Apa yang perlu anda tanya contohnya macam:

  1. Tempoh guna kereta tersebut,
  2. Jarak perbatuan sudah berapa jauh ? Kalau dah lebih 100k km, adakah prestasi masih baik atau sebaliknya,
  3. Pernah alami kerosakan yang teruk ke ? Jika pernah berapa kos baik pulih kerosakan tersebut ?
  4. Banyak ke bengkel yang boleh baik pulih kereta tersebut ? Jangan terkejut jika ada model kereta yang sukar untuk anda dapatkan mekanik yang pakar
  5. Apa yang dia tidak suka tentang kereta tersebut ?
  6. Rumit ke tidak buat penyelenggaraan kereta tersebut ?
  7. Berapa kos penyelenggaraan ? Spare parts mahal atau tidak ?

Dan pelbagai lagi soalan-soalan lain yang anda fikir baik untuk bagi anda keyakinan untuk teruskan pembelian atau ubah fikiran. Kawan anda pasti tidak lokek berkongsikan cerita-cerita tentang kereta tersebut. Jika dia seorang pengguna yang cermat, mana tahu anda boleh tawarkan untuk beli kereta dia. Pasti lebih tenang jika anda memang sudah kenal dengan pemilik asal kenderaan tersebut.

Seterusnya, penting untuk anda buat kajian tentang kos-kos pemilikan kereta tersebut kerana ia akan menentukan susah-senang hidup anda pada waktu-waktu yang mendatang. Silap hari bulan, makan-minum kena catu pula pada setiap bulan. Logiknya, berikut adalah kos-kos pemilikan yang perlu diambilkira:

  • Kos minyak petrol,
  • Bayar bulan pinjaman bank – kalau beli tunai tidak perlu ceritalah,
  • Harga cukai jalan,
  • Harga insurans,
  • Kos selenggara berkala yang normal,
  • Kos selenggara major,
  • Harga tayar – bergantung kepada saiz rim. Semakin besar rim, semakin mahal harga tayar.
  • Kos baiki atau tukar kotak gear bagi kes-kes tertentu.
  • Kos overhaul enjin bagi kes-kes tertentu.
  • Kos barang-barang lain yang bakal mengalami kesan wear and tear dari penggunaan yang kerap seperti bushings, pad brek, drive shaft, belting, absorbers, bearings, dan sebagainyalah.

Utamakan Kereta Jenama Asia dan ‘Elakkan’ Kereta Jenama Eropah

Poin ini bukanlah ‘rasis’ tetapi inilah hakikatnya di negara kita yang mana kereta Asia terutamanya dari negara Jepun memang mempunyai reputasi yang sangat cemerlang dan terbilang. Sila abaikan poin ini jika kemampuan kewangan anda terbukti mampan dan lestari.

Kereta-kereta buatan Jepun sememangnya tahan lasak dan susah rosak. Ianya terbukti dengan kehadiran model-model seperti Proton Saga/Iswara/Wira (Mitsubishi), Perodua Kancil (Daihatsu), Toyota Vios, Nissan Vanette dan sebagainya. Model-model lama kereta buatan Jepun tersebut walaupun sudah puluhan tahun usianya namun masih meluncur gagah di jalan raya tanpa sebarang masalah yang besar.

Ahli keluarga penulis sendiri mempuyai sebuah Perodua Kancil keluaran tahun 1997 dan masih tanpa gagal membawanya di sekitar bandar Kuantan sehingga sekarang. Bahkan abang penulis sendiri masih memandu Nissan Sunny 130Y yang dikeluarkan pada tahun 1993 tanpa banyak masalah.

Penulis sendiri juga masih menggunakan Proton Satria 1.3 GL (Mitsubishi Mirage) yang dikilangkan pada tahun 2004 juga dibeli terpakai pada tahun 2014. Sehingga kini kereta tersebut tidak pernah mendatangkan masalah besar kepada penulis.

Dalam pada itu, kereta Jepun mempunyai sistem teknologi automotif yang lebih ringkas dan mudah. Mereka lebih mementingkan penambahbaikan efisiensi daripada teknologi sedia ada dari tahun ke tahun berbanding terus memperkenalkan sebuah teknologi yang 100 peratus berbeza dari model sebelumnya.

Toyota, Honda, Nissan, Mistsubishi, Subaru, Mazda adalah jenama yang tidak asing lagi. Perodua banyak menggunakan model-model daripada Toyota & Daihatsu.

Tambahan pula, barang gantian juga mudah didapati dengan harga yang murah dan kompetitif kerana telah banyak vendor-vendor tempatan atau negara jiran yang menghasilkannya sendiri. Atau kalau betulpun perlu import dari Jepun, kosnya tidaklah sebesar import dari Eropah.

Dari sudut kepakaran mekanik pula, sudah tentu banyak bengkel yang boleh buat kereta-kereta Jepun berbanding kereta Eropah. Yang penting half-cut barang Jepun senang sangat nak dicari di sekitar Lembah Klang.

Tidak seperti kereta buatan Eropah yang sememangnya berlumba-lumba mengejar kecanggihan dari tahun ke tahun. Bukannya tidak bagus, tetapi apabila teknologi semakin canggih kos sesuatu barang atau servis akan bertambah.

Dari sudut after sales pula, rantaian supply chain pula perlu kerap mengemaskini teknologi dan kepakaran yang mana menelan kos operasi yang tinggi. Andalah yang perlu bayar kos-kos operasi tersebut dalam harga caj yang tinggi.

Tetapkan Bajet Yang Munasabah Untuk Beli Kereta Terpakai Idaman Anda

Pepatah Melayu ada mengatakan ukurlah baju di badan sendiri. Cantik benar pepatah tersebut. Ada lagi yang cakap kalau kail panjang sejengkal jangan lautan dalam yang hendak diduga. Senang cerita, kena buat kira-kira kewangan samada anda mampu ataupun tidak hendak beli kereta tersebut.

Ramai yang tertipu dengan frasa ‘kalau tambah sikit lagi dapat kereta lagi sedap’. Contohnya anda dah letakkan satu bajet kewangan yang memang sudah ngam-ngam dengan kemampuan perbelanjaan bulanan anda tiba-tiba datang rakan-rakan sebaya anda beri pandangan yang memerlukan anda tambah komitmen bulanan. Inilah rakan-rakan yang meracun namanya.

Perbelanjaan bulanan untuk kereta tidak boleh lebih daripada 15% gaji bulanan!

Ingat, yang keluarkan duit anda. Yang rasa sengsara atau pun selesa itu pun anda. Mereka hanya tahu sembang sahaja.

Kebanyakan pakar kewangan menetapkan tidak lebih dari 15% dari jumlah pendapatan bulanan yang patut anda keluarkan bagi tujuan kereta tersebut. Ia bukannya formula terpakai untuk semua orang tapi lebih kepada panduan sahaja.

Jika gaji anda RM 2,500, maka secara mudahnya anda hanya boleh belanjakan sebanyak RM 375 untuk pinjaman kereta.

Tapi semua bergantung kepada kelulusan pinjaman bank yang mana banyak lagi faktor yang mereka lihat seperti rekod CCRIS, debt service ration (DSR) dan sebagainyalah.

Perlu ingat ramai anak muda terbeban dengan hutang yang besar dan ramai juga yang telah bankrap sebab terpengaruh dengan nasihat-nasihat kewangan yang tidak sedar diri. Bahkan, hampir separuh dari itu disebabkan oleh hutang kenderaan.

Senang cerita, lebih baik beli Proton Wira secara tunai berbanding Honda Civic baru secara pinjaman 9 tahun kan. Logik ke ? Tapi orang cakap kalau pakai Honda, automatik anda jadi handsome teruk.

Buat Survey Melalui Platform Kereta Terpakai Yang Boleh Dipercayai

Sekarang zaman sudah berubah tidak macam dahulu yang mana anda kena pergi survey satu per satu di kedai kereta terpakai. Sekarang pelbagai platform jualan kereta terpakai dalam talian (online) telah ditawarkan kepada pengguna. Contohnya ada Carsome.my, ada myTukar, carlist.my, mudah.my dan caricarz.com.

Terdapat juga syarikat di atas yang menawarkan laporan pemeriksaan kereta yang terperinci seperti Carsome Certified, Mudah Vehicle Inspection & Protection, dan myTukar certified. Bahkan myTukar sendiri adalah sebuah syarikat yang diberi pensijilan ISO 9001 : Quality Management System. Maknanya servis yang ditawarkan mesti ada standard quality yang tinggi kepada para pelanggan.

Jangan percaya bulat-bulat kepada salesman dan copywriting jualan kereta terpakai di internet.

Kalau beli kereta yang jenis ada certification macam ini anda boleh masuk kedai tanpa pening kepala pilih sahaja yang mana berkenan tanpa perlu fikir banyak. Mereka akan hasilkan laporan pemeriksaan yang terperinci yang mengatakan kereta anda bebas banjir dan kemalangan major yang boleh menjejaskkan keselamatan sesebuah kereta itu.

Siap ada jaminan 1 tahun lagi daripada Carsome, myTukar dan mVIP. Ada juga yang menawarkan 5-hari jaminan duit dikembalikan kalau anda tidak berpuas hati dengan pembelian tersebut. Apabila sudah beli, boleh cepat-cepat  hantar bengkel untuk periksa keadaan sebenar kereta tersebut.

Set Had Perbatuan (Mileage) Kereta Terpakai Tersebut

Had perbatuan adalah jarak perjalanan yang kereta terbabit sudah lalui. Anda akan temui pelbagai nombor perbatuan bagi kereta-kereta yang anda tengah survey. Lagi rendah mileage, lagi bagus bermakna makin kurang wear and tear kereta terpakai tersebut.

Lagi satu, bila mileage sudah melebihi 100,000 km, selalunya servis major diperlukan dengan lebih kerap bagi sesetengah jenama. Spareparts pun sudah banyak yang perlu ditukar ganti. Terutamanya kereta buatan Eropah, kos untuk tukar baikpulih akan buat anda fikir lebih 10 kali untuk beli kereta terpakai tersebut.

Ada kereta yang sudah capai 200,000km tapi masih gagah menempuh jalan raya dan masih sedap berjalan jauh.

Jika kereta yang anda inginkan memang lebih dari 100,000 km pastikan penyelenggaraan major dan penggantian spare parts utama telah dibuat oleh pemilik asal. Minta dia tunjuk resit sekali. Kalau pemilik yang bijak dia akan simpan semua dokumen tersebut.

Kalau dia seorang yang cermat, semua akan ditulis di dalam buku servis sebagai bukti yang lagi kukuh. Bukan tulis kosong, kenalah ada cop syarikat pusat servis tadi barulah dipercayai.

Jika rezeki anda baik, anda boleh dapat kereta terpakai dengan harga berpatutan bersama mileage yang rendah. Namun, hati-hati dengan penjual yang sengaja ‘memutarkan’ mileage kereta supaya lebih rendah. Contohnya, kereta sudah berumur 5 tahun, tapi mileage baru 10,000 km. Nampak macam sangat tidak logik lagi-lagi jika keadaan dalaman kereta tersebut kelihatan penuh kesan penggunaan.

Tapi kalau anda berurusan terus dengan pemilik yang anda kenal, itu tidak ada masalah. Mungkin betul itu kereta hantar dan ambil anak pergi sekolah sahaja, bukan kereta utama keluarga. Sekolah anak pula tidak sampai 2 km dari pintu rumah. Kalau macam ini gayanya, terus beli sahaja.

Buat Kaji Selidik Latar Belakang Kereta Terpakai Tersebut

Pada tahap ini anda pasti sudah ada satu senarai kereta terpakai yang berpotensi tidak kiralah dari mana anda dapat. Ada laman web  yang tayang nombor plat kereta. Cuba cek dengan pengendali insurans ada tak kereta tersebut buat tuntutan. Kalau ada tuntutan maknanya ia pernah terlibat dalam kemalangan. Jadi kena elakkan.

semakan_kereta_terpakai

Kebiasaannya, kereta terpakai yang dijual pada harga yang lebih murah berbanding harga pasaran mungkin ada sejarah tersendiri yang tersembunyi. Jadi mereka akan mengaburi anda dengan pelbagai ‘diskaun’ atau ‘jualan bawah harga pasaran’.

Selain kemalangan, anda perlu ambil perhatian terhadap sejarah kereta tersebut jika ia pernah ditenggelami banjir atau sudah bertukar tangan lebih dari tiga kali. Paling penting elakkan membeli kereta potong-sambung. Ianya salah di sisi undang-undang dan boleh mendatangkan bahaya besar kepada pemilik dan pengguna jalan raya yang lain. Besar akibatnya nanti jika berlaku kemalangan.

Wajib elakkan kereta yang pernah terlibat dalam kemalangan!

Untuk semak sejarah kereta terpakai tersebut. Wapcar ada menyediakan artikel yang lengkap tentangnya. Kalau anda ada rakan-rakan yang bekerja sebagai polis atau JPJ mintalah tolong mereka tolong semakkan kalau boleh.

Senang cerita bahagian luaran kereta mungkin tampil cantik dan sempurna, namun ragam sebenar kereta biasanya hanya boleh diketahui selepas beberapa bulan menggunakannya.

Buat Pemeriksaan Fizikal Secara Visual Luar Dan Dalam Kereta

Setelah melakukan segala research dan pencarian, sekarang anda telah nekad dengan sesebuah kereta tersebut. Tiba masa untuk anda pergi melawati kedai kereta terpakai tersebut. Tiba di kedai, salesman kereta akan sapa anda dengan soalan seperti ‘Cari kereta apa ya?’, dan ‘Berapa bajet?’.

Terus sahaja cakap anda ada tengok sebuah kereta yang diiklankan dan salesman tersebut mesti tidak keberatan untuk bawa anda ke situ.

Apa yang perlu anda lakukan adalah periksa secara visual luar dan dalam kereta tersebut. Ini WAJIB dilakukan. Mestilah anda mahu lihat baik dan buruk keadaan kereta tersebut. Jangan mudah percaya dengan iklan penjual kereta ‘100% Free Accident’, ‘1 Lady Driver’, ‘Original Paint’, dan seterusnyalah kerana itu sememangnya ayat-ayat marketing yang standard untuk bagi laris mana-mana produk.

Bawa mekanik atau orang yang mahir tentang selok-belok kereta untuk buat pemeriksaan kereta tersebut.

Tujuan anda buat pemeriksaan fizikal adalah  untuk memastikan kereta tersebut bukanlah kereta kemalangan, banjir, dan potong-sambung. Apa yang hendak dilihat semasa buat pemeriksaan fizikal ? Senang sahaja. Lihat panduan ini untuk buat pemeriksaan kenderaan secara terperinci.

Anda perlu sedikit cerewet sebelum membuat keputusan. Ini kerana, setelah anda membeli kereta tersebut, tiada lagi yang boleh anda lakukan apatah lagi menyesali keputusan yang telah dibuat. Periksa sama ada terdapat sebarang kerosakan atau kecacatan tidak kira di bahagian dalaman atau luaran kereta yang ingin dibeli.

Cuba untuk berunding bagi mendapatkan diskaun jika anda mengesan sebarang kerosakan dan pemilik tidak ingin mengeluarkan sebarang kos untuk membaikinya – cat semula badan kereta memerlukan kira-kira RM2,000 hingga RM4000 bergantung pada model kereta.

Upah ketuk badan kereta untuk membaiki kesan kemek pula boleh memakan kos serendah RM150 dan ke atas mengikut tahap kemek. Manakala, kotoran pada kusyen yang perlu dicuci boleh menelan belanja sehingga RM200.

Periksa Fungsi Kesemua Peralatan dan Bahagian Dalam Kereta

Pastikan anda periksa kelengkapan dan peralatan asas kereta seperti signal, wiper, lampu, soket dan sebagainya berada dalam keadaan baik dan masih berfungsi. Walaupun ia kereta terpakai anda tetap mahu fungsi-fungsinya masih tegap seperti asal. Anda sudah berhabis ribuan ringgit mestilah mahukan barang yang masih berfungsi dengan baik.

Jika anda tidak berpuas hati dengan kualiti kereta terpakai yang ingin dibeli, cari kereta terpakai lain sehinggalah anda menjumpai kereta terpakai yang setanding dan berbaloi dengan harga yang dibayar. Lainlah kalau penjual memang bagi tahu yang ada komponen yang tidak berfungsi namun dia tidak membaiki kerana mahu jual kereta atas keadaan sedia ada.

Kereta mestilah 100% berfungsi seperti asal walaupun kosmetiknya sudah kurang baik.

Di sini anda kena buat rundingan untuk dia kurangkan lagi jika betul anda berminat dengan kereta itu. Letakkan harga siling anda rendah daripada harga yang ditawarkan atas dasar anda dapat barang rosak. Jika dia tidak mahu lupakan sahaja dan cari yang lain. Bak kata orang, ‘take it or leave it’.

Bahkan jika penjual terdesak mungkin dia akan cari anda semula dan terima sahaja harga yang ditawarkan anda tempoh hari. Ingat duit adalah ‘king’ dan sekarang andalah pemilik duit tersebut. Biar penjual yang tunduk kepada anda.

Tidak salah untuk lebih berhati-hati dan berkira-kira sebelum membuat keputusan besar terutamanya melibatkan pembelian kereta sebegini. Selain itu, anda juga boleh periksa perkara-perkara berikut sebelum membuat keputusan:

Lampu tinggi dan rendah, lampu kabus, lambu kabin dan lampu amaran (hazard light);

  • Penyaman udara;
  • Hon kereta;
  • Lampu tinggi dan rendah, lampu kabus, lampu kabin dan lampu amaran (hazard light);
  • Radio dan pemain cakera padat (CD) atau skrin sentuh;
  • Pemegang pintu dan kompartmen hadapan kereta;
  • Suis power window, cermin sisi;
  • Soket 2.4V atau palam pencucuh;
  • Picu tangki minyak, bonet dan but kereta;
  • Tali pinggang keledar dan pelaras tempat duduk;
  • Tayar simpanan dan kotak alatan;
  • Indikator pada panel meter menyala dan terpadam (beg udara, enjin, ABS dan sebagainya).

Penting ! Buka Bonet, Periksa Keadaan Enjin Dan Komponen Yang Lain

Ini antara penentu sama ada pembelian kereta terpakai anda berbaloi atau tidak. Seperti mana yang kita tahu di dalam bonetlah letaknya banyak komponen penting sesebuah kereta selain daripada kerangka yang bebas kemalangan.

Bagi mendapatkan kepastian yang lebih meyakinkan anda disarankan untuk bawa mekanik yang memang sudah anda kenal lama dan boleh dipercayai untuk bantu anda buat pemeriksaan.  

Di dalam bonet, anda perlu periksa perkara-perkara berikut:

  • Tiada kesan karat/remuk/welding pada kerangka utama/chasis;
  • Periksa sama ada terdapat kesan minyak bocor pada lantai komponen;
  • Radiator berada dalam keadaan baik, buka penutup untuk melihat tahap kekeruhan air radiator. Jika air keruh dan berkarat maknanya sistem air mungkin sudah lama tidak diservis;
  • Tiada kabel sambungan elektrik yang reput atau terputus. Anda boleh pegang dengan lembut;
  • Tiada komponen yang tertanggal, haus atau rosak;
  • Periksa minyak enjin sama ada berada pada tahap yang disyorkan atau tidak.  Buka lubang isian minyak pelincir dan lihat keadaan di dalam enjin adakah terdapat gumpalan minyak hitam.
  • Tekan paip-paip sambungan sama ada terasa keras atau lembut. Sepatutnya semua komponen ini perlu rasa lembut.

Seorang mekanik popular CK Yusoff ada menerangkan dengan terperinci cara-cara periksa kereta terpakai dalam video beliau yang bertajuk Penjelasan Tips AMBIL Kereta Terpakai.

Paling Penting ! Pandu Uji Kereta Terpakai Tersebut

Inilah saat yang anda nanti-nantikan iaitu rasai pengalaman pandu uji kereta idaman anda. Anda berhak untuk minta pandu uji kereta tersebut kerana anda adalah ‘king’. Logiknya penjual tetap kena bagi anda rasai pengalaman seperti beli kereta baru iaitu bagi pelanggan pandu uji.

Cuba lakukan perkara berikut semasa pandu uji:

  • Uji brek kereta secara perlahan dan lakukan brek kecemasan. Kenal pasti jika ada sebarang bunyi pelik semasa membrek;
  • Uji stereng semasa selekoh (selekoh tajam atau selekoh biasa). Kenal pasti sama ada terdapat sebarang bunyi semasa membelok atau memutar stereng. Tumpu perhatian pada bahagian bawah kereta;
  • Pandu uji di kawasan yang tidak rata. Ia bertujuan untuk mengenal pasti sebarang bunyi seperti pada bahagian kompartmen dan sebagainya;
  • Pandu dalam pelbagai kelajuan untuk menguji bunyi angin, gegaran enjin atau stereng dan sistem suspensi kereta, bunyikan hon;
  • Uji gear kereta – jika transmisi manual (gear 1-5/6), manakala jika transmisi automatik –masukkan gear D4, D3 atau D2 termasuk R. Pastikan gear bergerak lancar dan tidak tersekat-sekat;
  • Cuba buka pendingin hawa pada kadar maksimum dan rasakan jika ada perubahan suhu setiap kali anda ubah kesejukan;
  • Cuba buka radio dan sistem infotainment adakah ia memberi sebarang ganguan kepada sistem kenderaan yang lain;

Tentukan Pembiayaan Kereta Terpakai Anda

Sekarang anda memang nekad mahu beli kereta tersebut. Kalau anda beli secara tunai itulah yang terbaik. Kalau terpaksa membuat pinjaman, maka ia mungkin diluluskan bergantung kepada usia dan jenis kereta anda.

Semakin tua usia kereta semakin sukar untuk pinjaman diluluskan kadar faedah juga semakin tinggi bagi kereta yang makin lama. Tambahan pula, kelulusan pinjaman bank bergantung kepada skor kredit bakal peminjam.

Kesimpulan

Sekarang anda sudah ada serba sedikit idea macam mana nak beli kereta terpakai supaya betul-betul puas hati dengan pembelian tersebut. Jadilah pengguna yang bijak bak kata pepatah, ‘alah membeli menang memakai’.

Artikel ini bukanlah panduan yang lengkap. Ia hanya satu permulaan kepada perjalanan anda untuk membeli kereta idaman anda itu. Semoga berjaya !

Rujukan

Tarmize, M. S. (2021, Ogos 20). Proses dan Cara Membeli Kereta Terpakai Secara Tunai – Buying Guides | Carlist.my. Carlist.my – Malaysia’s No.1 Car Site. https://www.carlist.my/news/proses-dan-cara-membeli-kereta-terpakai-secara-tunai-83904/83904/

Wahab, S. (2020, Disember 29). Nak Beli Kereta Second Hand? 10 Tips Beli Kereta Terpakai yang Perlu Anda Tahu. Carsome Malaysia. https://www.carsome.my/news/item/10-tip-beli-kereta-terpakai-mampu-milik-berbaloi

Imej oleh ahlop1988 daripada Pixabay

Imej oleh Tomáš daripada Pixabay

Kiriman Serupa