3 Cara Macam Mana Nak Bersyukur Dengan Apa Yang Dimiliki
Pernahkah anda rasa bersyukur dengan apa yang dimiliki? Semestinya setiap individu akan ada satu waktu rasa bersyukur terhadap apa yang dia miliki atau apa yang dia alami selama mana dia hidup.
Contonya seseorang pelajar mesti pernah rasa putus asa dalam diri dimana setiap kali melaksanakan ujian semester keputusan yang keluar tidak sama dengan usaha sehingga rasa apa yang dibuat tidak berbaloi dengan usaha.
Atau anda mungkin bekerja keras untuk mengharapkan bonus, kenaikan gaji atau kenaikan pangkat yang tinggi daripada syarikat namun bos anda seolah-olah tidak menghargai usaha anda dengan memberikan ganjaran yang tidak setimpal dengan kerja anda.
Tidak kiralah apa sekalipun situasi anda, pasti ada perasaan seolah-olah tidak bersyukur dengan apa yang dimiliki. Kadang-kadang sampai anda bertanya kepada diri sendiri persoalan-persoalan seperti, ‘Kenapa aku tak kaya macam dia?’, ‘Kenapa rupa aku tak menarik?’,’Apa dosa aku sampai diuji dengan kemiskinan?’, dan sebagainya.
Namun pernah atau tidak anda terfikir, macam mana dengan orang yang serba kekurangan berbanding anda masih mampu tersenyum dan bersyukur dengan apa yang ada? Adakah dia usaha lebih daripada kita? Pasti ada sesuatu yang istimewa tentang golongan ini sehingga mereka mampu bersyukur denga apa yang dimiliki.
Dalam entri kali ini, kami ingin berkongsi denga anda macam mana nak bersyukur dengan apa yang dimiliki dengan hanya 3 cara yang sangat mudah.
Bersyukur Dengan Menerima Kisah Orang Lain Dengan Positif
Terdapat satu kisah yang boleh dijadikan sebagai analogi dimana seorang wanita yang merasa putus asa dengan bisnes yang dijalankan selama 7 tahun tapi masih tidak berjaya seperti orang lain. Sampailah satu masa dia membawa kereta dan berhenti sewaktu lampu merah dan memberi laluan kepada pejalan kaki.
Untuk bersyukur dengan apa yang dimiliki lihatlah orang lagi kurang dari kita, bukan yang lebih dari kita!
Sehinggakan dia melihat seorang lelaki menolak kereta sorong yang berisikan tin dengan menggunakan dua tangannya dan menggunakan 1 tongkat disebabkan kaki sebelah kanan telah tiada. Melihat lelaki itu tersenyum, wanita itu mula tersentap sebab ketika mengamati orang itu, dia baru sedar bahawa dirinya sangat kaya, ada kereta, mampu berjalan dengan dua pasang kaki yang lengkap.
Padahal lelaki yang dia lihat hanya ada sepasang kaki dan berbantukan tongkat, tidak mempunyai kenderaan tetapi boleh memberikan senyuman manis tanda bahagia. Dapatkah anda gambarkan melalui kisah tersebut? Seorang wanita berjaya yang mudah putus asa dan seorang yang tidak sempurna dari segi kewangan dan fizikal tapi masih mampu bersyukur?
Sentiasa Berfikiran Positif Untuk Bersyukur Dengan Apa Yang Dimiliki
Kekalkan pemikiran positif dan cuba elakkan berfikiran buruk. Sebenarnya, cara kita berfikir akan menentukan mood dan tindakan kita. Memang sukar untuk latih minda kita untuk sentiasa berfikiran positif dalam banyak keadaan. Mari kita lihat contoh bagaimana kita boleh ubah fikiran yang negatif kepada positif.
Kes 1: Lihat orang lain pandu kereta mewah
Fikir NEGATIF | Fikir POSITIF |
---|---|
‘Kenapalah aku tak ada kereta macam tu?’ ‘Bilalah aku nak kaya macam tu? Kerja siang malam dah. Haissh!’ ‘Malangnya nasib aku kereta buruk masih tak boleh nak ditukar!’ | ‘Murahnya rezeki orang ini dapat pandu kereta mahal. Mudah-mudahan aku pun dimurahkan rezeki macam dia.’ ‘Aku akan kerja lebih keras supaya suatu hari nanti boleh pakai kereta mahal juga.’ |
Kes 2: Dapat keputusan peperiksaan yang tidak memberangsangkan.
Fikir NEGATIF | Fikir POSITIF |
---|---|
‘Study macam nak gila pun result masih teruk. Aku memang dilahirkan malang kot.’ | ‘Tak apalah mungkin aku belum buat sehabis baik. Perlu usaha lebih lagi untuk semester akan datang.’ |
Kes 3: Belum dikurniakan zuriat.
Fikir NEGATIF | Fikir POSITIF |
---|---|
‘Ni mesti kena buatan(santau) orang sebab tu susah nak dapat zuriat.’ ‘Mungkin pasangan aku ni mandul kot tapi dia tak bagi tahu sebelum kahwin dulu. Malangnya nasib aku.’ | ‘Syukur! Sekurang-kurangnya aku masih ada teman hidup yang membahagiakan. Ramai lagi yang belum mampu berkahwin. Sementara belum sibuk dengan anak, aku nak habiskan masa bercintan-cintun dengannya dulu.’ |
Ini hanya contoh ringkas yang kita sering dengar dalam kehidupan kita. Tentu banyak lagi perkara-perkara yang menduga rasa syukur kita yang tentunya berbeza-beza dari setiap orang.
Bersyukur Dengan Meningkatkan Inspirasi Terhadap Orang Lain
Melihat kebahagiaan orang lain juga merupakan satu cara kita sentiasa bersyukur terhadap apa yang kita miliki. Ada yang susah dari segi kewangan dan ekonomi tapi masih mampu tersenyum untuk tidak berputus asa dalam diri. Malah masih mampu untuk teruskan hidup dengan apa yang dia masih miliki walaupun ianya tidak sehebat orang lain.
Mungkin anda terfikir, tidak semestinya dia sentiasa tersenyum dia tiada masalah. Entah-entah dia sengaja sorokkan perasaan sebenar dia untuk kelihatan bahagia depan orang ramai. Barulah orang tidak tahu masalah sebenar dia.
Bila kita berfikiran positif, pemikiran ini susah untuk datang. Orang yang positif mindanya lurus sahaja, senyum tanda gembira, bermasam tanda berduka dan itulah lumrah semulajadi kehidupan!
Kesimpulan
Berdasarkan daripada 3 cara mudah yang dikongsikan ini boleh diringkaskan dengan kata-kata Logan Pearsall Smith yang mana memberikan 2 perkara yang harus dicapai dalam hidup ini. Pertama, ‘mendapatkan apa yang kamu inginkan dan yang kedua, menikmati apa yang telah kamu dapatkan‘.
Kami doakan semoga anda dapat mengecapi perasaan bersyukur dengan apa yang dimiliki !
Rujukan
Dale C. (1997), How To Enjoy Your Life and Your Job, Thinker’s Library Sdn.Bhd.
Imej oleh Sasin Tipchai daripada Pixabay