Pasangan Curang? Macam Mana Nak Kesan Tanda-Tandanya
Dalam percintaan atau berkasih sayang, isu pasangan curang seringkali menjadi pengalaman yang sukar dan menyakitkan serta membuatkan anda diselubungi dengan keraguan dan ketidakpastian. Jadi, amat penting untuk membincangkan topik ini dengan sensitiviti dengan mengakui bahawa setiap hubungan percintaan atau romantis itu unik.
Artikel kali ini bertujuan untuk menggariskan tanda-tanda umum yang mungkin menunjukkan anda sedang berhadapan dengan pasangan curang dalam kehidupan seharian.
Amaran
Jika anda syak pasangan anda curang, jangan terburu-buru menuduhnya sedemikian tanpa soal selidik dan pembuktian yang kukuh. Takut nanti salah faham dan tindakan tuduh-menuduh akan membawa kepada kesan negatif kepada keluarga terutamanya anak-anak. Dapatkan nasihat orang terdekat yang boleh dipercayai terlebih dahulu tanpa sebarang buruk sangka terhadap pasangan.
Perubahan dalam Penampilan dan Tabiat Mungkin Tanda Pasangan Curang
Pasangan yang secara tiba-tiba cakna terhadap penampilan diri terutamanya apabila ingin keluar rumah boleh menjadi tanda kecurangan. Ini mungkin termasuk perubahan pilihan pakaian, perubahan fesyen atau stail yang tidak dijangka, atau komitmen mendadak kepada kesihatan dan penjagaan diri.
Perubahan ini, terutamanya jika kelihatan bertujuan untuk menarik perhatian seseorang di luar hubungan, boleh menandakan adanya kecurangan.
Manakan tidak, jika selama ini si suami selesa berselipar jepun dan seluar pendek sahaja jika keluar sendirian. Tiba-tiba pakai seluar jeans dan t-shirt berkolar siap bergosok lagi setiap kali ingin keluar. Jika dengan anda atau keluarga selekeh sahaja pakaiannya.
Namun aspek ini bagi wanita sedikit sukar untuk dilihat kerana ia tidak terlalu jelas samada mereka bergaya berlebih-lebihan atau tidak. Mereka bijak dalam bab ini!
Guna Telefon dan Komputer Secara Berahsia
Sikap berahsia yang tiba-tiba menonjol terhadap peranti elektronik peribadi merupakan tanda amaran umum pasangan curang. Pasangan anda mungkin telah menetapkan kata laluan baru dan tidak memberikannya kepada anda dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah seperti nanti anda akan dedahkan kepada anak-anak, ada maklumat syarikat yang sensitif dan macam-macam lagi.
Dia juga mungkin memadamkan mesej atau sejarah web browser, dan sikap protektif terhadap interaksi digital mereka. Tingkah laku seperti ini sering menunjukkan usaha untuk menyembunyikan sesuatu, boleh jadi ia suatu hubungan sulit dengan orang lain. Boleh jadi juga pasangan anda baru saja terjebak dengan aktiviti dalam talian yang tidak senonoh yang lain namun bukanlah sampai ke tahap kecurangan!
Tiba-Tiba Je Tak Boleh Dihubungi
Jika pasangan anda kerap tidak dapat dihubungi, terutamanya pada masa mereka biasanya boleh dihubungi sebelum ini, ini mungkin menandakan dia ada sesuatu di belakang anda. Hal ini boleh jadi macam panggilan yang tidak dijawab, teks yang tidak dibalas, dan penjelasan yang tidak jelas pada waktu dia tidak dapat dihubungi tadi, ala-ala kantoi dan gabra macam tu.
Setelah hidup bersama seberapa lama, anda pasti tahu yang amat habit dan corak pergerakan pasangan anda bukan!
‘Selera’ Hubungan Intim yang Berubah
Bagi pasangan yang telah berkahwin atau telah pernah mengadakan hubungan kelamin, anda mungkin perasan ada perubahan ketara dalam hubungan seksual anda, sama ada penurunan atau peningkatan dalam aktiviti atau perubahan dalam sifat keintiman. Perubahan ini mungkin termasuk kekurangan hubungan emosi atau pengenalan teknik seksual baharu.
Contohnya dia mungkin sudah kurang berminat untuk melakukan hubungan seksual dengan anda dan jika ia berlaku pun, sesi tersebut berlangsung hanya ala kadar sahaja. Hal ini mungkin kerana hanya apabila bersama pasangan baru tersebut yang membuatkannya betul-betul turned on berbanding anda.
Boleh jadi juga, pasangan anda tiba-tiba sahaja memperkenalkan teknik-teknik seksual yang baru yang tidak pernah anda fikirkan dan bincangkan sebelum ini, yang datang dari pengalamannya dengan pasangan baru.
Penarikan Diri dan Permusuhan Emosi
Pasangan yang menjadi jauh dari segi emosi atau kritikal yang luar biasa mungkin menunjukkan tanda-tanda bersalah atau konflik yang dikaitkan dengan kecurangan. Perubahan dalam penglibatan emosi ini boleh menjadi mekanisme pertahanan atau tanda peralihan kasih sayang dari yang lama kepada baru.
Dalam fasa ini, emosi pasangan anda tentunya sangat tidak menentu.
Perubahan Rutin dan Jadual Kerja Yang Tidak Menentu
Perubahan mendadak dan tidak dapat dijelaskan dalam rutin pasangan, seperti sering pulang lewat, outstation setiap minggu atau ketidakhadiran lain yang tidak diketahui, boleh menunjukkan masa yang dihabiskan dalam perhubungannya yang lain.
Hal ini lagi jelas kalau kalian berdua berkongsi tempat kerja yang sama namun berlainan jabatan atau bangunan.
Pastinya kalian akan ke tempat kerja sekali namun oleh kerana perubahan rutin, pasangan anda meminta kalian ke tempat kerja secara berasingan pula. Namun begitu, anda perlu ambil kira dinamiknya tempat kerja pada era ini yang mana tugas dan tanggungjawab kerja boleh berubah-rubah mengikut keperluan semasa organisasi.
Boleh jadi memang betul ianya disebabkan keperluan kerja.
Tingkah Laku Rakan
Rakan pasangan yang curang selalunya sedar akan perbuatan tersebut sebelum pasangan yang dikhianati. Anda boleh lihat yang tingkah laku mereka mungkin berubah apabila berada di sekeliling anda contohnya seperti rasa ketidakselesaan atau mengelak dari bertembung dengan anda.
Hal ini boleh jadi tanda bahawa mereka sebenarnya tahu tentang pasangan anda yang sedang curang namun berbelah bagi ingin melaporkannya kepada anda.
Namun begitu, hal ini mungkin sukar untuk dilihat jika anda dan rakan-rakan pasangan datang dari circle of friends yang berbeza dan tidak mengenali dengan baik pun antara kalian.
Seperti Rome, deficit kepercayaan meruntuhkan empayar hati!
Corak Perbelanjaan yang Tidak Dapat Dijelaskan
Bab ini mungkin susah sedikit untuk anda kesan sebab sekarang ini semua boleh beli online sahaja melainkan anda dan pasangan ada akaun bank yang boleh diakses bersama.
Perubahan mendadak dan tidak dapat dijelaskan dalam aktiviti kewangan, seperti perbelanjaan atau pengeluaran luar biasa, boleh menunjukkan duitnya sedang diperuntukkan untuk urusan kecurangan itu tadi. Ia mungkin digunakan untuk tujuan caj untuk hotel, hadiah atau bayaran restoran. Mungkin juga dia membelikan sesuatu hadiah untuk pasangan barunya.
Mungkin juga apabila anda minta duit untuk membeli keperluan mendesak dia sering merungut tidak cukup duit. Namun begitu, anda mungkin perlu mempertimbangkan juga beberapa faktor lain seperti keadaan ekonomi yang semakin mencabar, ahli keluarga yang sedang sakit, kadar interest rate hutang bank yang semakin tinggi, dan sebagainya.
Apatah lagi jika pasangan anda juga menyara keluarga secara seorang diri. Jika anda tersilap ‘terkam’ mungkin akan memakan diri sendiri semula nanti.
Pasangan Curang Mungkin Kurang Berkongsi Rasa
Apabila pasangan menjadi kurang cenderung untuk berkongsi keintiman emosi, pemikiran atau pengalaman harian, ini mungkin menunjukkan bahawa mereka berkongsi keakraban ini dengan pihak ketiga. Penarikan diri daripada keintiman emosi adalah penunjuk penting potensi adanya kecurangan yang berlaku.
Pesongan dan Pengelakan Apabila Dihadapi
Pasangan yang sedang curang dan menipu mungkin akan mengelak berbual tentang kesetiaan atau menjadi defensif apabila topik itu dibangkitkan. Tingkah laku ini boleh termasuk menolak kesalahan atau enggan terlibat dalam perbincangan tentang keadaan hubungan setelah ia diajukan.
Dia ingin buat anda rasa yang sebenarnya hubungan kalian adalah elok sahaja, bukan ada apa-apa masalah pun.
Tujuannya adalah untuk ‘menenangkan’ anda dari terus rasa sangsi supaya akhirnya perbuatannya itu terus dapat terlindung dari diselidiki dengan lebih dalam lagi.
Kesan Kecurangan Terhadap Mangsa Curang
Kecurangan boleh membawa kepada ‘Trauma Pengkhianatan Pasangan‘, yang dicirikan oleh perasaan sakit emosi yang teruk dan terhakisnya kepercayaan kepada lawan jantina.
Mangsa mungkin mengalami persepsi cinta yang berubah, harga diri yang rendah, kesukaran untuk mempercayai orang lain, dan cabaran kesihatan mental yang teruk seperti kebimbangan, kemurungan, dan gejala yang serupa dengan PTSD.
Bahkan lebih teruk, mangsa mungkin tidak teragak-agak melakukan perkara yang lebih dasyat dan tidak tergambarkan sehingga melanggar hukum-hakam agama mahupun undang-undang negara seperti mencederakan diri dan orang sekelilingnya. Ia lebih dasyat jika pasangan curang tersebut adalah cinta pertamanya!
Kesimpulan
Menyedari tanda-tanda pasangan curang adalah sangat rumit dan memerlukan pertimbangan yang teliti terhadap konteks hubungan romantik anda. Walaupun tanda-tanda ini boleh membimbing pemahaman, ia tidak memberikan bukti pasti bahawa pasangan anda memang sedang curang
Dalam sesebuah perhubungan, adalah penting untuk berkomunikasi secara terbuka dengan pasangan anda dan mendapatkan bimbingan profesional jika perlu. Ingat, mengenal pasti kecurangan hanyalah langkah pertama dalam menangani isu yang lebih mendalam dalam hubungan atau mengejar penyembuhan perasaan dalam diri sendiri.
Kami doakan agar pasangan anda sentiasa setia dan bertambah kasih sayangnya di antara kalian berdua dan keluarga 🙂
Rujukan & Kredit
- Hack Spirit. (2023). How to tell if your partner is cheating: 28 signs most people miss. Diperoleh dari https://hackspirit.com/signs-of-cheating/
- Psychology Today. (2023). 10 Signs Your Spouse Is Cheating. Diperoleh dari https://www.psychologytoday.com/us/blog/love-and-sex-in-the-digital-age/201812/10-signs-your-spouse-is-cheating