Macam Mana Nak Kawal Pemakanan Untuk Jadi Lebih Sihat
Setiap hidupan di atas muka bumi ini sangat menyukai makan. Manusia ada makanannya tersendiri, binatang ada makanannya tersendiri bahkan tumbuhan pun mempunyai makanan tersendiri. Makanan adalah sumber tenaga untuk manusia teruskan kehidupan. Tetapi, adakah kita perlu untuk makan terlalu banyak dalam satu hari?
Oleh yang demikian, artikel ini akan membincangkan cara-cara untuk menjaga kuantiti pemakanan dalam kehidupan seharian. Setiap orang seharusnya digalakkan untuk mengawal kuantiti pemakanan agar tidak berlaku kenaikan berat badan yang mendadak atau obesiti.
Makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan!
Dapatan kajian Nutrition Society of Malaysia menunjukkan hampir 30 peratus kanak kanak dan remaja berumur 6 hingga 17 tahun mempunyai berat badan berlebihan atau obes.
Hal ini kerana mereka sangat tidak ambil berat tentang pengambilan makanan yang diambil dalam kehidupan seharian.
Sehubungan dengan itu, dalam artikel kali ini kami akan berkongsi dengan anda macam mana nak kawal pemakanan untuk jadi lebih sihat.
Kira Kandungan Kalori Yang Diperlukan Sesuai Dengan Berat Badan
Keperluan kalori makanan setiap orang dalam seharian telah ditetapkan mengikut berat badan masing-masing. Dengan mengira kandungan kalori tersebut, mereka akan sentiasa peka akan pengambilan makanan mereka. Jika pemakanan mereka melebihi kandungan kalori, maka mereka akan berhenti makan.
Makan Makanan Yang Seimbang Dalam Kuantiti Sederhana
Makan dalam kuantiti yang sederhana sangat digalakkan. Hal ini kerana, ia dapat memudahkan proses pencernaan makanan. Bahkan makanan yang seimbang mampu membuat anda merasa kenyang dalam tempoh masa yang lama.
Baca Atau Kira Kandungan Kalori Dalam Makanan
Anda seharusnya mengira dan meneliti kalori makanan dalam sehari. Jika mereka peka akan perkara ini, sedikit sebanyak mampu menahan mereka daripada sentiasa memakan.
Setiap makanan mempunyai kandungan kalori tersendiri. Tidak semestinya kuantitinya sedikit kalorinya juga sedikit.
Setiap makanan yang berbungkus yang anda beli di kedai selalunya mengandungi maklumat nutrisi, Nutritional Information yang dipaparkan pada pembalut. Ia akan memaparkan maklumat kalori makanan tersebut.
Bagi jenis makanan yang tidak mempunyai pembalut, jadual di bawah mungkin boleh membantu memberi sedikit gambaran kepada anda. Untuk maklumat lebih terperinci boleh rujuk Data Bank Calorie Pemakanan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Makanan | Saiz Sajian | Kuantiti | Kalori (Kcal) |
---|---|---|---|
Nasi Lemak | 1 pinggan | 230g | 389 |
Roti Canai | 1 keping | 95g | 300 |
Mee Goreng | 1 pinggan | 170g | 280 |
Mi Segera + sayur | 1 mangkuk | 552.1g | 398 |
Teh Tarik | 1 cawan | 363g | 229 |
Sirap Limau | 1 gelas | 250ml | 144 |
Sentiasa Minum Air Kosong Sekurang-Kurangnya 8 Gelas Sehari
Badan manusia merangkumi 70 peratus air. Jika air tidak mencukupi dalam badan, maka manusia akan sentiasa cepat lapar. Minum air kosong dengan kadar yang mencukupi adalah salah satu cara mengurangkan tabiat kuat makan. Anda mungkin terlalu sibuk di tempat kerja atau di rumah tetapi anda tidak boleh lupakan air kosong.
Kekurangan air di dalam badan boleh mengakibatkan kesan negatif jangka masa panjang terhadap tubuh badan seperti cepat penat, sakit kepala, sembelit, kulit kering dan paling teruk fungsi buah pinggang yang mungkin terjejas. Terutamanya dalam keadaan cuaca panas yang melampau dari biasa, ia mungkin menyebabkan anda terkena strok haba.
Jadi kalau dah rasa dahaga tu, cepat-cepat lah basahkan tekak barang seteguk dua!
Kurangkan Minuman Berkarbonat
Antara rutin yang tidak baik untuk kesihatan adalah kerap memimum air bergas dan manis. Air minuman seperti ini bukan sahaja bahaya kerana mengandungi gula yang sangat tinggi, tetapi air bergas juga akan membuatkan kita hanya kenyang sementara. Air gas juga mengandungi pewarna yang banyak dan sudah pasti tidak baik untuk kesihatan.
Bukannya tidak boleh langsung tetapi perlu dalam kadar yang berpada-pada bukannya dua ke tiga tin atau botol sehari!
Sentiasa Bersenam Dengan Konsisten
Kita digalakkan untuk sentiasa bersenam bagi mengaktifkan otot-otot badan kita. Mereka yang rajin bersenam akan mengawal pengambilan makanan yang sangat baik. Kuncinya adalah konsistensi.
Walaupun intensitinya tidak terlalu berat, namun walaupun dilakukan dengan konsisten ianya pasti lebih bagus daripada aktiviti senaman yang berintensiti tinggi tapi dilakukan jarang-jarang.
Senangnya, lebih baik anda berjalan beberapa pusingan taman pada setiap hari berbanding mengangkat berat hanya sekali setiap bulan.
Kesimpulan
Begitulah enam cara untuk mengawal pemakanan dalam sehari. Mungkin agak sukar bagi anda yang tidak biasa untuk mulakannya. Tetapi, apabila visi dan misi anda kuat untuk menjaga kesihatan tubuh badan, secara tidak langsung anda akan sentiasa mempunyai dorongan dan kesedaran untuk mengamalkan langkah-langkah mudah ini.
Semoga Berjaya!